"Di Dalam Hati Manusia Ada Kesedihan... Dan Kesedihan Itu Tidak Akan Hilang Kecuali Seronok Mengenal Allah..."
“Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihmu di akhirat kelak…”

Thursday, December 30, 2010

Secebis Ingatan Buat Adam - Artikel 52/2010 - Tarikh : 31 Disember 2010 / 25 Muharram 1432H

Adam…Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hati mu.
Sesungguhnya aku adalah Hawa, teman mu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Wahai Adam
Aku asalnya dari tulang rusuk mu yang bengkok.
Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidup ku sentiasa inginkan bimbingan dari mu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam… Maha suci Allah yang mentakdirkan kaum ku lebih ramai bilangannya dari kaum mu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan Nya. Jika bilangan kaum mu mengatasi kaum ku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam…Bukan kerana ramainya isteri mu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilangan mu yang merunsingkan aku. Tapi… aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkah mu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk apabila menjadi isteri mu. Namun… terasa berat pula untuk ku menyatakan isi perkara.

Adam…Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa di dalam reda Tuhan ku dan Tuhan mu. Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaum ku kini, aku dibiarkan terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan atas kelemahan ku. Di mana perginya keadilan mu. Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Aku akur asalkan aku keluar dari rumah, seluruh tubuh ku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut… Tapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini?
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih suci mu terhadap ku?
Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad s.a.w terhadap mereka?
Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam
Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmum mu. Aku adalah pengikut-pengikut mu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akal mu Sembilan, nafsu mu satu. Aku… akal ku satu, nafsu ku Sembilan.

Dari itu Adam…pimpinlah, bimbinglah, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhan mu agar menerangi hidup ku. Tiuplah ruh jihad ke dalam diri ku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan kerenah mu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaum ku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada diri mu sendiri dan pada Tuhan mu yang Agung.

Maafkan aku sekali lagi Adam
Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah mu. Jauh sekali niat ku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.

Waspadalah Adam
Andai aurat ku terdedah… andai suara ku mengatasi mu… andai langkah seiring mu… andai maruah ku dirobek maka engkaulah yang bakal membawa ku kepada kebenaran.Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi…

Tetapi percayalah!!!...bukan emas yang ku cari…bukan berlian yang ku pinta… tetapi… hanyalah hati yang tulus ikhlas dari mu

Adam
Dengarlah…keluhan hati ku buat diri mu…


Ikhlas dari Hawa
Abad ini


Sumber : http://www.iluvislam.com/v1/
Editor: Nazarudin

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Secebis Ingatan Buat Adam)

Thursday, December 23, 2010

Tidur Dan Solat Tahajjud - Artikel 51/2010 - Tarikh : 23 Disember 2010 / 17 Muharram 1432H

SOLAT tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sebagai shalatulail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangka suhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Tunaikan solat Isyak sebelum tidur.

3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.

4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.


Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China - Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.


Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah (SWT) dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah (SWT).” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )


Sumber : http://halaqah.net/v10/index.php?page=165

Friday, December 17, 2010

Rukun Iman - Artikel 50/2010 - Tarikh : 17 Disember 2010 / 11 Muharram 1432H

IMAN berasal dari bahasa Arab yang bererti percaya, percaya merupakan modal utama sebagai keyakinan mengenai apa yang dipercayainya itu. Seseorang yang percaya hendaklah mempunyai pengetahuan dan keyakinan yang mantap. Tujuan dari iman menurut agama Islam adalah taat dan patuh kepada Allah, melaksanakan perintah-perintah NYA dan menjauhi segala larangan-larangan NYA. Rukun Iman adalah perkara-perkara yang wajib dan mesti diyakini oleh orang yang beriman. Rukun Iman ada enam (6) perkara :

