"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Thursday, February 25, 2010

Sirah : Nabi Muhammad SAW - Artikel 8/2010 - Tarikh : 25 Februari 2010 / 11 Rabi'ul Awal 1431 H

Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasululah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai. Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa. Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud : (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

KELAHIRAN
Nabi Muhammad telah diputerakan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahab, adalah anak perempuan kepada Wahab bin
Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.
Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Makkah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu menggembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).
Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliah yang merosakkan dan penuh kekufuran.

MASA REMAJA
Dalam masa remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.

BERUMAHTANGGA
Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urus niaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.
Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 7 orang anak (3 lelaki dan 4 perempuan) tetapi ketiga-tiga anak lelaki mereka, Qasim, Abdullah dan Ibrahim meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra.

KERASULAN
Muhammad telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerap kali ke Gua Hira, sebuah gua bukit dekat Makkah, yang kemudian dikenali sebagai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan yang kian berleluasa.
Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di Gua Hira, Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda diminta membaca. Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap sama. Akhirnya, Jibril berkata:

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Ini merupakan wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah dan dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran (bacaan). Kebanyakan ayatayatnya mempunyai erti yang jelas. Sebahagiannya di terjemah dan dihubungkan dengan ayat-ayat yang lain. Sebahagiannya pula di terjemah oleh Rasulullah sendiri melalui percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.

CABARAN-CABARAN
Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakan pengikut baginda adalah dari anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan, Antara mereka ialah Khadijah, Ali, Zayd dan Bilal. Apabila baginda memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya. Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam. Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.
Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah menganut agama Islam. Antara mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin Affan, Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi. Akibat cabaran dari masyarakat jahiliah di Makkah, sebahagian orang Islam diseksa, dianiaya, disingkir dan dipulaukan. Baginda terpaksa bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya.

Friday, February 19, 2010

Pantun Mari Sembahyang ... - Artikel 7/2010 - Tarikh : 19 Februari 2010 / 5 Rabi'ul Awal 1431 H


Kenapa la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi aku jasad siap dengan bayang - bayang,
Bukan ke lebih beruntung daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam & siang...


Kenapa la aku malas sembahyang,
Kerja dah bagus keluarga pun dah senang,
Negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang,
Takkan lima minit lima waktu aku tak boleh luang.....


Kenapa la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi otak supaya aku tak bangang,
Tuhan kasi ilmu boleh fikir susah senang,
Tuhan kasi nikmat kenapa aku tak kenang...


Kenapa la aku malas sembahyang,
Main bola aku sanggup sampai ke petang,
Beli tiket konsert aku sanggup beratur panjang,
Apa la aku ingat masuk syurga boleh hutang...?


Kenapa la aku malas sembahyang,
Aku kena ingat umur Kita bukannya panjang,
Pagi Kita sihat petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang - sorang....


Kenapa la aku malas sembahyang,
Seksa neraka Cuba la aku bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah Ta’ala pasti tertunai tak siapa boleh Halang!!!


Friday, February 12, 2010

Keutamaan Membaca, Mempelajari & Mengajar Al-Qur'an - Artikel 6/2010 - Tarikh : 12 Februari 2010 / 27 Safar 1431 H

