"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, October 28, 2011

Mengapa Allah Turunkan Bencana - Artikel 27/2011 - Tarikh : 28 Oktober 2011 / 1 Zulhijjah 1432 H

Apakah agaknya yang dikatakan bencana itu? Bagi kita rakyat Malaysia, sudah tentu soalan menganggap bencana itu perkara biasa kerana bencana alam ini sering kali melanda negara kita tanpa kita sedari. Banjir, kemarau dan gempa bumi adalah contoh bencana alam yang tidak putus-putus kita hadapi. Walaupun kebanyakannya tidak kita alami, terkena juga tempatnya.

Kenapalah Allah menimpakan bencana ini kepada kita? Ada yang mempunyai tanggapan bahawa bencana ini berlaku disebabkan cuaca, iklim dan kedudukan geografi yang tidak strategik. Kalau begitu malanglah mereka yang negaranya terletak di garisan lingkaran gunung berapi dan bertuahlah kita kerana negara kita terletak di garisan khatulistiwa yang kononnya strategik dan terselamat daripada kebanyakan bencana alam. Hanya Allah sahaja yang tahu kenapa dan mengapa. Tapi kawan-kawan, apa yang perlu kita sedari ialah apabila Allah mengkehendaki sesuatu terjadi, maka jadilah ia tidak kira di mana jua lokasi kita.

Pernahkah kita terfikir mengapakah apabila hujan, langit mencurahkan airnya tanpa henti sehingga berlakunya banjir besar yang mengorbankan jiwa dan memusnahkan harta benda?

Pernahkah terlintas di benak kita apabila berlaku kemarau yang berlarutan, sungai menjadi kering kontang dan suhu meningkat secara mendadak. Tidak tergambar ketika itu bagaimana teriknya di padang mahsyar nanti dan betapa hebatnya bahang dan kepanasan di neraka seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran. Wana'uzubillah.

Tidak hairanlah kita apabila berlakunya musim hujan di sana sini, tetapi pada waktu yang sama, ada kawasan yang kering kontang tanpa hujan? Di sana kehausan dan kelaparan sementara di sini menggigil kedinginan. Ya Allah! Adakah ini boleh dianggap lumrah?

Apabila banjir sudah mencapai had bahaya dan kemarau berlarutan dan meninggalkan bumi dengan kering kontang dan apabila terjadinya kemarau di musim hujan, maka inilah yang dikatakan MUSIBAH dan BALA. Pada masa ini, dua persoalan pokok perlu dijawab. Bukan sekadar memikirkan cara untuk mengatasinya malah yang lebih penting mengapa hal ini berlaku.

Bala atau bencana yang menimpa manusia adalah balasan di dunia daripada Allah SWT terhadap kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku sebelum manusia menerima balasan di akhirat. Allah berfirman ;

"Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (akibat perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu" (As-Syura : 30)

Alhamdulillah, nasib baiklah Allah itu bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Jika hendak dihitung dosa kita sehari-hari sudah tentu bala ini akan diturunkan tanpa putus-putus. Lihat ke kiri, kemungkaran, kanan juga kemungkaran. Lelaki dan wanita yang mendedahkan aurat, anak-anak kecil yang dibuang hasil daripada persetubuhan haram, ulama’ dihina dan dikeji, agama diperkecil-kecilkan, sunnah Rasulullah diejek-ejek, arak yang sudah menjadi minuman rasmi pada setiap kali perjumpaan, perjudian di sana sini. Astaghfirulllah'azimm... APA SUDAH JADI DENGAN UMAT ISLAM SEKARANG????