1. Beriman kepada ALLAH
2. Beriman kepada Malaikat
3. Beriman kepada Kitab
4. Beriman kepada Rasul
5. Beriman kepada Hari Kiamat
6. Beriman kepada Qada’ dan Qadar

i. Beriman kepada ALLAH
Dalam kalimat LAA ILAAHA ILLALLAH bererti tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Mempunyai erti bahawa : Tuhan Maha Besar, Maha Kuasa dan patut disembah dan ditaati dengan sepenuh hati. Kita percaya bahawa Allah itu ada, hidup dengan tidak berpermulaan dan tidak berkesudahan, Allah Maha Esa ertinya Tunggal tidak ada yang menyerupai, Allah tidak berkehendakkan kepada sesuatu pun, seluruh alam semesta ini dijadikan dan diatur oleh Allah tidak ada sesuatu pun yang luput dari pengawasan NYA. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala yang nyata, mahupun, yang tersembunyi, bahkan baru berniat pun sudah diketahui NYA. Allah yang Maha Sempurna dengan segala sifat yang baik sedang sifat yang baik adalah sifat yang wajib bagi Allah ada sebanyak 20 sifat.

ii. Beriman kepada Malaikat
Allah menciptakan Malaikat dari Nur (cahaya), Malaikat termasuk makhluk itu bukan benda dan bukan suatu jenis. Malaikat adalah tidak pernah melanggarNYA, mereka adalah makhluk yang paling taat. Ada sepuluh (10) malaikat yang wajib kita ketahui yang mempunyai tugasnya tersendiri iaitu :
  1. Jibril - Menyampaikan wahyu kepada Rasul dan Nabi Allah
  2. Mikail - Pembawa rezeki, mengatur dan menjaga peredaran alam
  3. Izrail - Mencabut nyawa segala makhluk di dunia apabila tiba masanya
  4. Israfil - Meniup sangkakala (hari kebangkitan)
  5. Raqib - Mencatat amal manusia yang baik
  6. Atid - Mencatat amal manusia yang jahat/buruk
  7. Munkar - Memeriksa atau menanyakan keimanan manusia semasa di dunia setelah ia berada di kubur
  8. Nankir - Memeriksa atau menanyakan keimanan manusia semasa di dunia setelah ia berada di kubur
  9. Ridhwan - Menjaga syurga
  10. Malik - Menjaga neraka
iii. Beriman kepada Kitab
Perintah yang dikirimkan Allah kepada para Nabi dan Rasul itu disebut wahyu. Setelah wahyu diterima kemudian dikumpulkan, kumpulan wahyu-wahyu itulah yang kemudian disebut AL-KITAB atau kitab suci. Jumlah kitab Allah ada empat (4) iaitu :

1. Kitab TAURAT diturunkan kepada NABI MUSA A.S.
2. Kitab ZABUR diturunkan kepada NABI DAUD A.S.
3. Kitab INJIL diturunkan kepada NABI ISA A.S.
4. Kitab AL-QURAN diturunkan kepada NABI MUHAMMAD SAW

iv. Beriman kepada Rasul
Rasul adalah utusan Allah untuk menyampaikan wahyu Allah kepada seluruh umat manusia sebagai ajaran yang dapat membawa kebahagiaan dalam kehidupan manusia semasa di dunia hingga akhirat kelak, serta terhindar dari seksaan Allah. Semua Nabi dan Rasul mempunyai tugas yang sama iaitu menyampaikan ajaran Allah, hanya berbeza cara penyampaiannya kerana keadaan dan tingkat kecerdasan umat pada saat Nabi dan Rasul itu diutus. Jumlah Nabi dan Rasul yang wajib dipercayai ada 25 yang telah disebut dalam Al-Qur’an iaitu :
  1. Adam A.S.
  2. Idris A.S.
  3. Nuh A.S.
  4. Hud A.S.
  5. Soleh A.S.
  6. Ibrahim A.S.
  7. Luth A.S.
  8. Ismail A.S.
  9. Ishak A.S.
  10. Ya’akub A.S.
  11. Yusuf A.S.
  12. Ayub A.S.
  13. Shuib A.S.
  14. Musa A.S.
  15. Harun A.S.
  16. Zulkifli A.S.
  17. Daud A.S.
  18. Sulaiman A.S.
  19. Ilyas A.S.
  20. Ilyasa’ A.S.
  21. Yunus A.S.
  22. Zakaria A.S.
  23. Yahya A.S.
  24. Isa A.S.
  25. Muhammad SAW
v. Beriman kepada Hari Kiamat
Hari kemudian adalah masa datangnya kehancuran alam semesta berserta isinya adalah kehendak Allah SWT. Semua yang bernyawa akan mati, segala yang ada akan hancur lebur dan tidak bangun kecuali Allah yang maha kuasa yang tetap ada, hari itu disebut hari kiamat.

