"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Thursday, December 30, 2010

Secebis Ingatan Buat Adam - Artikel 52/2010 - Tarikh : 31 Disember 2010 / 25 Muharram 1432H

Adam…Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hati mu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, teman mu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Wahai Adam
Aku asalnya dari tulang rusuk mu yang bengkok.
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidup ku sentiasa inginkan bimbingan dari mu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam… Maha suci Allah yang mentakdirkan kaum ku lebih ramai bilangannya dari kaum mu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan Nya. Jika bilangan kaum mu mengatasi kaum ku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam…Bukan kerana ramainya isteri mu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilangan mu yang merunsingkan aku. Tapi… aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkah mu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk apabila menjadi isteri mu. Namun… terasa berat pula untuk ku menyatakan isi perkara.

Adam…Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam reda Tuhan ku dan Tuhan mu. Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaum ku kini, aku dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahan ku. Di mana perginya keadilan mu. Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuh ku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut… Tapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini?
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih suci mu terhadap ku?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad s.a.w terhadap mereka?
Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam
Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmum mu. Aku adalah pengikut-pengikut mu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akal mu Sembilan, nafsu mu satu. Aku… akal ku satu, nafsu ku Sembilan.

Dari itu Adam…pimpinlah, bimbinglah, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhan mu agar menerangi hidup ku. Tiuplah ruh jihad ke dalam diri ku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan kerenah mu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaum ku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada diri mu sendiri dan pada Tuhan mu yang Agung.

Maafkan aku sekali lagi Adam
Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah mu. Jauh sekali niat ku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.

Waspadalah Adam
Andai aurat ku terdedah… andai suara ku mengatasi mu… andai langkah seiring mu… andai maruah ku dirobek maka engkaulah yang bakal membawa ku kepada kebenaran.Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi…

Tetapi percayalah!!!...bukan emas yang ku cari…bukan berlian yang ku pinta… tetapi… hanyalah hati yang tulus ikhlas dari mu

Adam
Dengarlah…keluhan hati ku buat diri mu…


Ikhlas dari Hawa
Abad ini


Sumber : http://www.iluvislam.com/v1/
Editor: Nazarudin

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Secebis Ingatan Buat Adam)

Thursday, December 23, 2010

Tidur Dan Solat Tahajjud - Artikel 51/2010 - Tarikh : 23 Disember 2010 / 17 Muharram 1432H

SOLAT tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sebagai shalatulail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangka suhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Tunaikan solat Isyak sebelum tidur.

3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.

4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.


Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China - Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.


Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah (SWT) dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah (SWT).” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )


Sumber : http://halaqah.net/v10/index.php?page=165

Friday, December 17, 2010

Rukun Iman - Artikel 50/2010 - Tarikh : 17 Disember 2010 / 11 Muharram 1432H

IMAN berasal dari bahasa Arab yang bererti percaya, percaya merupakan modal utama sebagai keyakinan mengenai apa yang dipercayainya itu. Seseorang yang percaya hendaklah mempunyai pengetahuan dan keyakinan yang mantap. Tujuan dari iman menurut agama Islam adalah taat dan patuh kepada Allah, melaksanakan perintah-perintah NYA dan menjauhi segala larangan-larangan NYA. Rukun Iman adalah perkara-perkara yang wajib dan mesti diyakini oleh orang yang beriman. Rukun Iman ada enam (6) perkara :

1. Beriman kepada ALLAH
2. Beriman kepada Malaikat
3. Beriman kepada Kitab
4. Beriman kepada Rasul
5. Beriman kepada Hari Kiamat
6. Beriman kepada Qada’ dan Qadar

i. Beriman kepada ALLAH
Dalam kalimat LAA ILAAHA ILLALLAH bererti tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Mempunyai erti bahawa : Tuhan Maha Besar, Maha Kuasa dan patut disembah dan ditaati dengan sepenuh hati. Kita percaya bahawa Allah itu ada, hidup dengan tidak berpermulaan dan tidak berkesudahan, Allah Maha Esa ertinya Tunggal tidak ada yang menyerupai, Allah tidak berkehendakkan kepada sesuatu pun, seluruh alam semesta ini dijadikan dan diatur oleh Allah tidak ada sesuatu pun yang luput dari pengawasan NYA. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala yang nyata, mahupun, yang tersembunyi, bahkan baru berniat pun sudah diketahui NYA. Allah yang Maha Sempurna dengan segala sifat yang baik sedang sifat yang baik adalah sifat yang wajib bagi Allah ada sebanyak 20 sifat.

