"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, July 30, 2010

Klik Connect Untuk CINTA - Artikel 30/2010 - Tarikh : 30 Julai 2010 / 18 Sya'aban 1431 H

Love chemistry. Mengapa love chemistry? Bukan love biology ataupun love physics ataupun love psychology? Saya biarkan persoalan ini kepada anda. Perkara utama yang hendak dibicarakan di sini adalah berkenaan cinta, khususnya cinta agung kepada Tuhan. Cintakan bunga, bunga akan layu. Cintakan manusia, manusia akan mati. Cintakan Tuhan, cinta kekal abadi.

Allah terlalu layak untuk dicintai kerana tiadalah kita tanpa Nya. Dia mengizinkan kita “menumpang” di bumi, planet yang dimiliki secara sah oleh Nya. Mengapa mahu dipersoalkan untuk tidak cinta kepada Nya? Sami Yusuf, penyanyi nasyid, dengan penuh yakin selepas mengimbau dan mensyukuri pelbagai nikmat Tuhan, beliau menyoal, “Siapakah yang layak dicintai?”. Kemudian dia menjawab sendiri, “Allah”. Perhatikan bait-bait lagu berikut :

He gave us life
He gave us light
He sent to guide us
Rasula Allah
Allah
Rahmanun Jabbarun Mannanun Tawwabun Karim
Allah
Ghafurun Raufun Saburun Shakurun Halim
[Some of the names of Allah]
Who is the Loved One? Allah
Who is al-Basir? AllahWho is al-Khabir?

Menurut Ghazali, antara tanda mencintai Allah adalah mengutamakan Allah berbanding nafsu syahwat yang sering cenderung kepada hiburan dan keseronokan, relaks dan santai. Menurut beliau lagi, syahwat itu dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
  1. Syahwat khinzir : Gelojoh, keji, membazir, hilang malu, riak, rakus, bermuka-muka, dengki, dendam, suka bala menimpa orang lain, kuat makan, kuat seks dan lain-lain
  2. Syahwat anjing ataupun serigala : Bermegah-megah, bercakap besar, sombong, terpesona dengan diri (ujub), mengejek, menghina, mahukan kejahatan, ingin kekejaman dan lain-lain.
Seterusnya, mencintai Allah termasuk juga mencintai manusia kerana Allah. Dalam hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad berkata, “Ada tiga perkara yang apabila seseorang itu memilikinya akan merasakan kemanisan iman iaitu mencintai Allah dan rasul Nya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah dan enggan menjadi kafir selepas diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana dia enggan dicampakkan ke dalam api neraka.”

Cinta dan iman tidak dapat dipisahkan, ibarat dunia siber dengan digital. Cinta perlu berlandaskan iman. Manakala, iman pula mampu mencetuskan cinta. Dalam konteks lain, cinta dapat meningkatkan iman sebagaimana nabi berkata dalam sebuah hadis, “Sesiapa yang ingin mendapatkan kelazatan iman, hendaklah ia mencintai individu hanya kerana Allah.”
Jauhilah cinta terlarang, cinta yang dimurkai Tuhan. Benarlah bait sebuah lirik lagu genre nasyid oleh UNIC :

Dan sering aku harapkan
Cinta berlandas keimanan
Dan kasih suci kita kan diberkati …

Berdakwah, memberikan bimbingan, memberi salam dan mendoakan keampunan semua orang Islam dengan ikhlas (sama ada dikenali ataupun tidak) pula adalah antara lambang cintakan umat Islam sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Bukan mudah mencintai manusia kerana Allah. Oleh itu, maharnya cukup mahal sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang direkodkan oleh Abu Daud :

Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah, ada manusia yang bukan para nabi dan bukan pula syuhada, tetapi para nabi dan syuhada cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat, kerana kedudukannya di sisi Allah.

Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, beritahu kepada kami siapakah mereka itu?’ Rasulullah menjawab, ‘Mereka adalah kumpulan manusia yang saling berkasih sayang kerana Allah bukan kerana hubungan keluarga dan bukan pula kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, sesungguhnya muka mereka bercahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut apabila manusia berasa takut, tidak berdukacita apabila manusia lain berdukacita’.