(A) Keutamaan Membaca Al-Qur'an
1. Mendapatkan syafaat di hari kiamat
Dari Abi Umamah ra., ia berkata : "Saya telah mendengar Rasulullah SAW., bersabda : "Bacalah oleh kamu sekalian Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai penolong bagi para pembacanya." (HR. Muslim)
2. Mendapatkan darjat yang tinggi
Dari Aisyah ra., ia berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : "Orang yang membaca Al-Quran dengan mahir, akan bersama-sama malaikat yang mulia lagi taat, dan yang membaca Al-Quran dengan terbata-bata dan merasa berat, maka dia mendapat dua pahala." (HR. Bukhari)
3. Merupakan ciri keimanan seseorang
Dari Abu Musa Al-Asy'ari ra., ia berkata : Telah berkata Rasulullah SAW : "Perumpamaan orang-orang mukmin yang membaca Al-Quran, bagaikan buah Utrujjah, harum baunya dan lazat rasanya. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran, bagaikan buah kurma, tidak harum baunya dan rasanya manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran, bagaikan bunga, harum baunya dan pahit rasanya. Dan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran bagaikan buah Hamdzalah, tidak harum dan rasanya pahit." (HR. Bukhari dan Muslim)
4. Allah akan mengangkat darjatnya
Dari Umar Bin Khatab ra., ia berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW., : "Sesungguhnya Allah Taala dengan kalam ini, mengangkat beberapa kaum dan merendahkan kaum lainnya." (HR. Muslim)
5. Mendapat kebaikan
Dari Ibnu Mas'ud ra., ia berkata : telah bersabda Rasulullah SAW : "Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan setiap kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan mim satu huruf." (HR. At-Tirmidzi)
6. Mendapatkan kedudukan yang tinggi pada hari kiamat
Dari'Abdullah bin ˜Umar dan dari Ibnu 'Ash ra., dan Nabi SAW : "dikatakan kepada pembawa Al-Quran "Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membaca di dunia, maka sesungguhnya (tingginya) kedudukan (dicapai) pada akhir ayat yang kamu baca." (HR. Abu Dawud, Tirmidzi, dan An-Nasai)
(B) Keutamaan Belajar & Mengajar Al-Qur'an
1. Merupakan amal terbaik
Dari 'Utsman Bin 'Afan ra., ia berkata : bersabda Rasulullah SAW : "Sebaik-baik kamu sekalian adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya." (HR. Bukhari)
2. Terhindar dari kehancuran
Dari Ibnu 'Abas ra, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya orang yang tidak ada sedikit pun dari Al-Quran pada rongga mulutnya, bagaikan rumah yang rapuh." (HR. At-Tirmidzi)
3. Mendapat sebaik-baik anugerah Allah
Rasulullah SAW bersabda : Allah SWT., berfirman : "Barang siapa yang sibuk dengan Al-Quran (melebihi daripada sibuk) dengan Zikir dan memohon (berdoa) kepada-Ku, pasti aku akan berikan kepadanya kurnia yang lebih utama dari yang Ku berikan kepada orang-orang yang memohon (berdoa). Dan keutamaan Kalam Allah di atas semua ungkapan, laksana keagungan Allah di atas semua makhluk-Nya" (HR. Tirmidzi)
4. Mendapat keistimewaan di hadapan makhluk
Dari Ibnu Umar ra., dari Nabi SAW., ia bersabda : "Tidak ada hasud yang benar kecuali kerana dua hal. Seseorang yang diberi Allah Al-Quran , maka ia mengamalkannya siang mahupun malam. Dan seseorang yang diberi harta, maka ia menginfakkannya siang dan malam." (HR. Bukhari dan Muslim)

SUMBER : Ustaz Lokman Hakim Haji Hasan, Guru Kanan Andalus Choa Chu Kang

Friday, February 5, 2010

Syarat Bermaksiat - Artikel 5/2010 - Tarikh : 5 Februari 2010 / 20 Safar 1431 H

Suatu hari seorang lelaki menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Saya selalu melakukan maksiat, tolong berikan aku nasihat”.

Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka kamu boleh teruskan melakukan maksiat”.

  1. “Jika kamu maksiat kepada Allah, jangan makan rezeki-Nya. Lelaki itu seraya berkata, Aku mahu makan dari mana? “Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”. “Ya,” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih pantas kah memakan rezeki-NYA, sementara kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”
  2. “Yang kedua,” kata Ibrahim, “kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal dibumi-Nya!”. Syarat ini membuat lelaki itu kaget setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kau layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sementara kamu melanggar segala larangan-Nya?”. “Ya, Anda benar,” kata lelaki itu.
  3. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab,”Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!” Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam apa? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”. “Nah, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan berlaku maksiat?” kata Ibrahim.
  4. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut roh mu, katakanlah kepadanya, 'Tangguhkan kematian ku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'”. Lelaki kembali itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permohonan ku?”. “Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak bisa menunda dan mengundurkan datangnya kematian mu, lalu bagaimana engkau bisa lari dari murka Allah?”
  5. “Baiklah, apa syarat yang kelima?”. Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak menggiring mu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau mahu ikut bersamanya”. Perkataan tersebut membuat lelaki itu tersedar. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.” Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah,” katanya sambil teresak.
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Syarat Bermaksiat)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…