INGATLAH! Bala ini bukan sahaja menimpa mereka yang berdosa dan bersalah, malah keseluruhan manusia seperi yang dijelaskan dalam Surah Al-Anfal 8:25; " Dan jagalah diri kamu daripada seksaan yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum), dan ketahuilah bahawa amat berat azab seksa-Nya "

Oleh itu, perbanyakanlah beristighfar dan meminta ampun kepada Allah dan berhentilah daripada melakukan dosa. Tetapi, adakah cukup setakat itu sahaja? Jangan dilupakan kewajipan kita dalam menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah :

"Dan wahai kaumku, mintalah ampun kepada Tuhan kamu kemudian kembalilah taat kepada-Nya supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat dan menambahkan bagi kamu kekuatan kamu yang sedia ada, dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa" (Surah Hud : 52)

"Sehingga aku berkata (kepada mereka), pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat yang mencurah-curah kepada kamu " (Surah Nuh 10:11)

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar r.a. yang bermaksud : Berkata Abdullah ibn Umar, "Ketika saya bersama sepuluh sahabat daripada muhajirin di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba Rasulullah berpaling kepada kami dan berkata, "Menegah sesuatu kaum daripada mengeluarkan zakat bererti menegah langit daripada menurunkan hujannya. Kalaulah tidak kerana binatang yang tidak berdosa dan hidup melata di bumi, tentu hujan tidak akan turun (sehinggalah mereka mengeluarkan zakat harta mereka)."

Para sahabat sekalian, kembalilah kita ke jalan Allah kerana bala yang berlaku di sekeliling kita adalah akibat perbuatan kita sendiri .Serikanlah hidupmu dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah... InsyaAllah dirimu akan terpelihara dari kesesatan. Akhir kata pemanis bicara... jaga diri, hiasi peribadi... jaga iman, perbanyakan amalan.

SUMBER : http://sinaronline.tripod.com/




























Friday, October 21, 2011

7 Sebab Timbulnya Hasad Dengki - Artikel 26/2011 - Tarikh : 21 Oktober 2011 / 23 Zulkaedah 1432 H

IMAM AL-GHAZALI TELAH MERUMUSKAN BAHAWA TERDAPAT 7 SEBAB MENGAPA TIMBULNYA SIFAT HASAD DENGKI DALAM DIRI MANUSIA, IAITU : 



PERTAMA : Perseteruan Dan Kebencian


Ianya merupakan sebab yang paling kuat dan paling jelas. Seseorang yang disakiti kerana suatu sebab tertentu, ataupun yang tidak disetujui oleh orang lain di dalam sesuatu hal yang bercanggah dengan kehendak peribadinya, maka perasaan marah akan mengatasi kesabaran di dalam dirinya sehingga boleh mencetuskan perseteruan dan kebencian. Orang yang sedemikian akan merasa gembira apabila apa sahaja kesusahan atau bencana yang menimpa ke atas diri orang yang dimarahi dan dibencinya, sebaliknya dia akan rasa berdukacita dan bersedih jika orang yang dimusuhinya mendapat nikmat dan kesenangan. Firman Allah SWT, yang bermaksud :


"Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya..." ( Surah Ali Imran : Ayat 120)

KEDUA : Bangga dengan Kedudukan dan Kemuliaan


Iaitu terasa begitu berat dalam hatinya atau terasa begitu sakit dalam hatinya dengan sebab orang lain lebih atas darinya. Jika ada di antara mereka yang setaraf dengannya mendapat sesuatu yang lebih darinya, sama ada tentang pangkat atau ilmu pengetahuan ataupun harta kekayaan, maka dia merasa bimbang kalau-kalau teman setarafnya itu bersikap angkuh atau takbur ke atas dirinya. Dia rela kalau temannya itu terus berada dalam keadaan atau kedudukan yang sama taraf dengan dirinya, sebaliknya tidak rela kalau temannya itu lebih mengatasi darinya.


KETIGA : Angkuh (Takbur)


Angkuh serta meninggi diri dengan memperkecil-kecilkan apa yang dimiliki oleh orang lain dan mengharapkan agar orang lain yang diperlekehkannya itu terus mengikut serta menuruti kehendaknya. Beliau sentiasa bimbang dan takut jika orang lain yang diperkecilkannya itu tidak lagi menurut ataupun mengikut segala kehendak hatinya. Sifat hasad yang berpunca daripada takbur ini adalah suatu sifat yang dipunyai oleh kebanyakan orang bangsawan Arab Jahiliah.


