"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak
juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu,
sekalipun dia berpuasa seumur hidup". (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
Cara Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniah puasa itu, antara lain seperti berikut:
- Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT
- Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
- Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah SWT telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana [Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Maidah ayat 42 ] yang bermaksud : "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram".
- Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
- Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang hala
Hikmat – hikmat Puasa
Puasa mempunyai hikmat-hikmat dan faedah-faedah yang banyak, antaranya :
- Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hambahambanya.
- Melatih jiwa supaya mempunyai rasa kasih dan belas terhadap orang-orang yang susah menderita.
- Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat tamak, sombong, hasad dan dengki.
- Melatih diri supaya bersifat sabar dan tahan menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.
- Menanam semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat menimbulkan semangat perpaduan.
- Menanam semangat sama rata dan menjauhkan sifat beza membeza di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung perintah Allah.
- Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peraturan dan menghargakan masa, kerana puasa mempunyai batas-batas waktu yang tertentu.
- Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang bekerja sepanjang tahun.
- Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh, terutamanya alat pengisar makanan yang bekerja sepanjang tahun.
- Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat, kerana bulan Ramadhan mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul Qadar dan sembahyang tarawih.