"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, November 25, 2011

Buang Air Usah Sembarangan - Artikel 31/2011 - Tarikh : 25 November 2011 / 29 Zulhijjah 1432 H

Suatu hari, seorang kafir jahiliah berkata kepada sahabat Salman Al-Farisi; “Sungguh Nabi kalian telah mengajarkan kalian tentang segala hal termasuklah adab ketika membuang air”. Ketika itu, sahabat Salman menjawab, “Betul. Sungguh kami dilarang membuang air besar atau kecil dalam keadaan kami menghadap kiblat, (kami juga dilarang) membersihkannya dengan tangan kanan atau membersihkannya dengan kotoran haiwan, atau tulang”. (Riwayat Muslim). Begitulah kekaguman seorang kafir kepada akhlak Islam yang diajarkan oleh Rasulullah.

Islam merupakan agama yang sempurna, sehinggakan bersuci juga ada adab dan aturannya. Begitulah pentingnya ‘urusan bersuci’ ini dalam syariat Islam, malah Rasulullah SAW sendiri kerap mengingatkan umatnya agar sentiasa berhati-hati dalam urusan ini. Mengabaikan adab ini akan mengakibatkan azab di kemudian hari.

Dalam sebuah hadis meriwayatkan, Rasulullah pernah melalui dua buah kubur yang ketika itu sedang mengalami seksaan. Jelas baginda, kedua-dua mereka diseksa kerana kerap menyakiti jiran tetangga dan tidak sempurna bersuci (Taharah) selepas membuang air kecil.

Bersuci ala kadar akan menyebabkan kotoran yang bersifat najis masih tertinggal pada tubuh atau pakaian. Sekiranya ingin bersolat, najis yang masih melekat pada tubuh atau pakaiannya itu akan menyebabkan solatnya ditolak. Dan inilah antara punca seseorang itu diseksa di dalam kubur.

Sayangnya ramai di antara kita, terutamanya kaum lelaki yang mengabaikan peringatan ini, membuang air kecil di merata tempat, tanpa melakukan taharah yang sesuai dengan syariat. Sikap seperti ini jelas sekali dikutuk oleh Rasulullah SAW “Takutlah (jauhilah) dua perbuatan terkutuk!” Para sahabat bertanya, “Apakah kedua perbuatan itu wahai Rasulullah?” Jawab Baginda, “Orang yang membuang air besar di kawasan yang menjadi laluan orang ramai atau di tempat mereka berteduh (seperti di bawah pokok).” (Riwayat Muslim).

Berikut beberapa adab yang diajar oleh Rasulullah tentang tatacara membuang air besar dan kecil :

1. Jangan menampakkan aurat kepada orang lain ketika buang air, usahakan mencari tempat yang tertutup. (Riwayat Muslim)

2. Jangan buang di lubang binatang, di jalan yang menjadi laluan awam, di tempat berteduh, di sumber air, di kawasan mandian, di bawah pokok yang sedang berbuah, atau di sungai yang mengalir ke arah orang yang sedang mandi atau mencuci. (Riwayat Muslim, Tirmidzi)

Abu Hurairah menceritakan, Rasulullah bersabda, “Janganlah kamu kencing di air tenang, di mana kamu mandi pula di situ.” (Riwayat Muslim)

3. Memulakan masuk ke dalam tandas dengan mendahulukan kaki kiri, dan keluar kaki kanan. (Riwayat Tirmidzi)

4. Sebelum masuk, disunnahkan membaca doa ini yang bermaksud :

“Wahai Tuhanku, aku berlindung pada Mu dari kejahatan syaitan jantan dan betina”

5. Selepas keluar, disunnahkan membaca doa :

“Aku memohon keampunan Mu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan penyakit dari ku dan telah menyembuhkan aku”. (Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah)

6. Jangan berlama-lamaan di dalam tandas kerana ia boleh mendatangkan mudarat. Apabila sudah selesai hajatnya, keluarlah dengan cepat. (Riwayat Nasa’i, Ibnu Majah)

7. Tidak boleh menjawab salam ketika berada di dalam tandas. Cara menjawabnya cukup dengan isyarat suara (Riwayat Muslim, Tirmidzi, Nasa’i)

8. Jangan membaca dan membawa lafaz Allah dan Muhammad atau ayat-ayat Al-Qur’an ke tandas. (Riwayat Nasa’i)

Sekiranya terpaksa membuang air di tempat terbuka, jangan menghadap ke arah kiblat dan jangan pula membelakanginya. Seboleh-bolehnya carilah tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang. Baginda bersabda : “Apabila seseorang itu ingin membuang air (besar atau kecil) janganlah menghadap atau membelakangi kiblat ... ”

9. Gunakan tangan kiri untuk membersihkan kemaluan dan dubur.

Jangan menyentuhnya dengan tangan kanan. (Riwayat Muslim)

10. Bersucilah sekerap mungkin, paling minimum tiga kali. Barang-barang yang dibolehkan untuk bersuci adalah air, batu, tanah liat yang keras atau kertas. (Riwayat Bukhari Ibnu Majah).

