"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Thursday, April 30, 2009

Bulan Jamadilawal - Artikel 18/2009 - Tarikh : 30 April 2009 / 5 Jamadilawal 1430 H

Jamadilawal memberi erti permulaan musim sejuk. Dari segi bahasa, ia bermaksud kering atau beku. Bulan ini dinamakan sedemikian adalah kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami kekeringan air atau air menjadi beku. Pada ketika itu parit, sumur, sungai dan lembah menjadi kering.


Antara peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Jamadilawal :-

1. Peperangan "Al-'Ashirah" pada tahun kedua Hijrah, dipimpin oleh Baginda s.a.w. Tidak berlaku apa-apa pertempuran disebabkan perjanjian damai yang dimeterai antara Rasulullah s.a.w. dengan Bani Mudlij dan penyokong mereka Bani Hamzah. Baginda s.a.w. bersama sahabat kembali ke Madinah.

2. Peperangan "Zat Ar-Riqa`" pada tahun kedua Hijrah, diketuai oleh Baginda s.a.w. Ianya di satu kawasan di daerah Najd di kediaman Bani Muharib dan Bani Tha`labah dari kaum Ghatafan. Tiada pertempuran dan peperangan yang berlaku, ianya dinamakan Zat Ar Riqa' (yang mempunyai cebisan kain) kerana para sahabat membalut kaki-kaki mereka dengan cebisan kain kerana kepanasan bumi Najd.

3. Perutusan sekumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah ke "Al-Qussah" seramai 10 orang. Ianya bertujuan memerangi Bani Tha`labah, tetapi perutusan tersebut telah diserang hendap oleh seratus orang Badwi dan membunuh kesemua perutusan itu kecuali Muhammad bin Maslamah yang mendapat kecederaan parah sehingga orang-orang Badwi menyangkanya telah mati. Sekumpulan Badwi yang lain telah membawa beliau ke Madinah untuk mendapatkan rawatan di sana.

4. Peperangan Mu'tah pada tahun kelapan Hijrah. Ianya disebabkan oleh pembunuhan yang dilakukan oleh Syarahbil bin `Amr Al-Futhaniy terhadap seorang utusan Rasulullah s.a.w. iaitu Al-Harith bin `Umair Al-Azdiy dari kaum Bani Lahab. Beliau diutus oleh Baginda s.a.w. membawa sepucuk surat kepada Maharaja Rom atau Pembesar Busra tetapi dia telah ditahan dan diikat oleh Syarahbil lalu dibunuhnya. Rasulullah s.a.w. amat murka dengan pembunuhan tersebut kerana mengikut peraturan pada zaman itu seseorang utusan tidak boleh diapa-apakan sehinggalah dia pulang ke tempat asalnya. Baginda s.a.w. menghantar sekumpulan tentera yang dikepalai oleh Zaid bin Harithah dan berpesan "sekiranya Zaid terkorban, dia hendaklah diganti oleh Ja'afar bin Abi Talib, sekiranya dia terkorban juga Abdullah bin Abi Rawahah akan memimpin tentera tadi". Kesemua sahabat tadi syahid di dalam peperangan itu lalu ianya dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid yang telah mengundurkan tentera Islam secara tersusun dan kemas tanpa mengalami apa-apa kehilangan jiwa dan kekalahan.

5. Peperangan Ajnadain pada tahun kelima belas Hijrah. Ianya berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`As, Abu `Ubadah bin Al-Jarrah dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang dikepalai oleh Wardan di kawasan Ajnadain di Timur Yerusalem (Al-Quds). Tentera Rom tewas di dalam peperangan itu dan pemimpin mereka Wardan juga mati di situ. Ianya berlaku berhampiran bandar Ramallah dan membuka jalan untuk pembukaan bandar Palestin.

6. Kematian Asma' binti Abi Bakar As-Siddiq yang digelar "Zat An-Nitoqain", salah seorang yang dijanji masuk ke syurga Allah s.w.t. dan merupakan orang perempuan kedua yang memeluk Islam selepas Khadijah binti Khuwailid. Beliau meninggal pada tahun 73 Hijrah semasa berumur seratus tahun. Merupakan ibu kepada Abdullah bin Az-Zubair yang telah dibunuh oleh Al-Hajjaj Ath-Thaqafiy.

7. Kematian Abdullah bin Az-Zubair pada 17 Jamadil Awal tahun ke 73 Hijrah yang merupakan anak kaum Muhajirin yang pertama dilahirkan di Madinah semasa penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah. Bapanya Az-Zubair bin Al-`Awwam sepupu Nabi s.a.w. dan ibunya Asma' binti Abu Bakar As-Siddiq, emak saudaranya `Aishah binti Abu Bakar. Beliau syahid dibunuh oleh Al-Hajjaj bin Yusuf pembesar kerajaan Bani Umaiyah.

Fadhilat :-
Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardu mahupun yang sunat di bulan Jamadilawal adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.


