"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Friday, March 30, 2012

Apakah Hukum Menonton Wayang? - Artikel 13/2012 - Tarikh : 2 0Mac 2012 / 7 Jamadilawal 1433 H


Soalan: Saya nak tahu, apakah hukum menonton wayang? Ada orang kata ia HARAM kerana ia merupakan tempat yang bercampur dengan maksiat? Contohnya pergi menonton wayang bersama isteri filem Nur Kasih?


Jawapan: Syeikh Dr.Yusuf Al-Qaradhawi, pernah ditanyakan mengenai hukum menonton filem di pangung wayang, jawab beliau :-

“Tidak syak lagi bahawa panggung wayang merupakan satu alat dari alat-alat pengarahan (directing) dan hiburan (entertainment), maka hal-ehwal (aktiviti) setiap alat ini dilihat samada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Maka ia diterima, dan tidak adalah masalah keatasnya. Maka hukum aktivitinya adalah menurut apa yang ia ambil dan lakukannya. Dengan itu kami berpendapat bahawa panggung wayang : adalah halal dan baik, akan tetapi ia memerlukan dan meminta agar syarat yang dinyatakan wujud”

Syarat-syaratnya :-

1. Tajuk dan isinya tidak boleh bertentangan dengan Aqidah Islam, Akhlak dan Syariah. Ia tidak boleh mengandungi unsur seks, mengajak kepada jenayah, ajaran sesat dan sebagainya.

2. Menonton wayang tidak menghalang seseorang itu dari melakukan perkara wajib, seperti solat 5 waktu. Tidak boleh seseorang itu meninggalkan solat wajib, contohnya Maghrib semata-mata untuk menonton wayang. Al-Quran memberi amaran keras kepada sesiapa yang berpaling dari mengingati Allah.

3. Elak dari bergaul di antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (orang luar), elak dari fitnah dan juga bersyubhat, lebih-lebih lagi menonton di dalam keadaan gelap.

Jika syarat ini dapat dipatuhi, maka menonton wayang tidaklah dilarang.

Tambahan :-

Dr.Ahmad Syarabasi mengatakan bahawa ia boleh dijadikan untuk memanfaatkan umat keseluruhannya, seperti menegakkan agama dan menunjukkan akhlak yang baik. Ada juga yang menyalah gunakannya yang boleh menggalakkan jenayah, seks, tekanan psikologi, etika dan korupsi sosial didalam masyarakat.

Maka kita sendiri yg menentukannya~

WaAllahu A'lam Bis Sowab..


SUMBER : http://fromridertorider.blogspot.com/2011/06/apakah-hukum-menonton-wayang.html

Friday, March 23, 2012

“LAYAKKAH AKU??” BUANGKAN SAHAJA - Artikel 12/2012 - Tarikh : 23 Mac 2012 / 30 Rabiulakhir 1433 H


Mungkin ada sebahagian orang yang tidak tergerak hatinya untuk menasihati manusia, kerana ia merasa banyak melakukan dosa dan tidak layak untuk mengucapkan ucapan kebaikan kepada sesama manusia?

Pandangan seperti itu adalah keliru dan bahayanya sangat besar, serta akan membuat syaitan gembira. Betapa tidak, kerana jika mesti menunggu sampai seseorang bersih dari dosa baru ia layak menasihati manusia, maka tidak ada seorang pun di muka bumi yang layak memberi nasihat setelah Rasulullah SAW tercinta.

Sebagaimana dikatakan seorang penyair :-

“Apabila seorang pendosa itu tidak menasihati manusia, Maka siapakah yang akan menasihati orang-orang yang berdosa setelah Nabi Muhammad kita”.

Sa’id bin Jubair berkata: “Apabila seseorang tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang mungkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorang pun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang mungkar”.

Imam Malik setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata: “Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikit pun dosa dalam dirinya?”.

Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah: “Berilah nasihat kepada sahabat-sahabatmu”. Mutharrif menjawab: “Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan”.

Al-Hasan berkata lagi: “Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorang pun di antara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaitan akan gembira apabila kita berfikir seperti itu sehingga tidak ada seorang pun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari kemungkaran”.

Berkata Ibnu Hazm: “Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan kebajikan, maka tidak ada seorang pun yang mencegah dari yang mungkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad SAW.”

(Semua nukilan diatas terkandung dalam kitab al-Jami’ li Ahkamil Quran: 1/367, al-Qurtubi).