Setelah segala-galanya hancur, kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat ISRAFIL untuk bangun terlebih dahulu dan melaksanakan perintah Allah meniup sangkakala, maka bangunlah nyawa yang telah mati untuk dihadapkan ke pengadilan Allah dan mempertanggungjawabkan segala amal perbuatannya selama di dunia. Itulah hari pembalasan siapa yang amalannya lebih banyak baik akan mendapatkan kebahagiaan di syurga. Sebaliknya bagi amalannya lebih banyak yang jahat akan mendapatkan seksaan dan ditempatkan di neraka.

vi. Beriman kepada Qada’ dan Qadar
Takdir adalah ketentuan dari Allah SWT baik atau buruk yang terjadi pada diri manusia pada hakikatnya tidak lepas dari ketentuan Allah SWT, semua manusia yang wajib berikhtiar dan berusaha untuk menentukan nasibnya. Sebab walaupun Allah yang menentukan, tapi janji Allah tidak akan ingkar yang berusaha demi kebaikan adalah jalan daripada takdir yang baik, sehingga kepercayaan terhadap Allah menimbulkan dorongan untuk menghadapi kesulitan, kerana kita percaya bahawa kesulitan itu asalnya juga dari Allah dan Allah pula akan menyingkirkannya apabila kita selalu takut kepada Allah dan sabar dalam menghadapinya seperti yang disebutkan dalam Al-Qur’an surah At-Taubah ayat 51 yang bermaksud : “Sekali-kali akan menimpa kami, melainkan yang telah ditetapkan Allah kepada kita, Dialah pelindung bagi kami dan hanya kepada Allahlah orang-orang yang beriman harus bertawakkal

Sumber :
Dipetik dari Buku Panduan Solat Lengkap Lelaki & Perempuan,
Oleh : Abdul Rahman Ahmad,
Penerbit : Jasmin Enterprise,
Halaman 1-8

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Rukun Iman)

Sunday, December 12, 2010

Dosa Berhutang Tidak Diampun Allah - Artikel 49/2010 - Tarikh : 10 Disember 2010 / 4 Muharram 1432H

ISLAM membenar, malah mengharuskan seseorang itu berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang membabitkan masalah kewangan. Pada masa sama, Islam memberi galakan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara hutang bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Firman Allah bermaksud (Surah al-Hadid, ayat 18) : “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah (semata-mata untuk mendapatkan pahala) dengan pinjaman yang baik (ikhlas) akan digandakan balasannya dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia." Firman Allah bermaksud (Surah al-Maidah, ayat 2): "Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah bertolongtolong pada perkara dosa dan permusuhan." Namun, Islam begitu teliti dan memandang berat dalam soal memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia membabitkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia ini hingga ke akhirat kelak.

Mengapakah anda berhutang?
Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah:
  1. Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang.
  2. Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang. Lantaran itu dia berbuat demikian, walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanya untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.
  3. Sikap tidak berasa puas dan cukup dengan apa yang dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
  4. Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang.
  5. Berkehendakkan sesuatu benda yang membabitkan kebendaan dengan cepat dan segera walaupun hakikatnya dia tidak mampu berbuat demikian.

