"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, September 24, 2010

Maklumat Asas Berkaitan Solat - Artikel 38/2010 - Tarikh : 24 September 2010 / 15 Syawal 1431 H

A. Tempat-tempat yang tidak Digalakkan Solat
  1. Tempat Pembuangan najis atau tempat najis
  2. Tempat Penyembelihan binatang, bagi mengelakkan najis binatang
  3. Kawasan perkuburan, bagi mengelakkan najis dan menghadap kubur
  4. Di tengah-tengah jalan raya kerana hati akan sentiasa sibukkan orang dan kenderaan yang lalu lalang
  5. Bilik air, kerana ia tempat perlindungan syaitan
  6. Tempat perteduhan binatang, kerana baunya yang kuat akan mengganggu solat
  7. Di atas Kaabah
B. Syarat-syarat Sah Solat
Secara ringkasnya, berikut ialah syarat sah solat :
  1. Beragama Islam
  2. Baligh
  3. Suci daripada hadas
  4. Suci seluruh anggota badan, pakaian dan tempat
  5. Menutup aurat. Aurat bagi wanita, seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya. Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut
  6. Telah masuk waktu solat yang telah ditentukan
  7. Menghadap ke arah kiblat
C. Rukun-rukun Solat
Rukun Solat menurut mazhab Syafie :
  1. Niat
  2. Takbiratulihram
  3. Berdiri tegak bagi yang berkuasa ketika solat fardu dan bagi yang tidak berkuasa disebabkan sakit dan sebagainya boleh melakukannya secara duduk, berbaring, terlentang atau dengan isyarat
  4. Membaca surah Al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat
  5. Rukuk dengan tamakninah
  6. Iktidal dengan tamakninah
  7. Sujud dua kali dengan tamakninah
  8. Duduk antara dua sujud dengan tamakninah
  9. Duduk tasyahud akhir dengan tamakninah
  10. Membaca tasyahud akhir
  11. Membaca selawat ke atas Nabi pada tasyahud akhir
  12. Membaca salam yang pertama
  13. Tertib, ertinya mengikut urutan dalam mengerjakan rukun-rukun tersebut
D. Perkara yang Membatalkan Solat
Menurut mazhab Syafie dan lain-lainnya, perkara yang membatalkan solat adalah seperti di bawah :
  1. Jika salah satu syarat rukunnya tidak dikerjakan atau sengaja ditinggalkan
  2. Berlaku hadas kecil dan hadas besar
  3. Terkena najis secara langsung yang tidak dapat dimaafkan pada badan, pakaian atau tempat solat
  4. Berkata-kata dengan percakapan luar solat, dengan 2 perkataan yang boleh difahami
  5. Terbuka auratnya dengan sengaja sehingga kelihatan ¼ daripada anggota wuduknya. Walau bagaimanapun, sekiranya dengan pantas is menutupnya kembali, maka tidak membatalkan solat menurut mazhab Syafie dan mazhab Hanbali
  6. Makan minum, walaupun hanya sedikit kerana ia bertentangan dengan sifat solat. Solat juga batal jika makan dengan banyak, walaupun dalam keadaan terlupa. Demikian menurut mazhab Syafie dan mazhab Hanbali
  7. Mengubah niat ketika sedang bersolat, misalnya niat memutuskan solat
  8. Bergerak besar berturut-turut sebanyak tiga kali seperti melangkah atau berjalan. Demikian menurut mazhab Syafie. Maksud “berturut-turut” ialah apabila dikira setiap satu pergerakan terpisah dengan yang lain. Bagaimanapun, pergerakan sedikit tidak membatalkan solat berdalilkan kepada tindakan Nabi s.a.w yang pernah membuka pintu untuk Aisyah semasa Baginda sedang solat.
    Baginda pernah juga mendukung cucunya bernama Umamah, yang mana semasa solat, Nabi s.a.w. meletakkannya di tepi ketika sedang sujud dan apabila ingin bangkit berdiri, Nabi s.a.w kembali mendukungnya (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
  9. Membelakangi kiblat. Menukarkan arah dada dari kiblat tanpa uzur yang kuat, menurut Hanafi dan Syafie. Maliki mempunyai pandangan lain.
  10. Menambah rukun yang berupa perbuatan seperti rukuk dan sujud
  11. Tertawa terbahak-bahak. Senyum tidak membatalkan solat
  12. Mendahului imamnya
  13. Murtad (terkeluar daripada agama Islam)

