"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Thursday, December 31, 2009

BICARA IBLIS DENGAN RASULULLAH - Artikel 51/2009 - Tarikh : 31 Disember 2009 / 14 Muharram 1431 H

Telah diceritakan bahawa Allah S.W.T. telah memerintahkan iblis untuk bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. agar menjawab segala pertanyaan yang baginda kemukakan. Iblis pun datang dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih sedang di tangannya memegang tongkat.

Bertanya Baginda Rasulullah S.A.W. Siapakah kamu?
Iblis menjawab. `Aku adalah iblis`.

Rasulullah S.A.W : Apakah maksud kamu datang berjumpa aku?
Iblis : Allah memerintahkan aku datang bertemu dengan kamu dan menjawab apa jua soalan daripada kamu.

Rasulullah S.A.W : Hai, iblis, berapa banyakkah musuh mu dari kalangan umat-umat ku?
Iblis : Lima belas iaitu;
  1. Engkau sendiri wahai Muhammad.
  2. Imam dan pemimpin yang adil.
  3. Orang kaya yang merendah diri.
  4. Pedagang yang jujur dan amanah.
  5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
  6. Orang mukmin yang memberi nasihat.
  7. Orang mukmin yang berkasih sayang.
  8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
  9. Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
  10. Orang mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
  11. Orang mukmin yang bersedekah dan menderma.
  12. Orang mukmin yang baik budi akhlaknya.
  13. Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang.
  14. Orang yang hafal Al-Quran serta selalu,membacanya.
  15. Orang yang berdiri mengerjakan solat di waktu malam sedang orang lain tidur.

Baginda Rasulullah S.A.W. bertanya lagi, *Berapa banyakkah teman mu dari umat ku?
Iblis menjawab. Sepuluh iaitu;

  1. Hakim yang tidak adil.
  2. Orang kaya yang sombong.
  3. Pedagang yang khianat.
  4. Orang pemabuk/peminum arak.
  5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
  6. Pemilik harta anak yatim.
  7. Pemakan Harta anak yatim.
  8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat.
  9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
  10. Orang yang selalu berangan-angan dan berkhayal.

SUMBER :
Dipetik dari buku 75 koleksi kisah benar dalam hidup Nabi-Nabi, para Sahabat dan Tokoh-Tokoh Islam

Thursday, December 24, 2009

Perkara Yang Disunatkan Pada 10 Muharram - Artikel 50/2009 - Tarikh : 24 Disember 2009 / 7 Muharram 1431 H

Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau lebih dikenali dengan nama Hari Asyura’. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa. Malah dalam Mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Hadith daripada Aisyah: “Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan”, Hadith riwayat
Bukhari dan Muslim.
Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.

KELEBIHAN

Baginda bersabda: “Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa
setahun sebelumnya
”. Riwayat Muslim.

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI……. Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas dalam
sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud. Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9
Muharram maka boleh juga digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.
SEJARAH 10 MUHARRAM

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada tarikh tersebut:
  • Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala’.
  • Diterima taubat Nabi Adam a.s.
  • Dicipta Adam a.s.
  • Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
  • Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
  • Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
  • Selamat Nabi Ibrahim daripada api Namrud.
  • Selamat Musa dan pengikutnya.
  • Lemas Firaun.
  • Dilahirkan Nabi Isa a.s.
  • Diangkat Nabi Isa ke langit.
  • Diangkat Nabi Idris ke langit.
  • Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
  • Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
  • Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
  • Nabi Ya’kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
  • Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
  • Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
  • Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi.
14 perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura :
  1. Melapangkan masa / belanja anak isteri . Fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
  3. Menahan marah. Fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
  5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
  6. Bersedekah. Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
  9. Bercelak. Fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
  12. Membaca “has biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru”. Fadhilat - Tidak mati pada tahun ini
  13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  14. Niat Puasa - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala. fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan
    diharamkannya daripada neraka.

Thursday, December 17, 2009

Bulan Muharram - Artikel 49/2009 - Tarikh : 17 Disember 2009 / 30 Zulhijjah 1430 H


MUHARRAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Doa Akhir Tahun

Dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijah. Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, "Kesusahan bagi ku dan sia-sialah pekerjaan ku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun."

Berikut adalah Doa Akhir Tahun:

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan larangan Mu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azab Mu yang telah ditetapkan kepada ku. Engkau telah memerintah supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dari Mu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam... Amin...

Doa Awal Tahun

Dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata: "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan."

Berikut adalah Doa Awal Tahun:

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan Mu yang Maha Agong dan kemurahan Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepada Mu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri ku kepada Mu.
Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabat. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.... Amin...