Dalam hal ini jika perkara yang hendak dimiliki itu adalah keperluan asasi seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran, maka Islam membenarkan berhutang sebagaimana dalam sebuah hadis bermaksud: "Daripada Abu Hurairah berkata seseorang : Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda bersabda Memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya." Jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan perkara asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah dia berhutang. Ini kerana hanya akan menambahkan bebanan, lebih-lebih lagi jika membabitkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba.

Kesan amalan berhutang :

  1. Penyakit berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemiutang seperti muflis. Ini disebabkan bebanan hutang yang tinggi serta gagal melunaskan hutangnya.
  2. Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam resah gelisah kerana dihantui bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
  3. Seseorang yang terbeban dengan hutang akan memungkinkan dia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.
  4. Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya selepas meninggal dunia hingga segala hutang piutangnya dilunaskan ketika hidup.

Sabda Rasulullah: "Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) hingga dia menjelaskan hutangnya." Rasulullah pernah berwasiat kepada sahabat Baginda agar mengurangkan hutang seperti sabdanya : "Kurangkanlah diri mu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagi mu ketika hendak mati. Kurangkanlah daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas." Amalan berhutang bukan saja membabitkan kehidupan dunia semata- mata, bahkan berpanjangan hingga ke hari akhirat. Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi." Sabda Rasulullah bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai' dan Ibn. Majah). Rasulullah sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bahawa apabila didatangkan kepada Rasulullah satu jenazah, Baginda tidak akan bertanya mengenai amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, Rasulullah menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah itu atau Baginda meminta sesiapa yang sanggup menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang itu akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.

Petikan buku Budaya Berhutang: Amalan Dan Akibatnya. Terbitan Jabatan Agama Islam Selangor.

Sumber : http://www.musolla.com/

Friday, December 3, 2010

Al-Qur’an Sebagai Pembela Di Akhirat - Artikel 48/2010 - Tarikh : 3 Disember 2010 / 27 Zulhijjah 1431 H

Abu Umamah r.a. berkata :
"Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."

Telah bersabda Rasulullah S.A.W :
Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepada ku?"

Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untuk ku dan kamu juga pernah membaca ku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?"

Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca menghadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya pula yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperoleh ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Sumber : http://luvislam92.blogspot.com/

Friday, November 26, 2010

Berjalanlah Menuju Tuhan, Tuhan Datang Dengan Berlari - Artikel 47/2010 - Tarikh : 26 November 2010 / 20 Zulhijjah 1431 H

Ada orang yang banyak berbuat maksiat kepada Allah menganggap dia tidak layak kembali kepada Tuhan. Malah, membuat andaian bukan-bukan, Tuhan tidak menerimanya dan mengampunkan dosa-dosanya. Dia terus dengan andaiannya sendiri, malah tidak mahu mencuba untuk kembali dan mendatangi Tuhan.

Lebih malang, ada yang terus mengatakan Tuhan tidak lagi menerimanya dan sudah melabelkannya sebagai ahli neraka. Lalu, dia terus memastikan diirinya menjadi ahli neraka!
Oleh sebab itu, dalam Islam, sifat-sifat Tuhan perlu dikenali dan dipelajari. Dia bukan sekadar mengaku sebagai Muslim, malah perlu tahu siapakah Tuhannya sebagaimana yang termaktub dalam pelajaran Tauhid sebagai salah satu cabang ilmu Fardu Ain. Ilmu Fardu Ain bukan sekadar ilmu belajar mengenai solat, malah perlu tahu berkenaan Rukun Iman dan soal-soal ketuhanan.

Sebagaimana yang ditunjukkan sebelum ini, Allah Maha Perkasa menurunkan bencana; ribut, tsunami, dan sebagainya. Allah juga Maha Pembalas dan Maha Menghendaki. Pada masa yang sama, Allah Maha Pengampun, Maha Baik dan Maha Penyayang. Kalau tidak, masakan kita masih dapat bernafas di buminya.