Sumber :
Dipetik dari Buku FORMULA SOLAT SEMPURNA ,
Oleh : Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman,
Penerbit : Telaga Biru,
Halaman : 9-14


Friday, September 17, 2010

Istiqamah Syawal - Artikel 37/2010 - Tarikh : 17 September 2010 / 8 Syawal 1431 H

Ramadhan telah pun berlalu, diganti dengan kedatangan Syawal yang disambut meriah oleh Muslimin umumnya. Telah tamat sudah madrasah imaniyah, madrasah taubah dan madrasah jiddiyah yang Allah bekali untuk umat Islam rebut dalam rangka untuk mendapat rahmah, keampunan dan kejauhan dari neraka. Sejauh mana telah kita berusaha merebut peluang yang Allah berikan itu, yakni selama sebulan, dengan pelbagai ‘offer’ atau ganjaran yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun walau di bulan apa pun. Tepuk dada, tanya iman.

Namun hakikatnya, apa yang penting ialah, bagaimana sikap kita terhadap Ramadhan yang telah meninggalkan kita. Apakah konsekuensi Ramadhan itu kepada diri kita sendiri. Seharusnya seorang mukmin itu menggunakan sebaik-baiknya Ramadhan itu untuk membekali diri dengan energi yang dapat memberi momentum kepada jiwa untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya. Antara energi yang paling seharusnya diperoleh oleh seorang mukmin adalah energi mujahadah.

Saudara ku sekalian,

Allah berfirman di dalam Al-Quran mengenai hal ini : “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, Maka sungguh. SYURGAlah tempat tinggalnya” (An-Naziaat: 40-41). Ternyata dalam rangka kita ingin menuju syurga Allah, Allah telah meletakkan dua syarat yang perlu kita praktikkan di dalam diri kita. Syarat yang pertama adalah takut kepada Allah, manakala yang kedua ialah menahan keinginan hawa nafsu kita.

Takut kepada Allah, merasakan kebersamaan Allah di mana jua kita berada, dalam kondisi apa pun adalah satu asas yang akan membawa kita kepada mujahadah. Allah berfirman di dalam Al-Quran : “Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ´arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hadid:4)

Apabila kita merasakan bahawa Allah bersama kita, kita akan sentiasa berhati-hati dalam beramal. Ditakuti amal-amal yang kita lakukan tidak diterima oleh Allah. Dan yang terpenting ialah, kita takut untuk melakukan maksiat kepada Nya. Allah menyatakan tentang orang yang takut kepada Allah di dalam surah Al Bayyinah : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.” (Al-Bayyinah:7-8) Di dalam ayat ini dinyatakan bahawa orang yang takut kepada Allah adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Malah Allah mengangkat darjat mereka sebagai sebaik-baik makhluk. Maka rugilah kalau kita tidak merebut atau mencapai darjat yang Allah kurniakan ini.

Seterusnya, dalam rangka untuk menggapai pahala terbaik yakni syurga, kita perlu menahan diri dari keinginan hawa nafsu. Dalam hadith ke 41 Imam Nawawi menyatakan : “Tidak sempurna Iman seseorang dari kalian sehingga hawa nafsunya tunduk mengikuti apa yang telah aku bawa.” (hadith shahih) Tapi ternyata jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu. Begitulah yang tersebut di dalam surah Yusuf bahawa nafsu itu selalu mengarah kepada kejahatan, kecuali yang mendapat rahmat Allah.