Friday, December 4, 2009

Tujuh Kalimat - Artikel 48/2009 - Tarikh : 4 Disember 2009 / 17 Zulhijjah 1430 H


Sabda Rasulullah S.A.W :
"Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak busa/buih laut "
  1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
  2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
  3. Mengucap Astagfirullah jika lidah tersilap perkataan yang tidak patut.
  4. Mengucap InsyaAllah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
  5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
  6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.
  7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa (boleh), kerana sudah biasa!
Sebaik-baik manusia adalah manusia yang selalu mengingati Allah SWT. Tidak kira di mana dan apa juga yang dilakukan, hati kita sentiasa mengingati Allah. Dengan menyebut dan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Semoga dengan melakukan amalan zikir harian ini, hati akan bertambah kasih dan cinta kepada Allah. Seterusnya akan melahirkan insan bertakwa.


Friday, November 27, 2009

Renungan di Bulan Zulhijjah - Artikel 47/2009 - Tarikh : 26 November 2009 / 9 Zulhijjah 1430 H

" KHUTBAH TERAKHIR DARI NABI MUHAMMAD SAW "

(Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah)

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kata ku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslimin adalah saudara kepada Muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam takwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaan ku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepas ku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunah ku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapan ku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kata ku dari mereka yang terus mendengar dari ku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba Mu..

Friday, November 20, 2009

Bulan Zulhijjah - Artikel 46/2009 - Tarikh : 20 November 2009 / 3 Zulhijjah 1430 H

Bulan Zulhijjah adalah salah satu di antara empat bulan haram. Bulan-bulan haram ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Bulan Zulhijjah adalah kemuncak bulan haji. Zulhijjah sendiri membawa erti "bulan haji". Sejak dari zaman sebelum Rasulullah SAW lagi umat manusia telah mengerjakan haji di bulan Zulhijjah.

Peristiwa Bulan Zulhijjah

Sejarah telah merakam berbagai peristiwa yang berlaku di bulan Zulhijjah. Umat Islam telah melalui berbagai pengalaman suka, duka, senang, susah, menang, kalah, untung dan rugi di bulan ini. Berikut adalah di antara peristiwa penting yang pernah tercatat di bulan Zulhijjah;
  1. Penyembelihan Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS yang mendapat gelaran Rasul Ulul A'zmi sekali lagi membuktikan kepatuhannya terhadap perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail AS. Ismail AS juga dengan penuh ketaatan bersedia untuk disembelih oleh ayahnya tanpa ada bantahan. Lambang kepatuhan dua beranak ini telah diabadikan menjadi syiar Islam (sembelihan). Umat Islam sama ada yang berada di Makkah ataupun di mana-mana disunatkan untuk berkorban menyembelih sama ada unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
  2. Baiatul Aqabah. Pada tahun ketiga belas selepas pelantikan Baginda SAW menjadi nabi, berlakulah peristiwa Baiatul Aqabah (perjanjian setia Aqabah), ianya disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj. Mereka telah berjanji akan terus setia mempertahan, menolong dan menyebarkan ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk Yatsrib (Madinah). Sebenarnya Baiatul Aqabah adalah pembuka kunci kepada penghijrahan nabi SAW ke Madinah. Nabi sudah menyediakan pendokong-pendokongnya terlebih dahulu di Madinah sebelum berhijrah. Maha suci Allah yang telah mengatur dan menolong kekasihnya (Rasulullah SAW).
  3. Hajjatul Wida' (Haji Selamat Tinggal) Rasulullah SAW hanya sempat mengerjakan haji sebanyak sekali sahaja seumur hidupnya. Pada tahun ke sepuluh Hijrah, Nabi saw mengerjakan 'ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wida'. Pada peristiwa Hajjatul Wida' itu, baginda SAW menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbatul Wida') yang mana amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah inti pati peraturan dan atur cara kehidupan di dalam Islam.
  4. Umar RA meninggal dunia,Uthman RA dilantik. Umar adalah khalifah ke dua selepas Abu Bakar RA. Beliau adalah sahabat rapat Rasulullah SAW dan terkenal dengan sifat tegas dan cerdik sehingga digelar dengan Umar Al-Faruk (pembeza). Pada tahun 23 Hijrah, Amir Al Mukminin Umar bin Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu'luah Al Majusi. Dengan itu urusan kepimpinan negara bertukar kepada Saidina Uthman RA. Perlantikan Uthman bin 'Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis mesyuarat Syura yang telah ditubuhkan oleh Umar bin Al Khattab sebelum kematiannya.
  5. Ali RA menjadi khalifah yang keempat. Setelah berlaku kontraversi tentang pembunuhan Uthman RA, urusan kepimpinan kerajaan diterajui pula oleh Saidina Ali RA. Perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah. Dan akhirnya Ali juga di bunuh oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

Amalan Di Bulan Zulhijjah

Bulan Zulhijjah adalah bulan haji, maka ibadat haji adalah menjadi keutamaan dikerjakan di bulan ini. Bagi yang mengerjakan haji, kita doakan mereka pergi dan kembali dalam keadaan selamat. Moga ibadah haji mereka akan diterima Allah SWT.

