"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, October 30, 2009

Bulan Zulkaedah - Artikel 43/2009 - Tarikh : 30 Oktober 2009 / 11 Zulkaedah 1430 H

Zu ertinya "yang empunya". Qa'adah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram (bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang). Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya. Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH

Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini.Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni. Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah. Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban.

PERISTIWA BERSEJARAH


1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut. Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy". Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy. Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan". Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

4. Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin. Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 661 Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam. Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.


SUMBER : http://www.al-azim.com/masjid/zulkaedah1426/home.htm

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Bulan Zulkaedah)

Friday, October 23, 2009

Tanda-tanda Sihir, Saka dan Histeria - Artikel 42/2009 - Tarikh : 23 Oktober 2009 / 4 Zulkaedah 1430 H

Terdapat beberapa tanda umum yang boleh dijadikan garis panduan dalam menentukan seseorang itu adalah mangsa sihir, saka, kerasukan (gangguan), histeria iaitu :
  1. Sakit tulang belakang tanpa sebab.
  2. Sakit kepala yang luar biasa dan berterusan tanpa sebab klinikal.
  3. Sakit di bahagian tulang rusuk kiri @ kanan.
  4. Sakit di bahagian tulang punggung tanpa sebab.
  5. Sakit di bahagian perut tanpa sebab.
  6. Istihadah (darah yang keluar melebihi 15 hari).
  7. Terasa ada sesuatu yang mengekori anda.
  8. Terasa ada sesuatu yang melintas di belakang anda.
  9. Sering sesak nafas terutama menjelang waktu maghrib dan tengah malam.
  10. Timbul rasa takut tanpa sebab.
  11. Nampak bayangan yang menakutkan.
  12. Nampak suatu makhluk yang aneh dan menyeramkan.
  13. Terasa seperti ada sesuatu yang menolak ketika berada dalam tandas.
  14. Sukar untuk lelapkan mata.
  15. Sering kali mimpi yang menakutkan.
  16. Sering kali mimpi binatang seperti ular, kala jengking dan lain-lain.
  17. Dihimpit sesuatu ketika tidur.
  18. Mimpi bayi atau kanak-kanak.
  19. Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.Mimpi ke tempat kotor,sunyi dan menakutkan.
  20. Terdengar suara yang datang menyergah ketika tidur.
  21. Terasa ada sesuatu yang menyentap kaki ketika tidur.
  22. Sering kali pengsan tanpa sebab.
  23. Takut untuk menziarahi jenazah.
  24. Adanya bisikan yang meminta mangsa melakukan sesuatu yang dilarang Allah.
  25. Ragu–ragu tentang keimanan. Rasa seperti hampir menemui ajal.
Kesan-kesan :
  1. Boleh membawa maut jika sampai ajal.
  2. Gila, bingung, kelakuan seperti orang bodoh.
  3. Perpecahan hubungan kekeluargaan.
  4. Sakit yang berpanjangan dan para pakar perubatan moden tidak dapat mengenal pasti penyakit berkenaan.
  5. Andartu bagi gadis. Hilang pangkat, harta benda dan kerjaya.


Thursday, October 22, 2009

.... Samb. Adab Menjaga Kuku - Artikel 41/2009 - Tarikh : 16 Oktober 2009 / 27 Syawal 1430 H

4. Menanam Potongan Kuku
Islam sangat prihatin terhadap memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota badan manusia. Potongan-potongan kuku sunat ditanam di dalam tanah sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia. Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu menanam potongan kuku.

5. Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub
Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Kerana segala potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.
6. Memanjangkan Kuku Dan Mewarnainya (Cutex)
Tabiat memanjangkan kuku dan membiarkannya tanpa dipotong adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, kerana Baginda menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku itu panjang, nescaya banyak perkara-perkara yang membabitkan hukum seperti wuduk, mandi wajib dan sebagainya.
Adapun dalam hal mewarnai kuku (cutex), perempuan yang bersuami adalah haram mewarnai kuku jika suaminya tidak mengizinkan. Sementara perempuan yang tidak bersuami pula, haram baginya mewarnai kuku. Demikian juga jika pewarna itu diperbuat daripada benda najis adalah haram digunakan melainkan ada hajat seperti berubat.
Jika pewarna kuku itu boleh menghalang daripada masuknya air, maka wajiblah ditanggalkan pewarna tersebut. Jika tidak ditanggalkan ia daripada kuku tangan atau kaki, maka tidaklah sah wuduk apabila dia berhadas kecil, atau mandi wajib apabila dia berhadas besar iaitu haid, nifas atau junub.
Hal ini berbeza pula dengan berinai, kerana perempuan yang bersuami atau perempuan yang hendak berihram sunat baginya berinai atau berpacar. Walau bagaimanapun cara berinai yang disunatkan itu ialah dengan menggunakan daun inai pada seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Disunatkan juga menyapukan sedikit inai Ke muka, sebab ketika ihram, perempuan disuruh membuka muka dan kadang-kadang kedua telapak tangannya akan terbuka. Maka dengan berinai itu akan menutupi warna kulit tangan dan muka.
Adapun perempuan yang tidak bersuami, adalah makruh berinai (menginai seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan) tanpa ada sesuatu sebab keuzuran dan tidak pula bermaksud untuk melakukan ihram. Ini kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah.
Sementara cara berinai dengan hanya menginaikan hujung-hujung jari sahaja dan membuat ukiran-ukiran tertentu adalah tidak dianjurkan, bahkan haram hukumnya berbuat begitu. Akan tetapi diharuskan bagi perempuan yang bersuami berinai dengan cara berkenaan dengan syarat ada keizinan daripada suami. Ini memandangkan ada tujuan isteri berhias untuk suami. Jika tanpa ada keizinan suami maka hukumnya tetap haram.
Manakala hukum berinai bagi kaum lelaki pada dua tangan dan kaki adalah haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya yang maksudnya : “Bahawa Nabi SAW melarang kaum lelaki memakai za‘faran (kuma-kuma).” (Hadis riwayat Muslim)
Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu terdapat di dalamnya unsur-unsur menyerupai cara kaum wanita berhias. Akan tetapi jika lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu ada keperluan atau hajat seperti untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidak juga dimakruhkan ke atasnya berinai