Kajilah cerita-cerita kaum yang dimusnahkan oleh Allah. Allah memberi banyak peluang untuk kembali kepadanya sebelum diturunkan bencana. Firaun diberi banyak peluang, berkali-kali. Begitu juga dengan kaum Nabi Luut, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan lain-lain.

Sehubungan dengan itu, Allah lebih mudah untuk didekati. Perhatikan lirik lagu nyanyian kumpulan Raihan yang bertajuk Damba CintaMu.

Oh Tuhanku
Kau pimpinlah diri ini yang mendamba cintaMu
Aku lemah, aku jahil, tanpa pimpinan dariMu
Kau Pengasih, Kau Penyayang
Kau Pengampun kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau kepadaku ...

Pada suaru hari, di dalam penjara, Qan iaitu watak protagonis di dalam novel Weil China ditegur oleh lelaki tua, “Ya, elok benar, tetapi sekiranya engkau tukar daripada menyebut Allah ratusan ribu kali dengan solat lima waktu dan hanya menyebut Allah 100 kali sahaja, pakcik rasa engkau akan lebih beruntung. Seseorang yang dapat menyebut Allah beribu-ribu lai dalam sehari, mengapa tidak mampu bersujud kepada Allah dengan hanya lima hari sekali, Qan? Mengapa boleh jadi begini? Sesorang yang mendakwa cintakan Allah menjadi hambaNya tanpa bersolat menyembahNya.

Qan dilahirkan dalam keluarga Islam. Namun, selepas melanjutkan pengajian di bandar, dia menjadi komunis dan atheis (novel ini berdasarkan kisah benar pada tahun 1940an di Turkistan Timur). Dia dipenjarakan kerana cuba membela keluarganya yang terus dengan akidah Islam dan menoolak akidah komunisme. Di dalam penjara, dia diseksa. Namun, dia tidak pernah mendirikan solat. Malah sudah lupa melakukannya selepas bertahun-tahun tidak mendirikan solat, disamping brainwash daripada pihak sekolah.

Namun, Qan optimis Allah menerimanya kembali. Dengan rasa rendah diri, dia memanjat doa, “Ya Allah, sekiranya aku agak terlewat bertaubat kepadaMu, sekarang aku datang kepadaMu. Terimalah dan jadikanlah appa yang sudah kutempuhi daripada 1001 macam penyeksaan ini sebagai balasan keterlanjuran dan jenayahku. Ya Allah, berlembutlah denganku.

Peluang dan harapan masih terbentang luas di hadapan ibarat mentari pagi yang sedang terbit di ufuk Timur. Susunlah langkah berjalan menuju Tuhan. Pasti Tuhan datang dengan berlari.

Psstt : Allah menurunkan siri bencana kecil kepada Firaun sebagai peringatan dan peluang untuk mengikut seruan Musa dan Harun. (Surah Al-A’raf; Ayat : 133-136). Allah menurunkan bencana banjir, mendatangkan belalang, ulat dan katak di samping darah (setiap kali Firaun mahu minum, air minuman bertukar menjadi darah). Setiap kali datang bencana, Firaun minta Musa memohon doa menolak bala. Walau bagaimanapun, Firaun tidak memegang janji, mudah lupa dan terus bongkak... Renung-renungkan ya...


Sumber :
Dipetik dari Buku Online dengan Tuhan; Berhubung dengan Tuhan melalui Talian Tanpa Wayar,
Oleh : Zulkifli Khair,
Penerbit : PTS Islamika,
Halaman 84-87

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Berjalanlah Menuju Tuhan, Tuhan Datang Dengan Berlari)

Friday, November 19, 2010

Allah Tolak Alasan Empat (4) Golongan - Artikel 46/2010 - Tarikh : 19 November 2010 / 12 Zulhijjah 1431 H

Berkata Al-Faqih Abu Laits : “Kelak pada hari kiamat, ada empat golongan manusia yang datang, lalu masing-masing mengemukakan alasan mengapa tidak beribadat kepada Allah SWT, tetapi alasan mereka tidak diterima.”