KEEMPAT : Ta'ajub


Rasa ta'ajub atau rasa hairan dengan kenikmatan, kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri. Boleh juga disebut sebagai bangga diri, tetapi tidak sampai kepada tahap angkuh dan sombong. Orang yang sedemikian akan sentiasa menceritakan kebaikan dirinya di khalayak ramai dan suka orang lain membodek serta memuji dirinya (suka diampu). Akan lahir rasa sakit dalam hatinya jika ada orang memuji orang lain yang lebih baik darinya.


KELIMA : Bimbang dan Takut Cita-Cita Tak Tercapai


Perasaan ini terkhusus bagi mereka yang saling berlumba untuk merebut satu tujuan atau cita-cita yang sama, seperti adik-beradik yang berhasad dengki sesama mereka bagi mendapatkan kepercayaan bapanya. Perasaan ini juga banyak terdapat di kalangan orang-orang politik yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan pengaruh daripada pemimpin atasan. Jika sampai ke tahap orang lain itu boleh menyekat cita-cita ataupun menghalang matlamatnya, maka hasad dengki akan menguasai dirinya bagi membolehkan dirinya berjaya dan pesaingnya gagal.



KEENAM : Gilakan nama dan Kemasyhuran dalam Bidang-Bidang tertentu


Seperti seseorang yang bercita-cita untuk mencapai kejayaan atau untuk menjadi juara dan jaguh dalam satu-satu bidang tertentu yang tidak ada tandingannya, ataupun yang berusaha agar rekodnya tidak dapat ditandingi oleh orang lain dengan tujuan supaya dirinya sentiasa disanjung dan dipuja oleh orang ramai. Orang yang sedemikian, jika mendengar berita tentang terdapatnya orang lain yang mampu menandingi serta mengatasinya maka akan sakitlah hatinya. Ianya lebih suka jika pencabarnya itu diragut maut atau hilang keistimewaan yang dinikmatinya, supaya dia kekal sebagai juara tanpa ada tandingan atau saingan.


KETUJUH : Busuk Hati


Hasad yang berpunca daripada busuk hati ini payah untuk dirawat kerana sifat busuk hati ini semacam sudah sebati dalam dirinya. Orang yang hasad kerana busuk hati adalah seorang yang paling bakhil, kerana ia beranggapan bahawa orang lain yang mendapat kelebihan darinya itu telah meragut sesuatu dari miliknya, sedangkan apa yang diperolehi oleh orang lain itu adalah datangnya dari milik Allah. Orang ini cukup bakhil dan busuk hatinya kerana apa yang hendak diberi oleh Allah kepada orang lain pun beliau sanggup mempertikaikan Allah kerana memberi kenikmatan kepada orang lain.


KESIMPULAN : Jika dalam diri kita bermaharajalela hawa nafsu yang berpunca daripada ketujuh-tujuh sebab ini, maka akan lahirlah perasaan hasad dengki dan khianat dalam diri kita. Jika ianya tidak dapat dihindarkan ataupun kita tidak berusaha untuk menepisnya keluar dari dalam hati kita, maka hasad dengki dan khianat ini akan sebati dalam darah daging kita. Justeru, cara merawatnya supaya sifat hasad dengki ini terhindar dalam diri kita ialah dengan kita melakukan tindakan-tindakan positif yang bertentang dengan maksud ketujuh-tujuh punca kejahatan yang disebutkan di atas.


Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terang-terangan) dan secara bersembunyi, dengan berkata: Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini, nescaya jadilah kami dari orang-orang yang bersyukur.(Surah al-An’am, ayat 63)


SUMBER : Randau Ruai - Ustaz Radzi

Friday, October 14, 2011

Sakit, musibah uji tahap keimanan Muslim - Artikel 25/2011 - Tarikh : 14 Oktober 2011 / 16 Zulkaedah 1432 H

KEHIDUPAN ini kadang-kadang tidak berlangsung dengan baik, menceriakan dan membahagiakan manusia. Ada ketika manusia akan menghadapi saat genting yang membuatkannya tidak dapat melakukan apa-apa.

Dalam saat genting inilah Allah memerintahkan manusia menghadapinya dengan sabar dan tenang sesuai dengan petunjuk-Nya.