ii. Beriman kepada Malaikat
Allah menciptakan Malaikat dari Nur (cahaya), Malaikat termasuk makhluk itu bukan benda dan bukan suatu jenis. Malaikat adalah tidak pernah melanggarNYA, mereka adalah makhluk yang paling taat. Ada sepuluh (10) malaikat yang wajib kita ketahui yang mempunyai tugasnya tersendiri iaitu :
  1. Jibril - Menyampaikan wahyu kepada Rasul dan Nabi Allah
  2. Mikail - Pembawa rezeki, mengatur dan menjaga peredaran alam
  3. Izrail - Mencabut nyawa segala makhluk di dunia apabila tiba masanya
  4. Israfil - Meniup sangkakala (hari kebangkitan)
  5. Raqib - Mencatat amal manusia yang baik
  6. Atid - Mencatat amal manusia yang jahat/buruk
  7. Munkar - Memeriksa atau menanyakan keimanan manusia semasa di dunia setelah ia berada di kubur
  8. Nankir - Memeriksa atau menanyakan keimanan manusia semasa di dunia setelah ia berada di kubur
  9. Ridhwan - Menjaga syurga
  10. Malik - Menjaga neraka
iii. Beriman kepada Kitab
Perintah yang dikirimkan Allah kepada para Nabi dan Rasul itu disebut wahyu. Setelah wahyu diterima kemudian dikumpulkan, kumpulan wahyu-wahyu itulah yang kemudian disebut AL-KITAB atau kitab suci. Jumlah kitab Allah ada empat (4) iaitu :

1. Kitab TAURAT diturunkan kepada NABI MUSA A.S.
2. Kitab ZABUR diturunkan kepada NABI DAUD A.S.
3. Kitab INJIL diturunkan kepada NABI ISA A.S.
4. Kitab AL-QURAN diturunkan kepada NABI MUHAMMAD SAW

iv. Beriman kepada Rasul
Rasul adalah utusan Allah untuk menyampaikan wahyu Allah kepada seluruh umat manusia sebagai ajaran yang dapat membawa kebahagiaan dalam kehidupan manusia semasa di dunia hingga akhirat kelak, serta terhindar dari seksaan Allah. Semua Nabi dan Rasul mempunyai tugas yang sama iaitu menyampaikan ajaran Allah, hanya berbeza cara penyampaiannya kerana keadaan dan tingkat kecerdasan umat pada saat Nabi dan Rasul itu diutus. Jumlah Nabi dan Rasul yang wajib dipercayai ada 25 yang telah disebut dalam Al-Qur’an iaitu :
  1. Adam A.S.
  2. Idris A.S.
  3. Nuh A.S.
  4. Hud A.S.
  5. Soleh A.S.
  6. Ibrahim A.S.
  7. Luth A.S.
  8. Ismail A.S.
  9. Ishak A.S.
  10. Ya’akub A.S.
  11. Yusuf A.S.
  12. Ayub A.S.
  13. Shuib A.S.
  14. Musa A.S.
  15. Harun A.S.
  16. Zulkifli A.S.
  17. Daud A.S.
  18. Sulaiman A.S.
  19. Ilyas A.S.
  20. Ilyasa’ A.S.
  21. Yunus A.S.
  22. Zakaria A.S.
  23. Yahya A.S.
  24. Isa A.S.
  25. Muhammad SAW
v. Beriman kepada Hari Kiamat
Hari kemudian adalah masa datangnya kehancuran alam semesta berserta isinya adalah kehendak Allah SWT. Semua yang bernyawa akan mati, segala yang ada akan hancur lebur dan tidak bangun kecuali Allah yang maha kuasa yang tetap ada, hari itu disebut hari kiamat.