Terdapat banyak lagi amalan sunat yang masih kita tak buat atau tak berkesempatan buat. Maka pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini. Disamping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.

Diantara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah saw sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat qabliah dan ba`diah, puasa Isnin / Khamis, sedekah, membaca Al-Qur`an dan lain-lain lagi.

SUMBER : http://www.al-azim.com/masjid/jamadilawal/home.htm

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Bulan Jamadilawal)

Friday, April 24, 2009

Sumayyah Wanita Pertama Mati Syahid - Artikel 17/2009 - Tarikh : 24 April 2009 / 28 Rabiulakhir 1430 H

Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.

Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

"Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami," kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.

"Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita," kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.

"Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka," tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.

Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

"Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu," Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.

"Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami," balas Yasir dengan tenang.

"Saya beriman dengan Allah sahaja," kata Sumayyah pula.

"Berani kamu melawan kata-kata saya," api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.

"Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu," Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.

Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

"Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini," sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.

"Tiada tuhan melainkan Allah," kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.

"Letakkan batu besar ke atas badan Yasir," arah Abu Jahal lagi kerana geram mendengar kata-kata Yasir sekeluarga.

Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal.

Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kepada suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.

"Kamu pun mahu mati seperti suami kamu. Lebih baik kamu terima tawaran saya sebelum ajal kamu tiba!" Abu Jahal mahu menunjukkan yang seksaannya mampu mengubah pendirian pengikut Nabi Muhammad kepada ajaran berhala.

"Jangan kamu berharap saya akan menurut kata-kata kamu itu. Tiada tuhan melainkan Allah,". Hati Sumayyah keras seperti batu teguh pada keimanannya pada Allah.

"Kamu sudah semakin degil dan melawan kata-kata saya!" Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu dicucuk ke dalam alat sulit Sumayyah.

"Allahu Akbar". Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal itu.

Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah adalah peristiwa penting dalam sejarah pengembangan agama Islam. Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam.

SUMBER : BICARA AGAMA, UTUSAN ONLINE 4 MAC 2009

Friday, April 17, 2009

Hadis-hadis Mengenai Fadhilat Al-Qur’an - Artikel 16/2009 - Tarikh : 17 April 2009 / 21 Rabiulakhir 1430 H

HADIS 1
Hazrat ’Uthman RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda,
“Yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”
(Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, dan Ibn Majah)

HADIS 2
Hazrat Abu Sa’id RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“ALLAH TAALA berfirman, “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKU dan berdoa kepadaKU kerana sibuk dengan al-quran maka aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang AKU kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaKU. Ketinggian perkataan ALLAH TAALA ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian ALLAH TAALA ke atas segala makhluk (ciptaan NYA).”
(Hadith riwayat Tirmizi, Darimi, dan Baihaqi)

HADIS 3
Hazrat ‘Uqbah bin Amir RA berkata, “Rasulullah SAW datang kepada kami sedang duduk di atas ’suffah’ dan bertanya,
“Siapakah antara kamu yang suka pergi ke pasar Buthan atau ‘Aqiq setiap hari dan membawa pulang dua ekor unta betina daripada jenis yang terbaik tanpa melakukan satu dosa pun atau memutuskan (tali) silatur-rahim?”
Kami menjawab, “setiap orang daripada kami akan menyukainya,”
Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang pergi ke masjid dan mengajar atau membaca dua potong ayat daripada al-quran adalah lebih baik baginya daripada dua ekor unta betina, tiga ayat adalah lebih baik baginya baginya daripada tiga ekor unta betina, dan begitu juga empat potong ayat adalah lebih baik baginya baginya daripada empat ekor unta betina dan mengikut bilangan ayat-ayat yang sama dengan bilangan unta jantan (al-ibil).”
(Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud)

HADIS 4
Hazrat ‘Aishah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan berada bersama malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran,”
(Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, dan Ibnu Majah)

HADIS 5
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang. Sesorang yang ALLAH TAALA telah merahmatinya dengan pembacaan al-Quran maka dia berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu (di jalan ALLAH TAALA) siang dan malam.”
(Hadith riwayat Bukhari, Tirmizi, dan Nasai)

HADIS 6
Hazrat Abu Musa R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun
tidak mempunyai bau namun berasa manis. Perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran adalah seumpama buah ‘peria pahit’, buah itu tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran adalah seperti bunga ‘raihanah’, berbau harum, tetapi berasa pahit.”

(Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah)

HADIS 7
Hazrat ‘Abdul Rahman bin ‘Auf R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Tiga perkara akan berada di bawah naungan ‘Arasy ALLAH TAALA pada hari kiamat. Pertama, al-Quran. Al-Quran akan berhujah dengan manusia dan al-Quran ini mempunyai zahir dan batin. Kedua, amanah. Ketiga, tali persaudaraan (silatur-rahim) yang akan mengisytiharkan, “ketahuhilah, sesiapa yang menghubungkan daku maka ALLAH TAALA akan menghubungkannya (dengan rahmatNYA), sesiapa yang memutuskan daku maka ALLAH TAALA akan memutuskannya (daripada rahmatnya).”
(Hadith diriwayatkan dalam kitab Sharhussunnah)

HADIS 8
Hazrat ‘Abdullah bin ‘Amr R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“(Pada hari pengadilan kelak) akan dikatakan kepada orang al-Quran, “Bacalah al-Quran dengan tartil sebagaimana kamu telah membacanya di dunia dan naiklah (darjat demi darjat di dalam syurga). Sesungguhnya tempat (kedudukan) kamu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca.”
(Hadith riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban dalam sahihnya.)

HADIS 9
Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”
(Hadith riwayat Tirmizi)

SUMBER : http://sekolahatapaje.blogmas.com/category/200-fadhilat-al-quran/


(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Hadis-hadis Mengenai Fadhilat Al-Qur’an)

Friday, April 10, 2009

Lima Belas Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala - Artikel 15/2009 - Tarikh : 10 April 2009 / 14 Rabiulakhir 1430 H

Ertinya: Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: ” Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.

4. Suami memperturutkan kehendak isteri.

5. Anak derhaka terhadap ibunya.

6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya.

7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain”. H.R Termizi

Keterangan :Dunia pada hari ini telah membuat segala apa yang telah disabdakan Rasulullah saw. Ini, cuma mungkin belum sampai ke peringkat akhir.

SUMBER : http://www.pekida.org/hadis40/hadis35.htm

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Lima Belas Maksiat Yang Akan Menurunkan Bala)

Friday, April 3, 2009

Peristiwa di Bulan Rabiulakhir - Artikel 14/2009 - Tarikh : 3 April 2009 / 7 Rabiulakhir 1430 H

Jika Rabiulawal bererti bermulanya musim bunga bagi tanaman maka Rabiulakhir pula ertinya musim bunga yang akhir. Bulan ini merupakan peringkat akhir bagi tanaman-tanaman berbunga.

Pada waktu itu biasanya tanaman-tanaman di Tanah Arab akan mengalami peringkat akhir berbunga sebelum musim sejuk tiba. Selain dari Rabiulakhir, bulan ini juga dipanggil dengan nama Rabiul Thani yang membawa pengertian yang sama.

Perlu diketahui bahawa itu adalah gelaran nama bagi satu-satu bulan yang pada asalnya nama itu sudah wujud sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w lagi dan setelah Rasulullah mendapati nama-nama bulan itu tidak memberi makna yang buruk maka Rasulullah s.a.w mengekalkannya. Maka sebenarnya nama Rabiulakhir itu sendiri tidak ada perkaitan dengan ketetapan musim bunga atau buah kepada tanaman.

Cuaca, iklim, suhu dan musim adalah berkait rapat dengan peredaran matahari dan bintang-bintang lain sedangkan takwim Islam Qamari adalah berlandaskan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.

Kesimpulannya, Rabiulakhir yang bermakna musim bunga yang akhir tidak dapat dikaitkan dengan musim bunga sebenarnya, ia hanya sekadar nama bagi bulan itu sendiri.

Antara peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Rabiulakhir :-
1. Peperangan - ada beberapa peperangan yang dicatat berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w yang berlaku di bulan Rabiulakhir di antaranya Peperangan Najran, Pengusiran kaum Yahudi Bani Nadir, Peperangan Al-Ghabah / Zi-Qarad dan Peperangan Al-Ghamar.

2. Pengepungan Damsyik - pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a diketuai oleh Abu 'Ubaidah bin Al Jarrah dan Khalid bin Al Walid r.a tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.

3. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a meninggal dunia dan Sayidina Umar Al-Khattab r.a di bai`ah menjadi Khalifah yang kedua.

4. Peperangan Jamal - tahun fitnah di mana Sayidina Aisyah r.a terheret dalam kancah peperangan menentang Khalifah Ali r.a.

5. Ramai sahabat-sahabat yang gugur syahid antaranya Talhah r.a dan Ibnu Zubir r.a.

6. Imam Ghazali meninggal dunia.

7. Ada pendapat yang mengatakan 27 Rabiulakhir adalah tarikh Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w (tarikh difardukan solat). Namun begitu tarikh yang masyhur dan yang diguna pakai di Malaysia ialah 27 Rejab. Sehingga sekarang masih belum ada kajian rasmi individu atau pihak tertentu yang menyemak kembali tarikh sebenar Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w.

Fadhilat :-
Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardu mahupun yang sunat di bulan Rabiulakhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.

Terdapat banyak lagi amalan sunat yang masih kita tidak lakukan atau tidak berkesempatan melakukannya. Maka pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini.

Disamping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.

Di antara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat qabliah dan ba`diah, puasa Isnin / Khamis, sedekah, membaca Al-Qur`an dan lain-lain lagi.

SUMBER : http://www.al-azim.com/masjid/rabiulakhir/home.htm#peristiwa

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Amalan Bila Bayi Baru Lahir )

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…