Dalam saat genting ini juga, manusia diuji Allah sama ada dia insan sabar dan optimis atau mudah berputus asa serta pesimis.

Sakit adalah antara musibah yang Allah timpakan. Manusia tidak selamanya sihat yang memungkinkan mereka melakukan apa saja.

Tetapi, ada ketikanya manusia akan berdepan dengan musibah sakit tetapi ia bukan azab ditimpakan Allah kerana kemurkaan dan kebencian sebaliknya, ia sebahagian daripada kasih sayang Allah dan perhatian-Nya kepada orang beriman.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya seorang yang beriman ketika ditimpa musibah sakit, kemudian Allah menyembuhkannya, maka itu adalah kaffarah (penghapus) bagi dosa-dosa yang dia lakukan sebelumnya, sekali gus menjadi peringatan berharga untuk menghadapi masa akan datang.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Mungkin timbul persoalan mengapa Allah menghapuskan dosa orang Mukmin yang sedang sakit?

Dapat disimpulkan dua sebab iaitu faktor kesabarannya dan juga sikap optimisnya ketika menghadapi menerima musibah itu.

Oleh itu, sakit seharusnya dihadapi dan diterima sebagai ujian kesabaran dengan lapang dada dan terbuka. Bukankah Allah selalu menyebut bahawa Dia akan bersama dengan orang sabar, termasuk sabar dalam kesakitan.

Firman Allah yang bermaksud: “…kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Kedua, faktor keinsafan dan kesedaran yang mula timbul apabila seseorang jatuh sakit.

Masa sakit pada asasnya satu detik bagi seseorang untuk merenung, mencermin diri dan bermuhasabah terhadap segala perbuatannya yang lalu.

Seorang Muslim sejati akan menjadikan masa sakit sebagai wadah bermuhasabah, sejauh manakah dia menurut segala perintah Ilahi dan menjauhi larangan-Nya pada saat dia sihat. Sakit juga isyarat bahawa manusia adalah makhluk lemah dan kerdil yang tidak dapat berbuat apa-apa, masih memerlukan hidayah serta pertolongan Allah yang Maha Berkuasa.

Dalam menangani musibah sakit, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu musibah-musibah dengan doa (yang ikhlas).” (Hadis riwayat Tabrani)

Demikian nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya berkaitan permasalahan yang dihadapi umatnya. Dalam hadis itu, Rasulullah SAW memberikan kunci untuk menjalani kehidupan yang mencabar ini.

Harta amat dicari setiap insan di muka bumi ini. Oleh itu, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya mencari harta sebanyak mungkin. Malah, Rasulullah SAW sendiri contoh terbaik sebagai pedagang berjaya.

Namun, Islam mengajar umatnya bahawa harta yang diperoleh tidak akan suci melainkan selepas dikeluarkan zakatnya. Kewajipan berzakat jelas dalam al-Quran.

Allah berfirman bermaksud: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk); dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar.” (Surah al-Taubah, ayat 103)

Sakit adalah sebahagian daripada fasa peralihan kehidupan manusia. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Berubatlah kerana tidak ada satu penyakit diturunkan Allah melainkan diturunkan juga ubat penawarnya, kecuali satu penyakit iaitu penyakit tua.” (Hadis riwayat Abu Dawud & Tirmizi)

Salah satu daripada penawar sakit adalah memperbanyakkan sedekah kerana setiap sedekah dikeluarkan mengandungi makna keberkatan dan nilai doa, lebih-lebih lagi jika sedekah disumbangkan kepada orang yang benar-benar memerlukan.

Imam Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa mendoakan orang bersedekah dengan doanya: “Ya Allah Ya Tuhanku! Rahmatilah mereka”.

Musibah yang menimpa pada hakikatnya akibat berpunca daripada tangan manusia sendiri.

Bukankah Allah sudah berfirman bermaksud: “Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang sudah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum, ayat 41)

Justeru, untuk menghindari dan menyelamatkan diri daripada musibah itu, menjadi kewajipan Muslim untuk memperbanyakkan doa supaya Allah melindungi diri kita daripada bahaya.

Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terang-terangan) dan secara bersembunyi, dengan berkata: Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini, nescaya jadilah kami dari orang-orang yang bersyukur.(Surah al-An’am, ayat 63)

Friday, October 7, 2011

Peringatan Semula... HANYA SATU KLIK - Artikel 24/2011 - Tarikh : 7 Oktober 2011 / 9 Zulkaedah 1432 H

Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan e-mel hampir ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga Kerajaan termasuk kepada pelajar-pelajar di kolej dan universiti. Kemudahan Internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah menyebabkan kemudahan e-mel ini menjadi semakin popular. Pernah kah kita terfikir dengan satu “KLIK” sahaja akan menyebabkan mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari kiamat. Apa yang penulis akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadis Sahih berikut :

Mahfumnya :
Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. : “Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.

Mahfumnya :
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala)pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita ambil iktibar dari kisah ini. Zack baharu tamat belajar di sebuah universiti kemudian di terima bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan komputer, alamat e-mel dan capaian Internet bagi memudahkan urusan kerja seharian. Zack mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui e-mel setiap hari. Masa lapang Zack diisi dengan melayari laman web lucah. Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui e-mel. Dia mempunyai “email group” dan ada 50 alamat e-mel kawan-kawannya di dalam “email group” tersebut.

Sekali menghantar e-mel, dia akan menghantar kepada “email group” tersebut. Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula e-mel yang diterima daripada rakan yang lain ke “email group”. Di antara kandungan e-mel itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam. Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Zack terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kembali ke rahmatullah di tempat kejadian.


Di dalam Islam telah sepakat ulama’ bahawa hukum melihat gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya. Untuk memudahkan kefahaman, katakan Zack telah mendapat satu dosa kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui e-mel. Kesemua kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan Zack maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap kawannya itu juga diberikan kepada Zack jadilah sekarang dosa Zack 1+50 = 51. Setiap kawan-kawan Zack itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10 orang lagi, maka sekarang dosa Zack akan bertambah lagi menjadi 1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Zack menjadi 1+50+500=5551. Begitulah seterusnya.


Zack telah meninggal dunia, e-melnya masih lagi tersebar, maka akan berterusanlah dia mendapat dosa selagi e-mel itu berlegar di ruang cyber hingga hari kiamat. Begitulah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang berlaku kepada Qabil, setiap jiwa yang mati dibunuh kerana hasad dengki manusia, maka dosa membunuh itu akan juga sampai kepada Qabil hingga hari kiamat. Bayangkanlah berapa ramai kah jiwa yang telah kena bunuh dengan zalim sejak dari zaman nabi Adam hingga sekarang? Dan berapakah dosa yang terpaksa ditanggung oleh Qabil di akhirat kelak?


Berbalik kepada kisah Zack, katakan sebelum meninggal dunia, Zack telah sempat bertaubat, insya-Allah dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita. Zack telah menyebarkan perkara yang menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak minta ampun dengan semua yang menerima e-mel tersebut? Selagi mereka semua tidak mengampunkan Zack maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga kiamat kelak.

Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita. Sebab itu setiap kali apabila kita menerima e-mel, hendaklah berhati-hati, jika kandungan e-mel itu adalah gambar lucah atau yang mengaibkan seseorang Muslim lain atau sesuatu fitnah hendaklah segera dibuang dan jangan ada sedetik pun di dalam hati untuk seronok dengan benda yang haram bagi mengelakkan kita dan pengirim dari berdosa.

Yang sebaiknya jika yang diterima itu haram, nasihatkanlah pengirim supaya bertaubat dan berhati-hati di masa-masa akan datang. Sebaliknya jika kita menyebarkan perkara-perkara yang baik dan diredai oleh Allah SWT yang pastinya ganjaran pahala yang di terima pasti mencurah-curah selagi ia masih terus di sebarkan. Wallahhu’alam.

SUMBER : Randau Ruai - Ustaz Radzi
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Peringatan Semula... HANYA SATU KLIK)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…