Adab Menjaga Kuku - Artikel 40/2009 - Tarikh : 9 Oktober 2009 / 20 Syawal 1430 H


Menurut Kamus Dewan, kuku ialah selaput atau bahagian keras yang tumbuh pada hujung jari manusia, benda keras yang menganjur yang tumbuh pada hujung kaki binatang (ada yang besar dan ada yang panjang dan tajam).

Kuku yang diciptakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri kepada manusia. Dalam hukum Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam. Walaupun ia dilihat hanya seolah-olah perkara kecil, namun kadang-kadang ia adalah perkara besar, sebagai contoh ketika seorang yang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kukunya. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku. Beberapa permasalahan yang berhubung kait dengan kuku dari segi hukum, hikmat memotong kuku, memanjangkan dan mewarnakannya akan dibincangkan dalam Irsyad Hukum kali ini.

1. HUKUM DAN HIKMAT MEMOTONG KUKU
Memotong kuku adalah termasuk dalam amalan sunat. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:
“Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinjak), berkata Zakaria: “berkata Mus‘ab: “Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur.” (Hadis riwayat Muslim)
Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku ialah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celah kuku, yang mana kotoran tersebut boleh menghalang sampainya air ketika bersuci.
Selain daripada itu, jika kuku itu pula dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat di dalamnya, nescaya ia boleh menjejaskan kesihatan.

2. CARA DAN BENDA UNTUK MEMOTONG KUKU
Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.
Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari.
Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking. Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari sepertimana yang dikenali sebagai alat pemotong kuku. Setelah selesai memotong kuku, sayugia segera membasuh tangan (tempat kuku yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta. Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.

3. WAKTU MEMOTONG KUKU
Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tertakluklah pada panjang kuku tersebut. Bila-bila masa sahaja diharuskan memotong kuku apabila seseorang itu berkehendak pada memotongnya. Akan tetapi janganlah membiarkan kuku tersebut tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh hari. Sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya : “Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Adapun menurut Imam asy-Syafi‘e dan ulama-ulama asy-Syafi‘eyah, sunat memotong kuku itu sebelum mengerjakan sembahyang Jumaat, sebagaimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.

Diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhuma berkata yang maksudnya : “Bersabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang apa sahaja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Jumaat itu dan Jumaat sebelumnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Daripada Abu Hurairah katanya yang maksudnya : “Bahawasanya Rasulullah SAW memotong kuku dan mengunting misai pada hari Jumaat sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang.” (Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani) Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah pula, sunat memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Jumaat atau pada hari Isnin.

bersambung pada artikel akan datang ...


(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Adab Menjaga Kuku)

Friday, October 2, 2009

Fadhilat Berpuasa Enam di Bulan Syawal - Artikel 39/2009 - Tarikh : 2 Oktober 2009 / 13 Syawal 1430 H

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun (Hadis riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa). Hadis ini menjadi hujah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya, apatah pula amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan. Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan bermula dari ketupat rendang sehinggalah kepada nasi minyak.

Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri. Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat?

Di dalam hadis tadi, Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki Nya. Persoalan puasa qada dan puasa enam di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu? Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahawa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat puasa qada di bulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekali gus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qada terlebih dahulu. Ini adalah kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya. Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang dikarang oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahawa jika seseorang berpuasa qada yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal. Namun, pahala yang diperoleh tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekali.

Beliau mengambil contoh solat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu bersama jemaah atau berseorangan, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekali gus iaitu bersama pahala solat tahiyyatul masjid. Ini adalah kerana maksud solat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersolat selepas memasuki masjid sebelum ia duduk. Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahawa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qada akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara berasingan tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Ini adalah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari redha Tuhannya.

SUMBER: http://razzyy.com/ibadat/fadhilat-puasa-enam-syawal.html

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…