Bagi yang masih belum berkesempatan dan belum berkemampuan, bersabarlah dan sentiasalah memasang cita-cita untuk ke Makkah di tahun akan datang, InsyaAllah. Pada 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau disebut juga dengan Hari Raya Korban dalam bahasa Arabnya Aidiladha. Kita disunatkan bersolat sunat 'Id di pagi harinya dan disunatkan menyembelih binatang ternak yang berkaki empat (unta, lembu atau kambing).

Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah dikenali dengan Hari Tasyrik yang mana korban masih disunatkan lagi dilakukan. Disunatkan juga kita bertakbir setiap masa khasnya selepas solat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah tersebut dan diharamkan kita berpuasa padanya.

Thursday, November 19, 2009

Manusia, Malaikat & Syaitan - Artikel 45/2009 - Tarikh : 13 November 2009 / 25 Zulkaedah 1430 H

Manusia - Eh, dah subuh dah?
Malaikat - bangunlah wahai anak Adam, tunaikan solat subuh...
Syaitan - Alahhhhhh, kejaplah, ngantuk nih...

Manusia - Nak makan, laparlah
Malaikat - Wahai Anak Adam, mulakanlah dengan Bismillah...
Syaitan - Ahh, tak payahla...dah lapar nih

Manusia - Hari ni nak pakai apa yerk?
Malaikat - Wahai anak Adam, pakailah pakaian yg menutup aurat..
Syaitan - Ehh, panaslah, lagipun takde style langsung!

Manusia - Alamak, dah lewat!
Malaikat - Bersegeralah wahai anak Adam, nanti terlewat untuk ke tempat kerja
Syaitan - Nak cepat-cepat buat apa? Lambat lagi...baru pukul 7.30am...

Manusia - Azan sudah kedengaran...
Malaikat - Wahai anak Adam, bersegeralah
Syaitan - Baru pukul berapa....

Manusia - Eh, eh....tak boleh tengok nih, berdosa...
Malaikat - Wahai anak Adam, alihkanlah pandanganmu, sesungguhnya Allah MahaMelihat
Syaitan - Perggghh...best tu....

Manusia - Saudaraku sedang melakukan dosa
Malaikat - Wahai anak Adam, cegahla ia..
Syaitan - Apa kau sibuk? Jangan jaga tepi kain orang....

Manusia - Elok kalau aku sampaikan nasihat ini kepada orang lain
Malaikat - Wahai anak Adam, nasihat-menasihatilah sesama kamu..
Syaitan - Sendiri pikirlah, semua dah besar, buat apa sesusah...

Manusia - Aku telah berdosa..
Malaikat - Wahai anak Adam, kamu telah berdosa, tinggalkanlah dosa itu danbertaubatlah, sesunggunya Allah Maha Pengampun..
Syaitan - Tangguhlah dulu, lain kali boleh bertaubat (kalau sempat)..
Manusia - Kalau pergi, mesti seronok!
Malaikat - Wahai anak Adam, kakimu ingin melangkah ke jalan yang dimurkaiAllah, berpalinglah dari jalan itu
Syaitan - Jangan bimbang, tak ada sesiapa yang tahu...

Malaikat - Wahai anak Adam, taatilah Allah dan RasulNYA, kebahagiaan didunia dan akhirat untukmu.
Syaitan - Hey anak Adam, ikutilah aku, kebahagiaan di dunia (sahaja) dankebahagiaan di akhirat (jangan mimpilah!) untukmu...

Akhlak Rasullulah - Artikel 44/2009 - Tarikh : 6 November 2009 / 18 Zulkaedah 1430 H

Kisah Rasulullah S.A.W sebagai pengajaran :
  1. Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
  2. Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumah tangga.
  3. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang'
  4. Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, Belum ada sarapan ya Humaira?' (Humaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah' Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini.' tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.
  5. Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul isteri mu?' Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteri ku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia' Aku tidak bertanyakan alasan mu,' sahut Nabi s.a.w. 'Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidur mu dan ibu kepada anak-anak mu? '
  6. Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya' Prihatin, sabar dan tawaduknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.
  7. Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, ‘Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?'. 'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar' 'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas.
    Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
    'Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabat ku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasul mu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin,menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buat ku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak'
  8. Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.
  9. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang di kencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
  10. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah SAW menolak sama sekali rasa ke tuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, Baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.
  11. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah engku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?' Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur'

(Klik untuk muat turun artikel - Akhlak Rasulullah)

Friday, October 30, 2009

Bulan Zulkaedah - Artikel 43/2009 - Tarikh : 30 Oktober 2009 / 11 Zulkaedah 1430 H

Zu ertinya "yang empunya". Qa'adah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram (bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH

Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini.Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni. Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah. Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

PERISTIWA BERSEJARAH


1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut. Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy". Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan". Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

4. Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin. Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 661 Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam. Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.


