"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, April 27, 2012

Kasihnya Masyitah Pada Anak Atau Tuhan? - Artikel 17/2012 - Tarikh : 27 April 2012 / 5 Jamadilakhir 1433 H

Kita semua, sedia maklum bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata agar menyembah dan memperhambakan diri padanya. Barang siapa yang engkar dengan suruhannya akan diseksa atau dihukum bunuh. Begitulah kejamnya Firaun.

Walaupun hukuman diugut dengan hukuman bunuh, terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah. Diantaranya ialah Siti Asiah, isteri Firaun sendiri dan keluarga Masyitah.

Masyitah adalah pelayan raja yang paling lebih terkenal sebagai tukang sikat keluarga Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan keislaman mereka agar dengan itu mereka tidak diganggu oleh Firaun dan orang-orangnya.

Walau bagaimanapun suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan tanpa disengajakan dia melatah dan menyebut, "Allah!"

Puteri tersebut bertanya siapakah `Allah` itu. Pada mulanya Masyitah enggan menjawab pertanyaan itu. Namun puteri itu terus mendesak Masyitah agar menjawab pertanyaannya. Akhirnya dengan tenang Masyitah berkata, "Allah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam ."

Puteri tersebut dengan serta-merta mengadu kepada Firaun tentang Masyitah. Firaun terperanjat apabila mendengar Masyitah menyembah selain dari dirinya. Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintah menterinya bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan keluarganya yang telah menyembah Allah.

Jasa Masyitah yang begitu banyak terhadap keluarga Firaun langsung tidak dikenang oleh Firaun. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana. Tanpa usul periksa Firaun menjatuhkan hukuman berat kepada Masyitah dan keluarganya.

Begitulah zalim dan kejamnya Firaun yang tidak berhati perut langsung. Beginilah sikap manusia yang punya kuasa dan kedudukan, yang lupa bahawa dia juga hamba kepada Tuhan yang menciptakannya. Manusia yang lemah terus diseksa sesuka hatinya.

Di pihak Masyitah pula, dia sedar bahwa inilah masanya Tuhan hendak menguji keimanannya. Meskipun lemah fizikalnya namun Masyitah memiliki kekuatan jiwa yang sukar ditandingi oleh wanita lain. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia kufur, sombong dan bongkak itu terhadapnya.

Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya menyediakan kawah yang besar. Hamman ingin merebus Masyitah serta keluarganya yang terdiri dari suami dan empat orang anak termasuk seorang bayi yang masih kecil.

Masyitah dan keluarganya melihat air di dalam kawah yang dimasak sehingga mendidih namun itu sedikitpun tidak menggugat keyakinan mereka kepada Allah. Sebelum ditolak ke dalam kawah tersebut, Masyitah sekeluarga telah ditanya oleh Hamman samada mahu selamat dengan menyembah Firaun kembali atau masuk ke dalam kawah dengan beriman kepada Allah. Dengan tegas mereka berkata, "Kami akan terus beriman kepada Allah sekalipun terpaksa terjun ke dalam kawah yang menggelegak ini."

Maka Hamman pun memaksa satu-persatu keluarga Masyitah terjun ke kawah tersebut dengan sombong dan ketawa terbahak-bahak sambil menyindir dan menghina mereka. Suami Masyitah dicampak dahulu dan diikuti dengan anak-anaknya. Masyitah melihat sendiri bagaimana suami dan anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. Akhirnya tinggal Masyitah bersama bayi yang sedang dikendongnya.

Di waktu itulah syaitan membisik ke telinganya, tidakkah dia rasa kasihan dan simpati pada bayinya yang masih merah dan tidak tahu apa-apa itu. Masyitah mula merasa ragu-ragu sama ada hendak membiarkan dirinya dicampak ke dalam kawah itu atau tidak. Ketika itu, dengan kuasa dan kehendak Allah, tiba-tiba anak yang masih kecil itu berkatakata berkata kepada Masyitah, ibunya, "Wahai ibu marilah kita menyusuli ayah. Sesungguhnya syurga sedang menanti kita."

Bila mendengar kata-kata itu, Masyitah dengan rasa kehambaan kepada Allah mencampakkan diri dan anaknya ke dalam kawah yang sedang menggelegak itu. Kawah itu dikacau oleh pengawal dengan menggunakan penyudip besi. Mereka dikacau seperti ikan yang direbus. Maka matilah Masyitah bersama keluarganya demi mempertahankan aqidah dan keimanan mereka.

