"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, December 30, 2011

Menangisi Merindui Rasulullah SAW - Artikel 36 /2011 - Tarikh : 30 Disember 2011 / 5 Safar 1433 H

Berderai airmata syabab addin tatkala membaca mesej Rasulullah saw yang sangat dicintai,walaupun kita tak pernah bersua tapi aku beriman serta menyakini bahawa engkaulah Nabi & RAsul utusan Allah buatku..hayati khutbah terakhir rasulullah saw ini :

Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah
Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang.


Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia , sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikan ya-ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba hambaMU…



SUMBER : http://al-hafizaidi.blogspot.com/2011/11/menangisimerindui-rasulullah-saw.html

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Menangisi Merindui Rasulullah SAW)

Friday, December 23, 2011

Baitulmuslim - Artikel 35 /2011 - Tarikh : 23 Disember 2011 / 27 Muharram 1433 H

Baitulmuslim - Rumah tangga Islam (Muslim)

Dakwah - iaitu seruan kepada syariat Allah/ajak manusia menyembah Allah SWT

Komponen:
1. Suami
2. Isteri
3. Anak-anak

Apakah dasar-dasarnya?

Secara amnya ia merangkumi konsep keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangan Allah.

Baitulmuslim dakwah. Penulis lebih merujuk kepada komponen dalam membentuk baitulmuslim dakwah.

Pertamanya ialah bakal suami, anak kepada ibu bapa, pemuda (syabab) di jalan dakwah. Bermulanya fasa pembentukan individu Muslim iaitu sebagai seorang syabab, abang kepada adik-adik dan juga peranan sebagai seorang anak. Dalam fasa ini merupakan suatu yang sangat mustahak bagi seorang pemuda Islam yang beriman. Dalam proses pembentukan individu Muslim mengikut acuan Islam yang syumul memerlukan kefahaman yang mendalam tentang ilmu-ilmu Islam. Dalam fasa inilah perlu ada dalam diri setiap pemuda Islam untuk mentarbiahkan (mendidik) diri menjadi Muslim yang benar-benar bertakwa.

Mesti ada di kalangan kita yang menginginkan bakal-bakal zuriat mereka nanti menjadi pejuang-pejuang kebenaran. Ada juga yang inginkan anak-anak yang bakal lahir nanti menjadi profesional ulama' iaitu mereka yang sangat prihatin dengan ilmu-ilmu keagamaan dan juga sains. Golongan ini dapat menghubungkaitkan antara Al-Quran dan sains.

Golongan profesional ulama' yang hafaz keseluruhan Al-Quran dan dapat menguasai ilmu-ilmu fekah serta ilmu-ilmu sains dan dengan ilmu ini mereka dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda masyarakat. Itulah yang diharapkan daripada baitulmuslim dakwah iaitu melahirkan generasi Al-Quran yang unggul. Itulah yang menjadi cita-cita penulis sebagai seorang pemuda dan ayah kepada anak-anaknya nanti. Oleh itu,apa yang penulis dapat kongsikan daripada artikel ini ialah bagaimana kita iaitu para pemuda Islam ingin merealisasikan impian dan harapan ini?

Penulis mulakan dengan dirinya sendiri, selaku hamba Allah yang sangat lemah. Kalau kita ingin melahirkan generasi profesional ulama' ini, perkara yang paling penting ialah perlunya kita mendidik diri kita terlebih dahulu untuk menjadi seorang profesional ulama'. Sekiranya kita ingin melihat bakal anak-anak kita nanti hafaz Al-Quran, kita juga sekarang ini perlu hafal Qur’an. Kalau kita ingin melihat bakal anak-anak kita nanti berminat dengan ilmu agama dan sains, kita pun sekarang ni perlu melazimkan diri untuk menuntut ilmu agama dan sains dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Sekiranya kita ingin melihat anak kita menjadi ulama' dalam bidang fekah dan tafsir, kita juga perlu mendidik diri kita sekarang ini dengan mempelajari ilmu fekah dan juga tafsir. Dan begitulah seterusnya berdasarkan apa yang kita ingin corakkan kepada generasi anak-anak kita nanti. Ini adalah satu permulaan bagi diri kita, insyaAllah.