SUMBER : http://www.al-azim.com/masjid/zulkaedah1426/home.htm

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Bulan Zulkaedah)

Friday, October 23, 2009

Tanda-tanda Sihir, Saka dan Histeria - Artikel 42/2009 - Tarikh : 23 Oktober 2009 / 4 Zulkaedah 1430 H

Terdapat beberapa tanda umum yang boleh dijadikan garis panduan dalam menentukan seseorang itu adalah mangsa sihir, saka, kerasukan (gangguan), histeria iaitu :
  1. Sakit tulang belakang tanpa sebab.
  2. Sakit kepala yang luar biasa dan berterusan tanpa sebab klinikal.
  3. Sakit di bahagian tulang rusuk kiri @ kanan.
  4. Sakit di bahagian tulang punggung tanpa sebab.
  5. Sakit di bahagian perut tanpa sebab.
  6. Istihadah (darah yang keluar melebihi 15 hari).
  7. Terasa ada sesuatu yang mengekori anda.
  8. Terasa ada sesuatu yang melintas di belakang anda.
  9. Sering sesak nafas terutama menjelang waktu maghrib dan tengah malam.
  10. Timbul rasa takut tanpa sebab.
  11. Nampak bayangan yang menakutkan.
  12. Nampak suatu makhluk yang aneh dan menyeramkan.
  13. Terasa seperti ada sesuatu yang menolak ketika berada dalam tandas.
  14. Sukar untuk lelapkan mata.
  15. Sering kali mimpi yang menakutkan.
  16. Sering kali mimpi binatang seperti ular, kala jengking dan lain-lain.
  17. Dihimpit sesuatu ketika tidur.
  18. Mimpi bayi atau kanak-kanak.
  19. Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.Mimpi ke tempat kotor,sunyi dan menakutkan.
  20. Terdengar suara yang datang menyergah ketika tidur.
  21. Terasa ada sesuatu yang menyentap kaki ketika tidur.
  22. Sering kali pengsan tanpa sebab.
  23. Takut untuk menziarahi jenazah.
  24. Adanya bisikan yang meminta mangsa melakukan sesuatu yang dilarang Allah.
  25. Ragu–ragu tentang keimanan. Rasa seperti hampir menemui ajal.
Kesan-kesan :
  1. Boleh membawa maut jika sampai ajal.
  2. Gila, bingung, kelakuan seperti orang bodoh.
  3. Perpecahan hubungan kekeluargaan.
  4. Sakit yang berpanjangan dan para pakar perubatan moden tidak dapat mengenal pasti penyakit berkenaan.
  5. Andartu bagi gadis. Hilang pangkat, harta benda dan kerjaya.


Thursday, October 22, 2009

.... Samb. Adab Menjaga Kuku - Artikel 41/2009 - Tarikh : 16 Oktober 2009 / 27 Syawal 1430 H

4. Menanam Potongan Kuku
Islam sangat prihatin terhadap memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota badan manusia. Potongan-potongan kuku sunat ditanam di dalam tanah sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia. Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu menanam potongan kuku.

5. Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub
Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Kerana segala potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.
6. Memanjangkan Kuku Dan Mewarnainya (Cutex)
Tabiat memanjangkan kuku dan membiarkannya tanpa dipotong adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku itu panjang, nescaya banyak perkara-perkara yang membabitkan hukum seperti wuduk, mandi wajib dan sebagainya.
Adapun dalam hal mewarnai kuku (cutex), perempuan yang bersuami adalah haram mewarnai kuku jika suaminya tidak mengizinkan. Sementara perempuan yang tidak bersuami pula, haram baginya mewarnai kuku. Demikian juga jika pewarna itu diperbuat daripada benda najis adalah haram digunakan melainkan ada hajat seperti berubat.
Jika pewarna kuku itu boleh menghalang daripada masuknya air, maka wajiblah ditanggalkan pewarna tersebut. Jika tidak ditanggalkan ia daripada kuku tangan atau kaki, maka tidaklah sah wuduk apabila dia berhadas kecil, atau mandi wajib apabila dia berhadas besar iaitu haid, nifas atau junub.
Hal ini berbeza pula dengan berinai, kerana perempuan yang bersuami atau perempuan yang hendak berihram sunat baginya berinai atau berpacar. Walau bagaimanapun cara berinai yang disunatkan itu ialah dengan menggunakan daun inai pada seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Disunatkan juga menyapukan sedikit inai Ke muka, sebab ketika ihram, perempuan disuruh membuka muka dan kadang-kadang kedua telapak tangannya akan terbuka. Maka dengan berinai itu akan menutupi warna kulit tangan dan muka.
Adapun perempuan yang tidak bersuami, adalah makruh berinai (menginai seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan) tanpa ada sesuatu sebab keuzuran dan tidak pula bermaksud untuk melakukan ihram. Ini kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah.
Sementara cara berinai dengan hanya menginaikan hujung-hujung jari sahaja dan membuat ukiran-ukiran tertentu adalah tidak dianjurkan, bahkan haram hukumnya berbuat begitu. Akan tetapi diharuskan bagi perempuan yang bersuami berinai dengan cara berkenaan dengan syarat ada keizinan daripada suami. Ini memandangkan ada tujuan isteri berhias untuk suami. Jika tanpa ada keizinan suami maka hukumnya tetap haram.
Manakala hukum berinai bagi kaum lelaki pada dua tangan dan kaki adalah haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya yang maksudnya : “Bahawa Nabi SAW melarang kaum lelaki memakai za‘faran (kuma-kuma).” (Hadis riwayat Muslim)
Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu terdapat di dalamnya unsur-unsur menyerupai cara kaum wanita berhias. Akan tetapi jika lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu ada keperluan atau hajat seperti untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidak juga dimakruhkan ke atasnya berinai