Walaupun di dunia ini menerima seksa dan sengsara tetapi di akhirat nanti, Allah telah menjamin syurga untuknya. Masyitah rela direbus hidup-hidup di dalam air menggelegak panas sehingga menyebabkan hancur dan masak kulit, isi dan seluruh badannya demi mempertahankan keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan, sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan keyakinan itu.

Begitulah hebatnya keyakinan Masyitah dan keluarganya kepada Allah. Keimanannya sungguh mendalam sehingga dia tidak takut dengan ancaman Firaun. Sememangnya Allah telah menjanjikan nikmat syurga yang kekal abadi untuk Masyitah dan keluarganya. Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati.

Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga.

Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "Itulah Makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia.

SUMBER : http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2091.0 
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Kasihnya Masyitah Pada Anak Atau Tuhan?)

Friday, April 20, 2012

Kafir - Artikel 16/2012 - Tarikh : 20 April 2012 / 28 Jamadilawal 1433 H

KAFIR HARBI


  1. Kata harbi berasal dari perkataan al-harb yang membawa konotasi peperangan dan permusuhan. Kafir harbi pula adalah orang kafir yang memusuhi orang Islam dalam segenap aspek
  2. Mereka tidak setuju dengan peraturan, dengan kehidupan Islam dan mereka menentang Islam secara total atau terang-terangan. Sebagai contoh, orang musyrikin Makkah pada zaman Nabi SAW boleh kita kelaskan sebagai kafir harbi. Mereka adalah golongan yang memerangi Islam
  3. Terlibat dalam pertempuran berdarah dengan orang Islam, memusuhi dan memerangi umat Islam, termasuk permusuhan dari aspek ideologi, pandangan, perundangan, perang saraf dan lain-lain
  4. Hubungan antara kafir harbi dengan kaum Muslimin merupakan hubungan peperangan di dalam wilayah konflik
  5. Darah mereka halal untuk ditumpahkan
KAFIR ZIMMI


  1. Kata zimmi berasal dari perkataan zimmah, yang bermakna ‘aman’, ‘janji’, ataupun ‘dalam tanggungan’
  2. Orang kafir yang mendapatkan keamanan daripada pihak Muslim, juga telah mendapatkan janji daripada umat Islam atas keamanan dirinya
  3. Orang bukan Islam yang bermastautin (bermukim) dalam negara Islam sama ada Yahudi, Nasrani mahupun lainnya, baik penduduk asal atau pendatang
  4. Mengaku taat setia kepada pemerintah dan negara
  5. Mendapat hak-hak asasi seperti juga diperoleh oleh umat Islam
  6. Mereka mungkin berasal dari kafir harbi namun bertukar statusnya apabila meminta perlindungan atas keselamatan mereka dalam komuniti atau negara Islam
KAFIR MU’AHAD


  1. Orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam kerana ada urusan diplomatik, ekonomi, perdagangan, persahabatan dan lain-lain. Walau bangsa apa pun mereka, negara, agama dan warna kulit, mereka tetap dilindungi. Mereka mendapat hak-hak dan dilindungi daripada penghinaan. Sama halnya dengan kafir zimmi.

SUMBER : MAJALAH Q & A Bil. 3/2012 ISU #03, Halaman 112
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Kafir)

Friday, April 13, 2012

Tujuan Hidup - Artikel 15/2012 - Tarikh : 13 April 2012 / 21 Jamadilawal 1433 H

Allah SWT menjadikan manusia dengan tujuan. Tetapi, masih ramai di antara manusia ini hidup di bumi Allah SWT tanpa mengenali tujuan mereka. Tidak kurang juga ada yang tersalah sangka suatu perkara itu tujuan hidupnya mereka.

"Kenapa saya lahir ke dunia dan untuk apa saya hidup?". Persoalan ini ada dalam diri semua insan di muka bumi ini. Ada yang mencari, ada juga yang terawang-awang langsung tidak mencari jawapannya. Tetapi ramai di antara mereka ini merasakan di dalam hati kecil mereka, mereka hidup dengan tujuan yang tersirat.