Bilamana kita sebagai seorang bakal isteri, pastinya kita ingin jadi isteri yang solehah buat suami kita. Secara umumnya macam itulah. Katakanlah kita memasang impian untuk menjadi seorang isteri solehah bilamana berkeluarga nanti, jadi waktu sekarang inilah perlu kita latih diri kita untuk menjadi solehah. Wanita ini secara amnya bersifat lembut dan mereka ni sangat mahir dalam mendidik anak-anak.
Itulah kelebihan yang Allah berikan kepada kaum wanita tetapi mereka perlu mendapat bimbingan daripada seorang suami yang soleh. Seorang isteri yang solehah ialah bilamana suami memandangnya akan terasa sejuk hati suaminya dan bertambah tenang jiwa suaminya, itulah yang dinamakan baiti jannati (rumahku syurgaku).

Peringatan daripada penulis kepada kaum wanita, sekiranya anda inginkan anak-anak yang bakal lahir nanti sebagai seorang pejuang agama Allah, maka hendaklah kalian melazimi diri dengan membaca Al-Quran setiap masa dan ketika, melazimi menghadiri majlis ilmu contohnya kuliah fiqh wanita, usrah-usrah dan sebagainya. Kalau anda berpeluang untuk hafal Al-Quran, maka go on with that habit. Semoga anak-anak yang bakal lahir nanti akan mewarisi perilaku ibunya, insyaAllah. Maka akan lahirlah baitulmuslim dakwah.

* penulis aktif menulis di blog beliau PROFESIONAL ULAMA

SUMBER : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2402

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Baitulmuslim)

Friday, December 16, 2011

Cara Nabi Jaga Kesihatan Diri - Artikel 34/2011 - Tarikh : 16 Disember 2011 / 20 Muharram 1433 H

BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.

Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.

Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah :

1. Selalu bangun sebelum subuh

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

2. Aktif menjaga kebersihan

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

3. Tidak pernah makan berlebihan
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda : Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

4. Gemar berjalan kaki

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

5. Tidak pemarah

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

6. Optimis dan tidak putus asa

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakkal kepada Allah SWT.

7. Tidak pernah iri hati

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

8. Pemaaf

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul, semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.

SUMBER : http://www.islamituindah.my/cara-nabi-jaga-kesihatan-diri
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Cara Nabi Jaga Kesihatan Diri)

Friday, December 9, 2011

Sangka-sangka - Artikel 33/2011 - Tarikh : 9 Disember 2011 / 13 Muharram 1433 H

Sangkaan kita ...
  • Orang memakai barang kemas disangka megah, tapi orang tak pakai apa-apa disangka miskin.
  • Orang senyum disangka mengejek, tapi orang masam disangka marah atau merajuk.
  • Orang bermuzakarah disangka mengumpat, tapi orang diam disangka menyendiri.
  • Orang cantik disangka pakai susuk, orang buruk dikata tak tahu jaga diri.
  • Orang baik disangka jahat, tapi orang jahat disangka baik.
Sedangkan ...
  • Mana tahu orang yang berpakaian kemas itu memang kebiasaannya begitu, manakala yang berbaju buruk memang seorang yang zuhud.
  • Mana tahu barang kemas itu terpaksa dikeluarkan zakat kalau disimpan sahaja, manakala orang yang tidak memakai apa-apa menyimpan barang kemasnya disebabkan belum cukup haul dan nisab.
  • Mana tahu orang benar-benar berhimpun untuk berkongsi ilmu atau bermuzakarah, manakala orang yang diam itu sedang berpuasa.
  • Mana tahu orang cantik itu sebab amalkan doa bercermin, manakala orang yang buruk itu hanya pada pandangan mata kita.
  • Mana tahu orang yang baik itu benar-benar baik dan orang yang jahat itu benar-benar jahat.
Jauhilah sikap suka bersangka-sangka kerana ia bakal memusnahkan ukhuwah seperti musnahnya kayu dimakan api.