Adab Menjaga Kuku - Artikel 40/2009 - Tarikh : 9 Oktober 2009 / 20 Syawal 1430 H


Menurut Kamus Dewan, kuku ialah selaput atau bahagian keras yang tumbuh pada hujung jari manusia, benda keras yang menganjur yang tumbuh pada hujung kaki binatang (ada yang besar dan ada yang panjang dan tajam).

Kuku yang diciptakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri kepada manusia. Dalam hukum Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam. Walaupun ia dilihat hanya seolah-olah perkara kecil, namun kadang-kadang ia adalah perkara besar, sebagai contoh ketika seorang yang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kukunya. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku. Beberapa permasalahan yang berhubung kait dengan kuku dari segi hukum, hikmat memotong kuku, memanjangkan dan mewarnakannya akan dibincangkan dalam Irsyad Hukum kali ini.

1. HUKUM DAN HIKMAT MEMOTONG KUKU
Memotong kuku adalah termasuk dalam amalan sunat. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:
“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak), berkata Zakaria: “berkata Mus‘ab: “Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur.” (Hadis riwayat Muslim)
Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku ialah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celah kuku, yang mana kotoran tersebut boleh menghalang sampainya air ketika bersuci.
Selain daripada itu, jika kuku itu pula dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat di dalamnya, nescaya ia boleh menjejaskan kesihatan.

2. CARA DAN BENDA UNTUK MEMOTONG KUKU
Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.
Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari.
Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking. Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari sepertimana yang dikenali sebagai alat pemotong kuku. Setelah selesai memotong kuku, sayugia segera membasuh tangan (tempat kuku yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta. Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.

3. WAKTU MEMOTONG KUKU
Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tertakluklah pada panjang kuku tersebut. Bila-bila masa sahaja diharuskan memotong kuku apabila seseorang itu berkehendak pada memotongnya. Akan tetapi janganlah membiarkan kuku tersebut tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh hari. Sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya : “Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Adapun menurut Imam asy-Syafi‘e dan ulama-ulama asy-Syafi‘eyah, sunat memotong kuku itu sebelum mengerjakan sembahyang Jumaat, sebagaimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.

Diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma berkata yang maksudnya : “Bersabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang apa sahaja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Jumaat itu dan Jumaat sebelumnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Daripada Abu Hurairah katanya yang maksudnya : “Bahawasanya Rasulullah SAW memotong kuku dan mengunting misai pada hari Jumaat sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang.” (Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani) Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah pula, sunat memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Jumaat atau pada hari Isnin.

bersambung pada artikel akan datang ...


(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Adab Menjaga Kuku)

Friday, October 2, 2009

Fadhilat Berpuasa Enam di Bulan Syawal - Artikel 39/2009 - Tarikh : 2 Oktober 2009 / 13 Syawal 1430 H

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun (Hadis riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa). Hadis ini menjadi hujah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan. Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.

Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri. Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat?

Di dalam hadis tadi, Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki Nya. Persoalan puasa qada dan puasa enam di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu? Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada di bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekali gus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qada terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya. Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal. Namun, pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekali.

Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekali gus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk. Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha Tuhannya.

SUMBER: http://razzyy.com/ibadat/fadhilat-puasa-enam-syawal.html

Friday, September 18, 2009

Adab-adab Menyambut Hari Raya Aidilfitri - Artikel 38/2009 - Tarikh : 18 september 2009 / 28 Ramadhan 1430 H

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh syarak untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa-apa jua bentuk kebajikan.