Imam Nawawi berkata :-

“Para ulama menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang memerintah kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemungkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tapi, ia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun ia memiliki kekurangan dalam hal yang ia ajak kepadanya, dan ia tetap mencegah kemungkaran walau ia terkadang mengerjakan apa yang ia cegah. Kerana sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara iaitu : mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran; dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka dari yang mungkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut”. (Syarah Sahih Muslim: 2/23, An-Nawawi).

"Kalau tiada orang yang mahu mendengar kalam bicara dakwahmu, teruskan juga menyampaikan kerana seluruh alam memahaminya. Malah seluruh alam gembira mendengar dan menyahut kalam-kalam yang mengagungkan Tuhan." (Badiuzzaman Said Nursi)


Semoga kita termasuk orang-orang yang selalu saling menasihati dalam kebaikan.

 

Friday, March 16, 2012

4 Syarat Menghidupkan Hati Dengan Al-Qur'an - Artikel 11/2012 - Tarikh : 16 Mac 2012 / 23 Rabiulakhir 1433 H

HATI yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri. Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan. Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.SUMBER : http://halaqah.net/v10/index.php?topic=14520.0

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.

Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.

Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar).” (Surah al-Isra’, ayat 9).

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud: “Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?” (Surah Taha, ayat 1-4).

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:

Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat.” (Surah al-Isra’, ayat 78).

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?” (Surah Muhammad, ayat 24).

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.

Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-duanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan (’ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.

Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.


Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).


Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

“Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.


“Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan.” (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207).































 (Klik Untuk Muat Turun Artikel - 4 Syarat Menghidupkan Hati Dengan Al-Qur'an)

Friday, March 9, 2012

Kisah Ali Lewat Mendirikan Solat Subuh Berjamaah - Artikel 10/2012 - Tarikh : 9 Mac 2012 / 16 Rabiulakhir 1433 H

Pada dini hari itu, Ali bin Abi Talib bergegas bangun mengerjakan solat Subuh berjemaah dengan Rasulullah S.A.W. Langit masih gelap, suasana masih dingin, dan jalan masih diselubungi kabus pagi yang turun bersama embun. Ali melangkahkan kakinya menuju masjid. Dari jauh, sayup kedengaran suara Bilal memanggil-manggil dengan azannya yang berkumandang merdu ke segenap penjuru Kota Madinah.


Namun, sebelum Ali melangkah menuju ke masjid, di hadapannya terdapat lelaki tua beragama Yahudi yang berjalan sungguh perlahan. Mungkin kerana usianya terlalu tua, dia berhati-hati ketika menyusun langkah.


Sebenarnya Ali tergesa-gesa. Dia tidak mahu tertinggal melakukan solat tahiyatul masjid dan qabliyah Subuh sebelum mendirikan solat Subuh berjemaah bersama Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang lain.


Ali faham yang Rasulullah S.A.W mengajar supaya semua umat Islam menghormati orang tua, tidak kira siapa dan apa pun agama mereka. Maka, Ali terpaksa berjalan di belakang lelaki tua itu. Tetapi apakan daya,lelaki tua itu berjalan sungguh perlahan, dan kerana itu Ali juga terpaksa melangkah dengan perlahan. Lelaki tua itu lemah dan Ali tidak sampai hati mahu mendahuluinya. Dia bimbang sekiranya lelaki tua Yahudi itu jatuh ataupun mengalami kemalangan.


Selepas lama berjalan, langit mula cerah apabila mereka menghampiri masjid. Lelaki tua itu meneruskan perjalanannya, melewati masjid. Semasa memasuki masjid, Ali menyangka yang solat Subuh berjemaah sudah selesai. Tetapi Ali terkejut, sekali gus gembira, apabila melihat Rasulullah S.A.W dan para sahabat sedang rukuk pada rakaat kedua. Ini bermakna Ali masih berkesempatan mendirikan solat Subuh berjemaah. Sekiranya dia dapat mengerjakan rukuk bersama, itu bermakna dia masih mendapat satu rakaat solat berjemaah.


Selepas Rasulullah S.A.W menyudahkan solatnya dengan salam, Umar bin Al-Khattab memberanikan diri bertanya, “Rasulullah S.A.W, kenapa hari ini solat Subuhmu tidak seperti biasa?”


Rasulullah S.A.W bertanya, “Kenapa? Apa yang berbeza?”


“Saya rasa berbeza. Selalunya kamu tidak dalam rakaat kedua sepanjang pagi ini.”