SUMBER : Buletin Akrab Bil. 2/2010
Petikan Buku "Membina Jati Diri Cemerlang oleh Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj"
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Sangka-sangka)

Friday, December 2, 2011

Surah Al-Fatihah : Ayat 6 - Artikel 32/2011 - Tarikh : 2 Disember 2011 / 6 Muharram 1433 H


Bimbinglah kami mengikut jalan yang lurus. Peganglah tangan dan pimpinlah kami mengikut lorong yang lurus dan jangan lepaskan tangan kami walaupun sekelip mata. Janganlah Engkau biarkan kami memandu diri kami sendiri walaupun hanya buat waktu yang sebentar. Peganglah tengkuk kami dan doronglah kami untuk mengikut jalan yang selamat di dunia dan jalan yang menyelamatkan kami di akhirat kelak. Dirikanlah pagar yang kukuh di kiri kanan jalan yang Engkau mahu kami ikut supaya kami tidak dapat menyimpang ke mana-mana dalam perjalanan kami di dunia menuju ke akhirat. Berilah kefahaman kepada kami terhadap petunjuk-petunjuk jalan yang Engkau letakkan sepanjang perjalanan kami menuju ke akhirat dan berilah kami kekuatan untuk mengikutnya.

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus :

1. Tunjukkanlah kami untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam segala aktiviti hidup yang kami lalui.

2. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mendekatkan diri kepada Engkau.

3. Tunjukkanlah kami jalan lurus dalam menunaikan ibadat-ibadat fardhu agar ia menepati cara yang telah ditunjukkan oleh Rasul Engkau kepada kami.

4. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mengamalkan amalan-amalan sunat yang telah diajarkan oleh Rasulullah kepada kami.

5. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam kami membersihkan diri daripada dosa-dosa yang kami telah lakukan.

6. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mengamalkan zikir-zikir yang telah disunnahkan oleh Rasul Engkau kepada kami.

7. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus ketika menuturkan perkataan sama ada dalam suka atau benci.

8. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam menjalani kehidupan berkeluarga agar ia menjadi ibadat yang Engkau berikan ganjaran syurga.

9. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh dan mendoakan kami apabila kami telah mati kelak.

10. Tunjukkanlah kami jalan lurus dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam keluarga kami.

11. Tunjukkanlah kami jalan lurus dalam menjalani kehidupan berjiran dan bersosial di kalangan ahli masyarakat.

12. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam menyayangi dan membenci seseorang dalam kehidupan bermasyarakat.

13. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam memilih sistem pemerintahan dan pemimpin di kalangan kami.

14. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam usaha mengembangkan agama Islam di kalangan orang Islam dan bukan orang Islam.

15. Tunjukkanlah jalan yang lurus dalam kami menjalani kehidupan di dunia ke arah kami mendapat redha dan syurga Mu di akhirat kelak.

Tanpa petunjuk dan bimbingan daripada Engkau, kehidupan kami tidak akan terjamin selamat berada di atas jalan yang lurus iaitu jalan yang telah Engkau pertontonkan modelnya kepada kami. Jalan itu adalah jalan mereka yang sudah pasti Engkau telah dan akan berikan nikmat dunia, syurga dan redha Mu kepada mereka.


SUMBER : Dipetik dari Buku MARI Memahami dan Menghayati BACAAN SOLAT
Oleh : Hasnan Kasan,
Penerbit : Sinar Tenggara Sdn Bhd, Halaman 56-58

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Surah Al-Fatihah : Ayat 6)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…