1. Berdoa di malam raya - Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri - Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagungan Nya dengan mengucapkan takbir.

3. Mandi Sunat Aidilfitri - Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadis ini
dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok - Disunatkan memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya: Maksudnya: "Bahawasanya SAW memakai kain yang bergaris-garis (untuk diselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya." (Hadis riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seelok-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil) - Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata: Maksudnya: "Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

6. Mengucapkan tahniah - Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan: Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerima Nya daripada awak." Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi SAW) telah berkata (maksudnya): "Sahabat-sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain: Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerima Nya daripada awak." Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.

7. Ziarah menziarahi - Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman - Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

SUMBER: http://ramadhankent.blogspot.com/2008/09/tazkirah-syawal-adab-adab-menyambut.html

Friday, September 11, 2009

Keistimewaan Lailatul Qadar - Artikel 37/2009 - Tarikh : 11 september 2009 / 21 Ramadhan 1430 H

Lailatul Qadar ialah satu malam daripada malam-malam bulan ramadhan. Ia merupakan malam yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.

Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka (Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".

Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap. Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah di dalam pengetahuan Allah jua.

Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengna beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya. Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja.

Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda.

Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari
dan Muslim iaitu:

  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya

Selain tanda-tanda tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita
  • Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat
  • Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud
  • Ada yang berkata doa permohonannya makbul

* Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul qadar.

SUMBER: http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan/

Friday, September 4, 2009

NUZUL AL-QURAN - Artikel 36/2009 - Tarikh : 4 september 2009 / 14 Ramadhan 1430 H


Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran. Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).

Bila dan Bagaimana Al-Quran diturunkan
Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al- Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.
Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin) …" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). "Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).

Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.

Kandungan (isi) Al-Quran
Sudah dimaklumi oleh kaum muslimin bahawa Al-Quran terdiri daripada 114 surah (86 surah Makkiyah, 28 surah Madaniyah), dengan jumlah ayat seluruhnya adalah 6236 ayat (4613 ayat Makkiyah dan 1623 ayat Madaniyah).

Isi ajaran yang tercantum pada Al-Quran sesungguhnya meliputi tiga fasa iaitu:
  1. Merupakan cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya),
  2. Peraturan masa kini (tatkala Al-Quran diturunkan) dan
  3. Peraturan untuk masa hadapan (sejak masa Rasullullah saw, masa kini dan seterusnya hari kiamat).

Secara keseluruhannya, Al-Quran berisikan peraturan hukum berkaitan dengan masalah aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hukum dan sebagainya.

SUMBER: http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan/

Friday, August 28, 2009

Kelebihan dan Cara Mencapai Kesempurnaan Puasa - Artikel 35/2009 - Tarikh : 28 Ogos 2009 / 7 Ramadhan 1430 H

Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama, Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak
juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu,
sekalipun dia berpuasa seumur hidup
". (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Cara Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa

Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniah puasa itu, antara lain seperti berikut:
  1. Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT
  2. Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
  3. Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah SWT telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana [Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Maidah ayat 42 ] yang bermaksud : "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram".
  4. Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
  5. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang hala

Hikmat – hikmat Puasa

Puasa mempunyai hikmat-hikmat dan faedah-faedah yang banyak, antaranya :

  1. Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hambahambanya.
  2. Melatih jiwa supaya mempunyai rasa kasih dan belas terhadap orang-orang yang susah menderita.
  3. Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat tamak, sombong, hasad dan dengki.
  4. Melatih diri supaya bersifat sabar dan tahan menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.
  5. Menanam semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat menimbulkan semangat perpaduan.
  6. Menanam semangat sama rata dan menjauhkan sifat beza membeza di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung perintah Allah.
  7. Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peraturan dan menghargakan masa, kerana puasa mempunyai batas-batas waktu yang tertentu.
  8. Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang bekerja sepanjang tahun.
  9. Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh, terutamanya alat pengisar makanan yang bekerja sepanjang tahun.
  10. Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat, kerana bulan Ramadhan mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul Qadar dan sembahyang tarawih.