Rasulullah pun membacakan ayat (bermaksud), ‘Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita’(Surah Yunus : ayat 62)


Sumber :
Online dengan Tuhan .. BERHUBUNG DENGAN TUHAN MELALUI TALIAN TANPA WAYAR
Oleh : Zulkifli Khair,
Penerbit : PTS Islamika,
Halaman : 88 – 91


Friday, July 23, 2010

Mahram - Artikel 29/2010 - Tarikh : 23 Julai 2010 / 11 Sya'aban 1431 H

Soalan 1 : Saya selalu diingatkan jangan bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahram. Ada pula yang kata bukan muhrim. Saya confuse apa maksud istilah-istilah mahram dan muhrim ni?

“Mahram” sebenarnya bukan “muhrim”. “Muhrim” adalah orang yang berihram haji. “Mahram” barulah betul. Cuma masyarakat Melayu sudah biasa menyebut perkataan muhrim. Mahram adalah orang yang haram dikahwini kerana sebab-sebab tertentu. Contohnya hubungan nasab atau hubungan darah. Begitu juga kerana sebab susuan dan persemendaan

Soalan 2 : Ada orang kata kalau nak tahu mahram kita kena tahu susur galur nasab kita. Boleh terangkan apa yang dimaksudkan hubungan nasab itu?

Termasuk dalam kategori ini ialah ibu, anak perempuan, adik-beradik perempuan, ibu saudara dan anak saudara. Apakah nenek bukan mahram? Tidak, bukan begitu. Nenek pun mahram juga. Cucu pun mahram juga. Cicit pun mahram juga. Maksudnya orang yang mempunyai hubungan nasab dengan kita. Ibu dan generasi sebelah atas ibu adalah mahram. Anak pula merangkumi generasi sebelah bawah seperti cucu dan cicit. Surah al-Nisa’ Ayat 23 bermaksud : “Diharamkan bagi kamu (berkahwin) dengan ibu kamu, anak perempuan kamu, adik dan kakak kamu, ibu saudara sama ada sebelah ayah dan ibu, anak saudara kepada adik, kakak atau abang kamu”. Bagi seorang wanita mahramnya adalah lelaki yang ada hubungan nasab dengannya. Contohnya seperti ayah, datuk, anak lelaki, cucu lelaki, bapa saudara yang biasa dipanggil pak long, pak ngah dan sebagainya, adik-beradik lelaki seperti abang dan adik, anak saudara lelaki.

Soalan 3 : Ibu kandung saya telah meninggal dunia. Baru-baru ini ayah saya kahwin baru, jadi isterinya adalah ibu tiri saya. Persoalan saya ialah ibu tiri dikira mahram jugakah?

Ibu tiri adalah isteri kepada ayah kandung. Apabila si ayah kandung sudah berkahwin dengan seorang wanita, automatically jadilah dia ibu tiri. Kalau sudah menjadi isteri ayah, mana boleh si anak lelaki berkahwin dengannya lagi. Walaupun selepas bercerai atau matinya si ayah, wanita itu masih tetap perlu dihormati sebagai ibu tiri. Jadinya janganlah ada mana-mana lelaki menaruh perasaan terhadap ibu tirinya. Haram kalau begitu. Bukankah Al-Qur’an ada menyebut (Surah al-Nisa’ Ayat 22) bermaksud : “Janganlah engkau berkahwin dengan mana-mana wanita yang sudah dinikahi oleh ayahmu melainkan apa yang lepas. Sesungguhnya ia (berkahwin dengan isteri kepada bapa) adalah keji dan buruk jalannya”. Ehmm...kenapa boleh ada kes anak jatuh hati kepada isteri bapanya sendiri. Biasalah kalau sudah nafsu. Lagipun isteri ayah yang baru biasanya muda bahkan mungkin ada yang sebaya dengan anak lelaki. Bagi wanita pula, suami kepada ibu juga termasuk dalam makna ayat ini.

