"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, July 31, 2009

10 Amalan Terbalik.. Betulkan segera!!! - Artikel 31/2009 - Tarikh : 24 Julai 2009 / 9 Syaaban 1430 H

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh:-

  1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah. Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
  2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarahi orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarahi keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan
  3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila menghadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
  4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidangkan supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
  5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
  6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
  7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
  8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
  9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumah Nya segan dan malas.
  10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - 10 Amalan Terbalik.. Betulkan segera!!!)

Friday, July 24, 2009

Bulan Syaaban - Artikel 30/2009 - Tarikh : 24 Julai 2009 / 2 Syaaban 1430 H

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraish pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

1. Memperbanyakkan Puasa Sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

2. Memperbanyakkan doa, zikir, selawat kepada Rasulullah SAW

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin).

3. Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."



SUMBER : http://www.al-azim.com/masjid/syaaban/home.htm

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Bulan Syaaban)

Friday, July 17, 2009

Teka-Teki Imam Ghazali - Artikel 29/2009 - Tarikh : 17 Julai 2009 / 24 Rejab 1430 H

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) :

(1) Imam Ghazali: " Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1: " Orang tua " Murid 2: " Guru " Murid 3: " Teman " Murid 4: " Kaum kerabat "
Imam Ghazali: " Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).

(2) Imam Ghazali: " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?"
Murid 1: " Negeri Cina " Murid 2: " Bulan " Murid 3: " Matahari " Murid 4: " Bintang-bintang "
Imam Ghazali: " Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama".

(3) Imam Ghazali: " Apa yang paling besar di dunia ini ?"
Murid 1: " Gunung " Murid 2: " Matahari " Murid 3: " Bumi "
Imam Ghazali: " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."

(4) Imam Ghazali:" Apa yang paling berat di dunia? "
Murid 1: " Baja " Murid 2: " Besi " Murid 3: " Gajah "
Imam Ghazali: " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."

(5) Imam Ghazali: " Apa yang paling ringan di dunia ini ?"
Murid 1: " Kapas" Murid 2: " Angin " Murid 3: " Debu " Murid 4: " Daun-daun"
Imam Ghazali: " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat "

(6) Imam Ghazali: " Apa yang paling tajam sekali di dunia ini "
Murid- Murid dengan serentak menjawab: " Pedang "
Imam Ghazali: " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri "

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Teka-Teki Imam Ghazali )

Friday, July 10, 2009

Pengajaran Israk dan Mikraj - Artikel 28/2009 - Tarikh : 10 Julai 2009 / 17 Rejab 1430 H

Pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj begitu luas sekali meliputi sudut-sudut akidah dan syariat pada umumnya. Bahkan beberapa detik sebelum Israk bermula terdapat suatu pengajaran penting iaitu proses tazkirah atau pun pembersihan diri rohani.

Israk bermaksud perjalanan waktu malam yang amat menakjubkan, bermula dari Masjid Al-Haram Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin. Manakala Mikraj pula, perjalanan dari Masjid Al-Aqsa naik ke petala langit sehingga ke peringkat yang tiada dalam pengetahuan makhluk.

Nas al-Quran tentang Israk ialah [firman Allah dalam Surah Al-Isra' Ayat 1] bermaksud :

"Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui".

Tentang Mikraj pula, [firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Najm ayat 13-18] bermaksud:

"Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi. Di sisi "Sidratulmuntaha" yang di sisinya terletak Syurga "Jannatulma'wa" ;. (Nabi Muhammad melihat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa "Sidratulmuntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya! Ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya".

Menurut hadis-hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, kisah Israk dan Mikraj bermula dengan proses pembelahan dada Rasulullah s.a.w. Demikian juga hadis riwayat Ahmad melalui sanad Anas bin Malik, berkata, Ubai bin Kaab, telah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: "Atap rumah ku dibuka sewaktu aku di Mekah. Turun Jibril membelah dada ku. Kemudian Jibril membasuh dada ku dengan air zam-zam. Jibril kemudian membawa satu bekas yang diperbuat dari emas, di dalamnya berisi hikmah dan iman. Maka Jibril memenuhkan dada ku dengan hikmah dan iman. Kemudian Jibril menutup semula dada ku".

Dari hadis ini antara lain dapat dikatakan, bahawa untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. hendaklah kita mulakan dengan membersihkan diri rohani. Iaitu pembersihan hati kerana hati adalah tempat makrifah. Hati adalah sepotong daging. Jika ia baik, maka baiklah anggota badan. Hati juga tempat musyahadah. Hanya kebenaran sahaja yang bertakhta di hati.

Umat Islam diingatkan tentang kebersihan hati. Peristiwa pembelahan dada Rasulullah s.w.t. dalam kisah Israk dan Mikraj adalah simbol taubat kepada kita. Ianya juga sebagai petunjuk yang jelas untuk kita sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t. ketika mula melakukan sebarang pekerjaan yang berfaedah.

Membersihkan diri rohani termasuk menyucikan diri dari segala kekotoran. Allah s.w.t. telah menjelaskan bahawa orang membersihkan diri rohani dan menyebut nama Allah di dalam hati, dan mendirikan solat tetap akan mendapat keuntungan. Dia beruntung di dunia, iaitu hidup berhubung rapat dengan Allah. Dia hidup dengan hati yang mengecapi kemanisan berzikir. Dia juga beruntung di akhirat, iaitu terselamat dari api Neraka yang amat pedih dan mendapat nikmat syurga serta keredhaan Allah. [Firman Allah dalam Surah Al-A’la ayat 14-17] bermaksud:

"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu mengutamakan kehidupan dunia; Pada hal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal".

SUMBER : Yayasan Islam Terengganu

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Pengajaran Israk dan Mikraj)


Friday, July 3, 2009

Bulan Rejab - Artikel 27/2009 - Tarikh : 3 Julai 2009 / 10 Rejab 1430 H

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memuliakan dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj.

Peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Rejab
Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

1. Hijrah Pertama

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Di antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Sayidina Othman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Israk dan Mikraj

Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.

Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rabiulakhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 Rabiulawal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 Rabiulawal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu.

Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan).

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitulmuqaddis

Baitulmuqaddis telah dibuka pada zaman Sayidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmuqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmuqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmuqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitulmuqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitulmuqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.

Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masihi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Di antara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.


SUMBER : http://www.al-azim.com/masjid/rejab/

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Peristiwa Bulan Rejab)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…