SUMBER: http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan/

Friday, August 21, 2009

Panduan Umum Berpuasa - Artikel 34/2009 - Tarikh : 21 Ogos 2009 / 30 Syaaban 1430 H

SYARAT WAJIB BERPUASA

  1. Islam - orang-orang kafir tidak wajib berpuasa
  2. Sampai umur - kanak-kanak yang belum cukup umur tidak wajib berpuasa
  3. Berakal (siuman) - orang yang gila tidak wajib berpuasa
  4. Berkuasa (berdaya) - orang yang sakit merbahaya, orang tua yang lemah dan sebagainya tidak wajib berpuasa
  5. Bermukim - orang yang dalam pelayaran (musafir) lebih daripada dua marhalah tidak diwajibkan berpuasa, tetapi wajib mengqada'nya di hari yang lain

SYARAT-SYARAT SAH BERPUASA

  1. Islam - tidak sah puasa orang-orang kafir dan orang murtad
  2. Berakal atau mumaiyiz - tidak sah puasa orang yang hilang akal atau belum mumaiyizs
  3. Suci daripada haid dan nifas sepanjang siang hari puasa
  4. Berniat tiap-tiap malam
  5. Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa
  6. Pada hari yang sah puasa - tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa
SUNAT – SUNAT PUASA

  1. Menyegerakan berbuka puasa manakala telah yakin masuk matahari
  2. Berbuka puasa dengan buah tamar atau benda - benda manis, dan jika tidak didapati dengan air
  3. Membaca doa yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
  4. Makan sahur
  5. Mentakhirkan (melambatkan) makan sahur, tetapi janganlah sampai masa yang disyak naik fajar
  6. Mandi kerana mengangkat hadas besar sebelum fajar
  7. Membanyakkan bersedekah dan ibadah seperti membaca Al-Quran, solat sunat seperti Tarawih dan Witir
  8. Iktikaf


PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

  1. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja
  2. Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja
  3. Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa)
  4. Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani
  5. Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya
  6. Kedatangan haid atau nifas
  7. Gila sekalipun hanya sekejap masa
  8. Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari
  9. Bersalin
  10. Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.
PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA

  1. Menelan air liur yang bersih dan dimaafkan orang yang gusinya selalu berdarah
  2. Bersuntik
  3. Termasuk debu atau tepung yang halus ke dalam rongga
  4. Termasuk lalat atau nyamuk dan seumpamanya ke dalam rongga
  5. Termasuk air berkumur-kumur atau air yang dihisap ke hidung dengan tidak bersangatan
  6. Termasuk air mandi wajib atau mandi sunat, tetapi batal puasa jika mandi bersejuk-sejuk dan bersuka ria

PERKARA YANG MAKRUH DILAKUKAN

  1. Menggosok gigi selepas gelincir matahari
  2. Merasa makanan-takut sampai ke rongga
  3. Memamah sesuatu-kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan
  4. Mencium atau mengucup isteri
  5. Banyak berkumur-kumur
  6. Mengeluarkan darah seperti berbekam dan lain-lain

PERKARA YANG MENGHARUSKAN BERBUKA

  1. Kedatangan haid dan nifas
  2. Sakit yang membahayakan
  3. Sakit yang tiada harapan sembuh
  4. Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan
  5. Dalam perjalanan (Safar) sejauh dua marhalah atau lebih
  6. Tua yang tidak berdaya untuk berpuasa
  7. Kandungan dalam perut bagi perempuan
  8. Menyusukan anak kecil.
NIAT PUASA RAMADHAN
“Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

NIAT BERBUKA PUASA
“Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau
aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang”.


Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan Rasul Nya, ia juga penghulu segala bulan. Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suci Nya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk kepada manusia. [Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 185] yang bermaksud :

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan
kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah".


SUMBER: http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan/ dan http://panjangakal.com/blog/2008/08/30/lafaz-niat-puasa-ramadhan-dan-berbuka.html

Tuesday, August 18, 2009

Samb ... Hari Kiamat - Artikel 33/2009 - Tarikh : 14 Ogos 2009 / 23 Syaaban 1430 H

PERISTIWA DI PADANG MAHSYAR

Manusia dibangunkan dalam keadaan telanjang melainkan mereka yang beriman. Jalan masing-masing tidak kenal antara satu kecuali 7 golongan. Mengikut Riwayat, Rasullullah saw dan Nabi Ibrahim as diberi pakaian terlebih dahulu diikuti yang lain (para Nabi, Sahabat dan mereka yang beriman). 7 golongan tersebut adalah :

1. Pemimpin yang adil
2. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid
3. Lelaki yang bersedekah tetapi tidak diketahui
4. Orang muda yang taat kepada perintah Allah
5. Lelaki yang diajak oleh wanita, tetapi dia menolak dengan kata "Aku takut pada Allah"
6. Lelaki yang senantiasa mengingati Allah dan takut pada Allah
7. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

(Didalam Al-Quran jika ia dirujuk sebagai lelaki maka ada juanyabermaksud atau bersama perempuan)

Setelah 40 tahun (di Mahsyar) iaitu 1 tahun bersamaan 50,000 tahun di dunia, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi".. maka yang mengetuai setiap kumpulan ialah para ulama dan para ambia. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam menyatakan beliau juga ada melakukan dosa kerana memakan buah larangan di syurga. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Rasullullah saw memohon kepada Allah dan syafaat baginda telah meletakkan Padang Mahsyar menjadi tempat Soal Jawab, Membaca catatan Amalan dan Hisab.