Soalan 4 : Ramai orang kata anak tiri itu sudah dikira mahram, tetapi ada satu kes di kampung saya seorang lelaki hendak kahwin dengan anak tirinya. Apakah hukumnya jika seseorang berkahwin dengan anak tiri?

Anak tiri juga sebenarnya sudah dikira mahram. Oleh itu, jika seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang sudah mempunyai anak perempuan, anak perempuan itu adalah anak tirinya. Ehmm.. haram hukumnya kalau berkahwin dengan anak tiri. Walau bagaimanapun, ada satu syarat yang ditetapkan iaitu lelaki tersebut mestilah telah “bersama” atau melakukan hubungan kelamin dengan wanita tersebut. Apabila ini terjadi, barulah sah anak perempuan itu menjadi anak tirinya. Bukankah Allah berfirman (Surah al-Nisa’ Ayat 23) bermaksud : “Dan (diharamkan berkahwin) anak tiri yang berada dalam pemeliharaan kamu daripada wanita yang kamu kahwini dan bersama dengannya. Jika kamu belum bersama dengannya (dan telah bercerai) maka tidaklah berdosa atas kamu (untuk berkahwin)”. Mengikut konteks ayat ini, anak tiri yang diharamkan ialah anak tiri yang berada dalam pemeliharaan. Bagaimana kalau sudah besar, adakah tidak mengapa?. Zahirnya memang begitu. Bagaimanapun, mengikut kefahaman para ulama muktabar, ia hanyalah sebagai gambaran kebiasaan sahaja. Biasanya anak tiri memanglah dibela sejak kecil. Namun, jika seseorang berkahwin dengan wanita yang mempunyai anak perempuan yang sudah besar panjang, hukumnya tetap haram. Syarat yang diambil kira ialah syarat “bersama” sahaja.

Soalan 5 : Saya baru bekerja dan tinggal serumah dengan abang yang baru berkahwin. Bagaimana dengan kakak ipar, adakah mereka mahram juga?


Ramai juga remaja yang tinggal bersama abang kandung. Kebetulan abang kandung sudah berkahwin. Isterinya adalah kakak ipar kepada remaja tersebut. Ehmm.. rasanya tidak dijumpai pula ayat yang menunjukkan bahawa kakak ipar adalah mahram. Hadis pun rasanya tidak ada menyebutnya. Senario di mana kakak ipar dianggap macam kakak sendiri sewajarnya dielakkan. Aurat perlulah dijaga dan batas kesopanan perlulah wujud.

Soalan 6 : Adakah wajar seseorang duduk berdua dengan kakak iparnya tanpa kehadiran orang lain? Dan bagaimana jika seorang wanita duduk bersama dengan abang iparnya?

Ehm.. keadaan ini ada juga berlaku. Contohnya pasangan suami isteri menetap di KL. Kemudian datanglah si adik perempuan kepada isteri tersebut. Oleh sebab mereka berdua bekerja, ada masanya hanya suami sahaja dengan adik perempuan di rumah. Adakah ini wajar? Ini adalah perbuatan yang salah. Mana boleh kalau begitu. Hubungan si adik dengan suami hanya hubungan ipar sahaja. Mereka bukanlah mahram kekal. Keadaan berdua-duaan sudah merupakan satu kesalahan dalam Islam. Apatah lagi jika berlaku hubungan terlarang.

Soalan 7 : Adakah mertua dikira mahram?

Ya memang mertua dikira mahram. Walaupun hubungan suami isteri sudah putus kerana perceraian contohnya, mertua tetap dikira mertua. Mereka wajib dihormati. Walaupun selepas perceraian, mereka dianggap sebagai bekas mertua, tetapi diharamkan mana-mana lelaki untuk berkahwin dengan mertua/bekas mertua. Inilah yang dapat difahami dalam ayat Al-Qur’an Surah al-Nisa’ Ayat 23 bermaksud : “Dan (diharamkan) ibu kepada isteri kamu”

Sumber :
SOAL JAWAB remeh-temel tentang ISU SEMASA tapi anda malu bertanya ..
Oleh : Siti Nor Bahyah Mahamood & Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Penerbit : Telaga Biru,
Halaman 119 – 123