Ada antara manusia yang memilih Jesus sebagai tujuan mereka hidup, maka mereka memilih agama Kristian. Ada yang beranggapan Siddharta Gautama Buddha itu tuhan, maka mereka memilih agama Buddha. Tetapi kita umat Islam, meyakini bahawa Allah SWT lah tujuan hidup ini, maka kita menganuti agama Islam.
Islam itu lebih besar dari sekadar agama. Agama itu pula bukan sekadar percaya. Islam itu cara hidup yang memandu umat manusia ini untuk bersaksi dengan Syahadatul Haq (Kalimah Yang Benar) bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah SWT, dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruhnya. Islam itu cara hidup yang memandu manusia kembali kepada fitrahnya untuk bertuhan. Islam itu cara hidup yang mengajar manusia untuk taat kepada Tuhannya.

Ada manusia yang mengambil jalan yang jauh dengan berimankan Tuhan selain Allah SWT, tetapi akhirnya mereka mengenali Islam dan memeluk agama Islam. Maka apa yang mereka imani, sangat kuat berbanding manusia-manusia yang lahirnya Islam, yang gah mengatakan mereka Muslim. Sebab mereka bersusah payah mencari tujuan hidup mereka dan akhirnya mereka tenang mengimani Allah SWT itu Tuhan mereka. Kita mungkin tidak merasa ketenangan seperti itu.

Sebab itu kita tidak pelik mengapa di negara kita ini, mereka yang menganuti agama Islam bukan daripada lahirnya, sangat kehadapan dalam menyebarkan dua kalimah yang mulia ini. Kerana apa?. Kerana mereka tahu inilah sebenar-benar keimanan, tiada keimanan kepada Tuhan selain Allah SWT. Kita yang sudah lama beragama Islam ini, lenggang kangkung sahaja. Beranggapan nanti di Akhirat kelak, mereka juga akan memasuki Syurga, walaupun selepas mereka merasai celupan Neraka beribu-ribu tahun lamanya.

Tanggungjawab ini, kebanyakan daripada kita mengabaikannya. Mengucap sahaja pandai, tidak pernah diteliti maksud dan syarahan di sebaliknya. Syahadatul Haq (baca: Pengakuan Yang Benar) ini bukan hanya mengimani kewujudan Allah, para MalaikatNya, KitabNya, RasulNya, dan Hari Akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini tidak cukup setakat mengerjakan Solat, menunaikan Zakat,Puasa dan Haji. Ia tanggungjawab yang lebih besar daripada itu semua.

Tanggungjawab ini hanya terlaksana sekiranya orang-orang beriman menyampaikan Kalimah Haq ini ke seluruh pelosok muka bumi dalam pelbagai bentuk antaranya amal soleh, akhlak yang terpuji, dan pemerintahan yang adil. Maka, kamu wahai orang beriman sekalian, bermulalah kamu menyampaikannya, dengan memahami terlebih dahulu, apa sebenarnya tanggungjawab yang tersirat di sebalik Kalimah Syahadah ini.

SUMBER : http://azmihisam.blogspot.com/2012/02/tujuan-hidup-1.html
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Tujuan Hidup)

Friday, April 6, 2012

Penyakit Umat Terdahulu - Artikel 14/2012 - Tarikh : 6 April 2012 / 30 Jamadilawal 1433 H

Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, : “Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat-umat yang terdahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit umat-umat terdahulu itu wahai Rasulullah?”. Nabi SAW menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah :

  1. Gemarkan hiburan ; Terlalu banyak seronok,
  2. Berlebih-lebihan ; Terlalu Bermewah-mewahan,
  3. Menghimpun harta sebanyak mungkin,
  4. Berlumpba-lumba dalam perkara dunia ; Tipu menipu dalam merebut harta dunia,
  5. Saling Bermusuhan ; Saling memarahi antara satu sama lain,
  6. Saling dengki mendengki sesama sendiri ; Hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi”.
Hadis Riwayat Hakim

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW itu telah banyak kita lihat menimpa kaum Muslimin hari ini. Di sana sini kita lihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan mengumpul harta benda dengan sebanyak-banyaknya bagi memuaskan hawa nafsu. Apabila hawa nafsu diperturutkan maka tentunya mereka terpaksa menggunakan apa sahaja cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak. Yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasut menghasut dan sebagainya.

SUMBER : Majlis Ilmu - Kuliah Muslimat 29 Januari 2012,
               Oleh - Ustaz Mokhtar Senik,
              Lokasi - Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Penyakit Umat Terdahulu)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…