Setelah segala-galanya hancur, kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat ISRAFIL untuk bangun terlebih dahulu dan melaksanakan perintah Allah meniup sangkakala, maka bangunlah nyawa yang telah mati untuk dihadapkan ke pengadilan Allah dan mempertanggungjawabkan segala amal perbuatannya selama di dunia. Itulah hari pembalasan siapa yang amalannya lebih banyak baik akan mendapatkan kebahagiaan di syurga. Sebaliknya bagi amalannya lebih banyak yang jahat akan mendapatkan seksaan dan ditempatkan di neraka.

vi. Beriman kepada Qada’ dan Qadar
Takdir adalah ketentuan dari Allah SWT baik atau buruk yang terjadi pada diri manusia pada hakikatnya tidak lepas dari ketentuan Allah SWT, semua manusia yang wajib berikhtiar dan berusaha untuk menentukan nasibnya. Sebab walaupun Allah yang menentukan, tapi janji Allah tidak akan ingkar yang berusaha demi kebaikan adalah jalan daripada takdir yang baik, sehingga kepercayaan terhadap Allah menimbulkan dorongan untuk menghadapi kesulitan, kerana kita percaya bahawa kesulitan itu asalnya juga dari Allah dan Allah pula akan menyingkirkannya apabila kita selalu takut kepada Allah dan sabar dalam menghadapinya seperti yang disebutkan dalam Al-Qur’an surah At-Taubah ayat 51 yang bermaksud : “Sekali-kali akan menimpa kami, melainkan yang telah ditetapkan Allah kepada kita, Dialah pelindung bagi kami dan hanya kepada Allahlah orang-orang yang beriman harus bertawakkal

Sumber :
Dipetik dari Buku Panduan Solat Lengkap Lelaki & Perempuan,
Oleh : Abdul Rahman Ahmad,
Penerbit : Jasmin Enterprise,
Halaman 1-8

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Rukun Iman)

Sunday, December 12, 2010

Dosa Berhutang Tidak Diampun Allah - Artikel 49/2010 - Tarikh : 10 Disember 2010 / 4 Muharram 1432H

ISLAM membenar, malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang membabitkan masalah kewangan. Pada masa sama, Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Firman Allah bermaksud (Surah al-Hadid, ayat 18) : “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia." Firman Allah bermaksud (Surah al-Maidah, ayat 2): "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolongtolong pada perkara dosa dan permusuhan." Namun, Islam begitu teliti dan memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia membabitkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini hingga ke akhirat kelak.

Mengapakah anda berhutang?
Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah:
  1. Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.
  2. Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang. Lantaran itu dia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanya untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.
  3. Sikap tidak berasa puas dan cukup dengan apa yang dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
  4. Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang.
  5. Berkehendakkan sesuatu benda yang membabitkan kebendaan dengan cepat dan segera walaupun hakikatnya dia tidak mampu berbuat demikian.

Dalam hal ini jika perkara yang hendak dimiliki itu adalah keperluan asasi seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran, maka Islam membenarkan berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud: "Daripada Abu Hurairah berkata seseorang : Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya." Jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan perkara asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah dia berhutang. Ini kerana hanya akan menambahkan bebanan, lebih-lebih lagi jika membabitkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba.

Kesan amalan berhutang :

  1. Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis. Ini disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.
  2. Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam resah gelisah kerana dihantui bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
  3. Seseorang yang terbeban dengan hutang akan memungkinkan dia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.
  4. Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya selepas meninggal dunia hingga segala hutang piutangnya dilunaskan ketika hidup.

Sabda Rasulullah: "Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hingga dia menjelaskan hutangnya." Rasulullah pernah berwasiat kepada sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya : "Kurangkanlah diri mu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagi mu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas." Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata- mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat. Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi." Sabda Rasulullah bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai' dan Ibn. Majah). Rasulullah sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bahawa apabila didatangkan kepada Rasulullah satu jenazah, Baginda tidak akan bertanya mengenai amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, Rasulullah menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah itu atau Baginda meminta sesiapa yang sanggup menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang itu akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.

Petikan buku Budaya Berhutang: Amalan Dan Akibatnya. Terbitan Jabatan Agama Islam Selangor.

Sumber : http://www.musolla.com/

Friday, December 3, 2010

Al-Qur’an Sebagai Pembela Di Akhirat - Artikel 48/2010 - Tarikh : 3 Disember 2010 / 27 Zulhijjah 1431 H

Abu Umamah r.a. berkata :
"Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."

Telah bersabda Rasulullah S.A.W :
Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepada ku?"

Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untuk ku dan kamu juga pernah membaca ku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?"

Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca menghadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya pula yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperoleh ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Sumber : http://luvislam92.blogspot.com/

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…