11. Memakai alas kaki seperti selipar dan kasut ketika masuk tandas.

12. Memakai penutup kepala seperti tudung, semutar dan sebagainya ketika qada hajat.

13. Berdehem-dehem supaya najis habis keluar.

SUMBER : Aspirasi Editor, Majalah I, Mei 2011, Halaman 58

Friday, November 18, 2011

Kelebihan Memberi Maaf - Artikel 30/2011 - Tarikh : 18 November 2011 / 22 Zulhijjah 1432 H

Secara alami, seseorang apabila ditimpa sesuatu yang buruk disebabkan tindakan orang lain selalunya akan memberikan reaksi negatif. Dalam hatinya akan muncul perasaan dendam. Kemungkinannya orang tersebut akan membalasnya dengan tindakan yang lebih buruk daripada apa yang menimpanya.

Apakah membalas dengan perlakuan yang sama lantas perasaan dendam itu akan hilang? Tidak. Lalu, setelah membalas perlakuan buruk dengan yang lebih buruk, apakah perasaan dendam itu hilang, kerana berasa puas dengan tindakan membuat pembalasan yang lebih? Sekali lagi tidak. Perasaan dendam tidak akan hilang, walaupun perlakuan buruk telah dibalas dengan yang lebih buruk. Perasaan negatif itu akan terus muncul tanpa boleh dibendung, kecuali dengan memaafkan.

Kemungkinan seterusnya adalah orang yang ditimpa perkara yang lebih buruk, akan membalasnya kembali dengan yang lebih buruk lagi. Kemuncaknya adalah, salah seorang dari keduanya akan terkorban. Lalu, keluarganya yang terkorban akan membalasnya dengan mengorbankan musuhnya. Akhirnya wujud permusuhan yang berpanjangan antara keluarganya, antara kumpulan, antara parti, dan sebagainya. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya semua orang bertindak sedemikian dalam sesebuah negara? Tentu tidak akan ada kehidupan yang damai.

Jadi, apa langkah yang sesuai ketika ditimpa sesuatu yang buruk disebabkan tindakan orang lain? Sekali lagi, memaafkan orang tersebut. Ada rahsia yang tidak nampak oleh mata kasar ketika kita memaafkan. Jika kita memaafkan orang yang melakukan hal buruk, ada kemungkinan ia pun akan meminta memaafkan kita. Paling tidak, orang yang memaafkan akan terhindar daripada belenggu perasaan dendam yang akan terus menyeksa batinnya. Langkah selanjutnya adalah bersabar atas apa yang menimpa. Dan, kebahagiaan akan muncul mewarnai jiwanya. Sebab, memaafkan dan sabar hanya lahir dari hati yang bahagia.

Allah telah memberikan bimbingan kepada Rasulullah SAW dan umat baginda melalui firmanNya. “Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepada mu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.” (Surah an-Nahl [16] : 126)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa ayat ini turun ketika Rasulullah SAW melihat jenazah Hamzah yang gugur sebagai syahid dalam perang Uhud dengan keadaan tubuhnya yang amat memprihatinkan. Seketika itu, Rasulullah berucap, “Sungguh aku akan membalas dendam kepada orang-orang kafir. Aku benar-benar akan membunuh tujuh puluh orang di antara mereka.” Dan, turunlah ayat ini. Allah memberikan nasihat kepada Rasulullah agar bersabar. Kerana itu adalah yang terbaik. Dan, akhirnya Rasulullah membatalkan niatnya untuk membalas dendam.

Maka, memaafkan dan sabar adalah langkah yang paling tepat bagi siapa saja yang menginginkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

SUMBER : Aspirasi Editor, Majalah I, Mei 2011, Halaman 3










Friday, November 11, 2011

Apabila Al-Qur’an Mula Berbicara - Artikel 29/2011 - Tarikh : 11 November 2011 / 15 Zulhijjah 1432 H

Waktu engkau masih kanak-kanak
Kau laksana kawan sejatiku
Dengan wuduk, Aku kau sentuh dalam keadaan suci,
Aku kau pegang, Aku,kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra.


Sekarang engkau telah dewasa
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji
Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali, sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pengisi setormu


Kadang kala Aku dijadikan mas kahwin agar engkau dianggap bertakwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian, kesepian
Di dalam almari, di dalam laci, aku engkau pendamkan
Dulu...pagi-pagi...surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman
Di waktu petang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau


Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau engkau abaikan dan engkau lupakan


Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku (Bismillah)
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati muzik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan,radiomu selalu tertuju ke stesen radio kesukaanmu
Mengasyikkan


Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di komputermu pun kau putar muzik Kegemaranmu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku
E-mel temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku


Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV
Menonton siaran televisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekadar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktu pun cepat berlalu
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama


Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku
Dengan suara dan lafaz yang tidak semerdu dulu
Engkau pun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu


Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah SWT yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah SWT


Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu
Setiap saat berlalu
Dan akhirnya
kubur yang setia menunggu mu
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu


Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati
Di kuburmu nanti
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat
Dan Akulah "Al-Qur'an", kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu


Peganglah Aku kembali.. .. bacalah aku kembali aku setiap hari
Kerana ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu
Sentuhilah Aku kembali


Baca dan pelajari lagi Aku
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampung mu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri
Dalam bisu dan sepi...

SUMBER : http://qurratunainun.blogspot.com/

Friday, November 4, 2011

12 Sifat Sahabat - Artikel 28/2011 - Tarikh : 4 November 2011 / 8 Zulhijjah 1432 H

  1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
  2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
  3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu.
  4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
  5. Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
  6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
  7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
  8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
  9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
  10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
  11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
  12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
    {petikan "Bimbingan Mu'minin" Imam Ghazali}

    SUMBER : http://www.mymasjid.net.my/

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…