Friday, July 16, 2010

Hukum Bercelak Mata - Artikel 28/2010 - Tarikh : 16 Julai 2010 / 4 Sya'aban 1431 H

1. Sunat Bercelak Mata

Ibnu Majah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Hendaklah kamu memakai celak mata, kerana dapat menerangkan (menyihatkan) mata dan menyuburkan bulu mata” – (At Tibbun Nabawi)

Dalam hadis lain dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Rasulullah SAW mempunyai bekas celak mata khas. Apabila mencelak matanya, Baginda SAW menyapu sebanyak tiga kali” – (Ibnu Majah – At Tibbun Nabawi)


2. Faedah Lain Bercelak Mata

Seperti mana yang disebut di dalam At Tibbuni Nabawi, bahawa perbuatan mencelak mata boleh mendatangkan beberapa faedah :

  • Menyihatkan mata

  • Menguat dan membersihkan (menerangkan) pandangan

  • Menghilangkan penyakit mata

  • Mencantikkan warna atau menyinar cahaya mata

Bercelak mata sunat bagi wanita, dengan syarat bercelak pada bulu mata dan kening sahaja tanpa berlebih-lebihan sehingga menyerupai solekan wanita jahiliah. Seperti mewarnakan kelopak mata dengan pelbagai warna, menambah alis mata palsu dan sebagainya, termasuk memerahkan pipi dan mengincukan bibir dengan warna merah berlebihan adalah dilarang, kerana semuanya adalah tabarruj jahiliah yang dilarang.

Namun, jika wanita bersolek untuk suaminya, walaupun menyerupai tabarruj jahiliah adalah digalakkan dan sunat pula (berpahala). Tapi jika untuk keluar rumah dan untuk diperlihatkan kepada umum sahaja adalah dilarang.

Sumber : Batas-Batas AURAT & Pergaulan Serta Hukum Persolekan Dalam Islam oleh Ustaz Jaafar Salleh, Halaman 143-144

Friday, July 9, 2010

Kelebihan Berzikir Kepada Allah- Artikel 27/2010 - Tarikh : 9 Julai 2010 / 27 Rejab 1431 H

Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26 - “Dan sebutlah nama Tuhan mu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepada Nya dan bertasbihlah kepada Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.

Surah 7: Al A’raf, Ayat 205 - “Dan sebutlah nama Tuhan mu dalam hati mu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.

Surah 3: Al Imran Ayat 191 - “Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.

Surah 20 Ta Ha Ayat 14 - “Sesungguhnya Aku lah Allah, tidak ada Tuhan selain Ku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.

Surah 33: Al Ahzab Ayat 21 - “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi mu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.

Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a : - “Rasulullah s.a.w bersabda: Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba Ku terhadap Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati Ku. Apabila dia mengingati Ku dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri Ku. Apabila dia mengingati Ku di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya :Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit.

Firman Allah :
Allah SWT bertanya para malaikat meskipun Allah mengetahui pergerakan mereka :“Dari mana kamu datang?”

Malaikat menjawab :“Kami datang dari tempat hamba-hamba Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu.”

Allah SWT berfirman :“Apakah yang mereka pohonkan.?”

Para Malaikat menjawab :“Mereka memohon Syurga dari-Mu.”

Allah berfirman :“Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?”

Para Malaikat menjawab:“Belum, wahai Tuhan.”

Allah berfirman :“Bagaimanakah agaknya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Syurga-Ku?”

Malaikat berkata lagi:“Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan.”

Allah berfirman :“Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa?”

Malaikat menjawab :“Dari Neraka-Mu, wahai tuhan.”

Allah berfirman:“Apakah mereka pernah melihat Neraka-Ku?”

Malaikat menjawab :“Belum.”

Allah berfirman :“Bagaimanakah agaknya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Neraka-Ku.”

Malaikat terus berkata :“Mereka juga memohon keampunan-Mu.”

Allah berfirman:“Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan.”

Malaikat berkata lagi :“Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu.”

Allah berfirman :“Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.”



Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…