“Dan aku tidak membebaskan diri ku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf:53) Maka jika pada bulan Ramadhan kita mampu menahan hawa nafsu walau dari perkara yang halal, nescaya pasti juga kita akan mampu menahan nafsu dari perkara yang haram. Tibanya Syawal tidak bermakna kita terlepas dari belenggu menahan hawa nafsu, bahkan sebenarnya ianya merupakan cabaran untuk kita terus bermujahadah dalam meneruskan amal yang telah kita lakukan di sepanjang Ramadhan. Walaupun tidak 100% amalnya, tapi kurangnya tidaklah hingga melebihi 50% dari yang dilakukan sepanjang Ramadhan.

Moga dengan usaha kita ini, Allah memberi ganjaran syurga dan yang paling penting, keredaan Nya. “Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan mu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah:105)


Wednesday, September 8, 2010

Adab Mengakhiri Ramadhan & Menyambut Aidilfitri - Artikel 36/2010 - Tarikh : 8 September 2010 / 29 Ramadhan 1431 H

Berikut adalah adab mengakhiri Ramadan dan menyambut Aidilfitri:

  1. Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaran Nya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan
  2. Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmat Nya dengan bertahmid dan berzikir
  3. Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar
  4. Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah)
  5. Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan
  6. Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama Muslimin
  7. Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya
  8. Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturahim

Rujukan: IKRAM Malaysia




Friday, September 3, 2010

Isteri Solehah - Artikel 35/2010 - Tarikh : 3 September 2010 / 24 Ramadhan 1431 H

Siapa isteri solehah? Yang jadi penyejuk mata, penghibur hati dan teman yang setia. Tak semua perempuan mampu jadi isteri solehah seperti mana tak semua lelaki adalah lelaki soleh. Bagaimanapun, seperti ketentuan, wanita solehah memanglah untuk lelaki soleh.

Sifat-sifat isteri Solehah:
  1. Membatasi pandangan hanya kepada suami. Dia puas dengannya dan tidak memandang selainnya, tidak membanding-bandingkannya dengan orang lain serta tidak mengharapkan perhatian daripada orang lain selain daripada suaminya.
  2. Membataskan aktiviti-aktiviti hariannya di rumah menghadkan masa di luar rumah kecuali jika ada syarak menghalalkan dia berbuat demikian.
  3. Bersegera meminta maaf meskipun dirinya dizalimi sabda Rasulullah SAW; 'Mahukah engkau aku beritahu mengenai isteri-isteri yang menjadi ahli syurga? Merekalah yang penuh kasih, subur dan suka meminta maaf. Iaitu isteri yang jika dizalimi dia berkata 'Inilah tanganku ada ditanganmu. Aku tidak akan tidur sehingga engkau redha kepadaku.' (H.R An-Nasa'ie)
  4. Memenuhi hak-hak suami dengan baik, mengasuh dan mendidik anak-anak dengan baik serta memenuhi hak kedua-duanya dengan baik.
  5. Berusahalah supaya sentiasa tampil menarik setiap masa. Penampilannya cantik, aromanya wangi, tutur katanya lembut dan memikat dan baik tingkah lakunya.
  6. Berusaha untuk tidak memperlihatkan hal-hal yang tidak disukai suaminya. Isteri yang pintar tidak akan memperlihatkan darah haid atau nifas, tidak muntah, tidak membuang air kecil atau besar dihadpan suaminya, dengan alasan tidak perlu malu-malu dihadapan suaminya lagi. Boleh jadi semua perbuatan sebegitu tidak disukai oleh suaminya.
  7. Menghindari perkara-perkara yang boleh merosakkan penampilannya sebagai seorang wanita yang cantik kerana wanita diciptakan untuk berhias cantik.
  8. Memberikan penghormatan kepada suami dengan sesuatu yang membahagiakan dan menyenangkan hatinya.
  9. Pandai memasak serta pandai menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumahtangga.
  10. Cerdas dan cermat dalam bertindak, berbicara dan meminta.
  11. Sabar, berani dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab dalam rumahtangga.
  12. Menghantar suami ke depan pintu setiap kali suami berangkat ke tempat kerja, menyambutnya setiap kali dia pulang. Berterima kasih di atas pemberiannya dan selalu mendoakan kebaikan kepadanya.

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…