Manakala orang kafir dan syaitan akan dikumpulkan di sekeliling Neraka Jahanam. "Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk bertelut di keliling Neraka jahanam." Surah Maryam Ayat 68. Kemudian manusia meniti Siratul Mustakim yang mana perjalanannya mengambil masa 15,000 tahun perjalanan (persamaan di dunia tidak dinyatakan). Dan setiap 1000 manusia yang meniti hanya tinggal 1 sahaja yang akan berada di titian sirat (iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh) untuk meneruskan perjalanan ke syurga (sepantas kilat bagi mereka yang beriman) . 999 manusia akan jatuh ke bawah dari sirat dan akan tiba di dasar neraka setelah 60 tahun. (*Mengikut Riwayat, anak yang meninggal sewaktu kecil akan menunggu ibu bapanya di atas sirat).

Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi "Sidratul-Muntaha"; Yang di sisinya terletak syurga "Jannatul-Makwa". (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa "Sidratul-Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Surah An-Najm Ayat 13-16

Kesimpulannya : Mati adalah benar, hidup kembali di Alam Barzah dan Alam Akhirat adalah benar. Amatlah ruginya jika kita leka di dunia yang masanya sungguh singkat namun amalan dan sumbangan kita terhadap agama Allah amatlah besar pada ketika itu untuk menghadapi Alam seterusnya. Diceritakan kisah di dalam Al-Quran di mana manusia akan menyesali di atas kelalaian mereka di dunia sebaik sahaja melihat api neraka.

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Samb ... Hari Kiamat)

Friday, August 7, 2009

Hari Kiamat - Artikel 32/2009 - Tarikh : 7 Ogos 2009 / 16 Syaaban 1430 H

Setiap Islam wajib mempercayai Hari Kiamat. Terdapat 5 alam yang dilalui oleh setiap manusia iaitu :

1. ALAM ROH
Alam di mana setiap manusia berjanji menyembah Allah dan mengikuti segala suruhan dan meninggalkan laranganNya. Manusia dihidupkan selepas Nabi Adam

2. ALAM RAHIM
Selama 120 hari berada di dalam rahim (tidak lagi mengingati segala peristiwa Alam Roh)

3. ALAM DUNIA
Manusia hidup di dalam satu alam yang amat-amat singkat tetapi amat-amat penting untuk alam yang seterusnya. Hidup sehingga 65 tahun-75 tahun

4. ALAM KUBUR
Alam Kubur adalah bersamaan 40 tahun. 1 tahun bersamaan 1000 tahun di dunia. Hadis Imam At Tirmudzi menerusi Abi'Sa'iid ; Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya kubur itu adalah suatu kebun antara kebun-kebun Syurga ataupun satu lubang antara lubang-lubang Neraka"

5. ALAM MAHSYAR
Alam Mahsyar adalah bersamaan 300 tahun. 1 tahun bersamaan 50,000 tahun di dunia. Alam Mahsyar dimulakan apabila 2 tiupan sangkakala ditiup oleh Malaikat Israfil. Tiupan pertama mematikan semua kehidupan manakala tiupan yang kedua menghidupkannya kembali di mana bumi memuntahkan isinya.

* Dalam riwayat dinyatakan Kaabah akan berjalan masuk bersama dengan bumi Mekah dan Madinah bersama isi buminya apabila kiamat tiba (termasuk orang beriman yang mati di Mekah / Madinah). Sunat untuk kita berniat untuk mati di Mekah atau Madinah sahaja. Haram berniat untuk mati ditempat yg lain.

* Rasullullah s.a.w yang pertama sekali dibangkitkan di mana Rasullullah s.a.w bertanya pada Jibrail " Di mana kamu tinggalkan umatku"

* Di dalam Surah Al-Waaqi'ah Allah menyebutkan di permulaan keadaan/suasana Kiamat Besar dimana manusia terbahagi kepada tiga golongan :

  1. Muqarrabiin; iaitu orang-orang yang dapat memasuki Syurga di peringkat awal
  2. Abraar; iaitu orang-orang yang baik-baik mereka ini ialah golongan Kanan (Golongan Bertuah Peringkat Kedua)
  3. Fujjaar; iaitu orang-orang yang jahat-jahat; mereka ini ialah golongan kiri (golongan celaka/sial)
* Kemudian Allah menyebutkan di akhirnya keadaan Kiamat Kecil di mana manusia terbahagi kepada tiga golongan juga iaitu :

  1. Muqarrabiin
  2. Golongan Kanan
  3. Golongan Pendusta Yang Sesat.

Bersambung pada artikel akan datang ....

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Hari Kiamat)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…