"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, August 26, 2011

Contoh Dosa Harta Seorang Pekerja - Artikel 18/2011 - Tarikh : 26 Ogos 2011 / 26 Ramadhan 1432H

1. Menggunakan peralatan syarikat untuk tujuan peribadi seperti kertas, pen, faks, fotostat, menelefon anak di rumah, rakan-rakan dan lain-lain, yang mana tiada hubungan dengan kerjanya. Maka penggunaan tidak sah ini mestilah dibayar oleh pekerja sama ada secara langsung atau tidak
langsung.



2. Menipu syarikat ketika membuat tuntutan wang yang digunakan seperti tuntutan kos minyak petrol, pembelian alatan untuk syarikat di luar dan lain-lain dengan membuat kos tambahan sendiri.



3. Mengambil rehat tidak sah ketika waktu bekerja. Ia akan menyebabkan pendapatan gaji seseorang tidak sepenuh miliknya.


4. Membuat tuntutan kerja lebih masa dengan perancangan. Ia pada asalnya adalah harus, tetapi menjadi haram apabila pekerjanya sengaja melambatkan kerjanya pada waktu biasa, dengan niat untuk melakukan kerja lebih masa atau overtime. Ini ialah salah satu bentuk penipuan.


5. Rasuah dalam membuat pemilihan. Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk iklan, pembersihan, latihan dan lain-lain untuk syarikat atau organisasinya. Sebagai contohnya, pihak pegawai memilih syarikat Z daripada empat syarikat lain yang menghantar quotation kerana syarikat Z itu berjanji memberikannya sedikit imbuhan ikhlas.


Hukumnya adalah HARAM dan RASUAH dalam Islam.


6. Mencipta quotation sendiri oleh pegawai atau kumpulan pegawai yang diberi kuasa membuat pemilihan kontraktor untuk syarikat. Dia atau mereka sepakat untuk memberi kepada satu syarikat
yang mereka kenali bukan kerana kualiti dan harganya tetapi kerana sebab-sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan agar quotation daripada empat buah syarikat yang lain, pegawai ini telah mencipta beberapa quotation daripada syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan quotationnya adalah yang terbaik.


Hukumnya adalah HARAM kerana MENIPU.


7. Menaikkan harga. Seorang kakitangan diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah dan berjaya mencari dengan harga RM1500 tetapi menaikkannya kepada RM2000, lalu baki RM500 diambilnya.

Hukumnya adalah HARAM oleh sepakat ulama.


8. Menang Tender bersyarat. Pegawai diminta oleh majikan mencari kontraktor untuk mengubah suai pejabat atau apa jua set syarikat. Pegawai itu telah melobi syarikat B kepada majikan disebabkan dia telah mempunyai perjanjian di sebalik tabir dengan pihak syarikat B yang memberikannya izin untuk melabur wang peribadinya dalam syarikat B dengan kadar keuntungan mengikut Islam kononnya. Padahal, jika tiada peluang melabur itu, sudah pasti pegawai itu tidak akan mengempen syarikat B.


Hukum tindakan sebegini adalah HARAM dalam Islam dan ia termasuk dalam RASUAH BENTUK BARU dan berselindung di sebalik aktiviti pelaburan Islam.


9. Tuntutan Palsu. Kakitangan membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu tetapi berpakat dan memohon pembekal atau stesen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza daripada jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikat dengan harga berlipat kali ganda. Ini berlaku dalam kes-kes di atas.



Hukumnya adalah HARAM menurut Islam kerana membuat penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit berjumlah palsu itu.


10. Resit Harga Ciptaan. Kakitangan membeli barang untuk kegunaan syarikat dari satu kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cap palsu.


Hukumnya adalah HARAM dalam Islam kerana PENIPUAN.


11. Ambil Untung Sendiri. Pegawai diberi oleh syarikat bajet maksimum sebanyak RM5000 untuk membeli satu barangan keperluan syariat. Pegawai berjaya mencari di pasaran terbuka barang yang diperlukan dengan harga RM4000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai telah berpakat dengan penjual agar dituliskan harga RM5000 dalam invoice dan baki RM1000 hendaklah diberi kepadanya.

Hukumnya adalah HARAM kerana penipuan dan wang khianat sebagaimana yang disebut oleh Nabi
Muhammad SAW. Bagaimanapun, jika ia berterus terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, tatkala itu, majikan harus memberikannya jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Jika tidak, majikan akan mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bonus dan kenaikan gaji apabila sampai waktunya sahaja.


Sumber :
Dipetik dari Buku Formula Solat Sempurna
Oleh : Ust. Zaharuddin Abd. Rahman,
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd,
Halaman 154-156

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Contoh Dosa Harta Seorang Pekerja)

Friday, August 19, 2011

Logiknya Solat dalam Sudut Pandangan Sains - Artikel 17/2011 - Tarikh : 19 Ogos 2011 / 19 Ramadhan 1432H

Seorang profesor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.


Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.


Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.


Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda profesor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.


Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.


Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.


Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.


Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.


Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.


Timbul persoalan di fikiran profesor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.


Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, profesor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.


Friday, August 12, 2011

Sejarah Solat Lima (5) Waktu - Artikel 16/2011 - Tarikh : 12 Ogos 2011 / 12 Ramadhan 1432H

Nabi Muhammad SAW merupakan Nabi Terakhir yang diutus oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad di mana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.



Subuh :
Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.


Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.

Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.



Zohor :
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. . Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.


Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.

Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.

Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredaan Allah SWT.

Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


Asar :
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:


Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.

Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.

Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.

Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib :
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:


Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.

Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.

Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.


Isyak :
Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.


Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.

Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.

Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.

Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun.





Friday, August 5, 2011

Adab Berpuasa dan Solat Terawih - Artikel 15/2011 - Tarikh : 5 Ogos 2011 / 5 Ramadhan 1432H

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh
menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:


  1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya;

  2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

  3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhah terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih. Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbuka mu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

  4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau
    melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan
    sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
    Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

  5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan
    bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan inti pati puasa yang perlu dicapai;

  6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
    Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang
    menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah SWT, kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
    Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah SWT.
    Sabdanya: Takungan jelik yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantung perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
    Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perut mu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perut mu lapar kesemua anggota mu akan kenyang.”
    As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

  7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

  8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
    Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umat ku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

  9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

  10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
    Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat tarawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
    Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tamakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
    Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
    Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai . Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)


Sumber : http://feryco.com/adab-berpuasa-dan-solat-tarawih



(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Adab Berpuasa dan Solat Terawih)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…