“Saya juga tidak tahu. Pada rukuk dalam rakaat kedua, Malaikat Jibrail tiba-tiba turun lalu menekan belakang saya sehingga saya tidak dapat bangun. Itu berlangsung lama, seperti yang kamu ketahui.”


“Mengapa Jibrail buat begitu?”


“Saya juga belum tahu. Jibrail belum menceritakannya kepada saya.”


Dengan perkenan Allah, beberapa waktu kemudian Malaikat Jibrail turun dan berkata, “Muhammad, aku diperintahkan Allah supaya Ali sempat mendirikan solat berjemaah dengan kamu. Allah menyenangi tindakannya kerana dia menjalani ajaran agamanya. Ali menghormati seorang lelaki tua Yahudi dan disebabkan oleh rasa hormatnya itu, dia terpaksa berjalan perlahan kerana lelaki tua itu juga berjalan perlahan. Sekiranya di belakang kamu tidak aku tekan, pasti Ali tidak sempat mengerjakan solat Subuh berjemaah dengan kamu.”


Mendengar penjelasan Jibrail itu, Rasulullah S.A.W terus mengerti. Baginda menyenangi tindakan Ali kerana apa yang dilakukannya itu menunjukkan betapa tingginya penghormatan umat Islam pada orang lain. Satu perkara lagi, Ali tidak sengaja melambatkan ataupun meninggalkan amalan solat berjemaahnya.


Subhanallah..Banyak sekali cara Allah memuliakan seseorang. Yakinlah, kita selalu berada dalam bimbingannya, apabila kita memelihara niat mahu istiqamah pada jalannya. Tahniah kerana berjaya memelihara amalan mulia ini, solat Subuh berjemaah di masjid.


Seorang pemimpin Yahudi pernah mengatakan yang mereka tidak takut dengan orang Islam melainkan dengan satu perkara, iaitu apabila jumlah jemaah solat Subuh sama dengan jumlah jemaah solat Jumaat.
 

SUMBER : http://alaqatulmahabbah.blogspot.com/2010/12/sebuah-kisahali-lewat-mendirikan-solat.html (Klik Untuk Muat Turun Artikel - Kisah Ali Lewat Menunaukan Solat Subuh Berjamaah)

Friday, March 2, 2012

7 Amalan Rasulullah SAW - Artikel 09 /2012 - Tarikh : 2 Mac 2012 / 9 Rabiulakhir 1433 H

7 amalan ini diajarkan oleh Rasulullah dan digalakkan untuk diikuti secara istiqamah setiap hari bagi mendapatkan ketenangan di dalam hidup dan salah satu cara menyampaikan rasa kecintaan kita kepada Allah SWT:

1.SOLAT SUNAT TAHAJJUD
Mata mereka yang bertahajud tidak akan disentuh oleh api neraka

2.MEMBACA AL-QUR’AN
Sebaik-baiknya membaca sebelum Subuh, tetapi jika tiada kesempatan boleh dilakukan selepas Subuh

3.SOLAT SUBUH BERJAMAAH
Permulaan bagi hari didahulukan dengan perbuatan yang baik untuk memakmurkan masjid Allah. Afdal kepada kaum Muslimin, bagi Muslimat digalakkan selagi tiada timbul fitnah.

4.SOLAT SUNAT DHUHA
Kunci kepada pintu rezeki

5.SENTIASA DALAM WUDHUK
Sentiasa berada dalam keadaan berwuduk sama ada di luar atau dalam solat kerana dengan berwuduk Allah akan pandang kita dalam ibadah juga walaupun di luar solat.

6.BERSEDEKAH
Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwuduk ia akan sentiasa merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, “ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.

Janji Allah, orang yang bersedekah tidak akan miskin malah Allah akan gantikan dengan yang lebih baik apabila kita bersedekah. Dengan bersedekah setiap satu kesusahan yang kita hadapi akan diringankan/digugurkan insyaAllah.
 
7.SENTIASA BERISTIGHFAR
Dengan istighfar masalah yang terjadi disebabkan dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Nabi beristighfar tidak kurang dari 100 kali sehari.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada setiap seorang yang membacanya, insyaAllah...

SUMBER : Majlis Ilmu – Kuliah Maghrib,

            Tarikh : 18 Januari 2012,

            Oleh Ustaz Ashraf Suareh,

           Lokasi : Surau An-Nur Seksyen 1 Bandar Baru Bangi
 (Klik Untuk Muat Turun Artikel - 7 Amalan Rasulullah SAW)

Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…