Pertama : Orang kaya. Dia mengemukakan alasan “Sesungguhnya aku adalah orang kaya. Aku sibuk menguruskan hak-hak harta ku sehingga aku tidak sempat mengabdikan diri kepada MU”
Maka Allah berfirman : “Sesungguhnya Sulaiman adalah raja di seluruh timur dan barat tetapi, dia tidak derhaka kepada Tuhannya. Jadi alasan mu tidak diterima.” Mereka pun dicampakkan ke neraka.

Kedua : Orang Melarat. Dia beralasankan dengan kemiskinannya tetapi Allah bandingkan dengan Nabi Isa AS pula.

Ketiga : Hamba sahaya. Dia beralasankan untuk melayan tuannya, tetapi Allah bandingkan dengan Nabi Yusuf AS.

Keempat : Orang sakit. Dia beralasankan dengan penyakitnya, tetapi Allah bandingkan dengan Nabi Ayub AS.

Ada pula dikatakan bahawa Allah SWT berhujah dengan empat golongan manusia ini pada hari kiamat.

Terhadap orang kaya, Allah berhujah dengan peribadi Nabi Sulaiman AS. Orang kaya berkata : “Tuhan ku, dulu aku adalah orang kaya. Kekayaan itu membuat aku sibuk sehingga tidak sempat mengabdikan diri kepada Mu.” Allah SWT berfirman : “Kamu belum sekaya Sulaiman tetapi kekayaan tidak menghalang nabi itu mengabdikan dirinya kepadaKu.”

Hamba sahaya pula berkata : “Tuhan ku, saya dahulu seorang hamba dan diperbudakkan sehingga menghalangi ku daripada mengabdikan diri kepada Mu.” Maka Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya Yusuf tidak sampai terhalang diperbudakkan terhadap dirinya sendiri dari pengabdiannya kepada Ku.”

Kemudian orang melarat berkata : “Tuhan Ku sesungguhnya keadaan aku menghalang ku mengabdikan diri kepada Mu.” Maka Allah SWT berfirman kepadanya : “Benarkah kamu lebih melarat daripada Isa? Kemelaratan Isa tidak menghalangnya daripada mengabdikan kepada Ku.”

Jadi pada hari kiamat kelak tiada seorang pun yang ada alasan di sisi Allah SWT mengapa mereka tidak dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW : “Manusia paling pintar ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling hebat persediaan untuk menghadapinya, mereka itulah yang paling pintar, mereka pergi ke alam baqa dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat”

Doa Memohon Keselamatan Dunia dan Akhirat
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Mu akan keampunan dan kesihatan pada agama, dunia dan akhirat.”

Firman Allah SWT yang Bermaksud dalam Surah Al-Nahl, Ayat 84-85 :

“Dan (ingatkanlah kepada mereka yang musyrik tentang) hari Kami bangkitkan dari tiap-tiap umat, seorang saksi (Rasul), kemudian tidak diizinkan bagi orang-orang kafir (memberi sebarang alasan), dan mereka pula tidak diminta memohon keredhaan Allah. (84) Dan apabila orang-orang yang melakukan kezaliman (dengan kekufurannya) itu melihat azab, maka pada mereka, dan mereka pula tidak diberi tempoh (85)”

Sumber :
Dipetik dari Buku Cerita Serta Doa Dari Hadith & Al-Qur’an,
Oleh : Wan Jamal Bin Haji Wan Mat Saman,
Penerbit : Wholesale-Mart Business Point Sdn Bhd,
Halaman 73 – 75

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Allah Tolak Alasan 4 Golongan)

Friday, November 12, 2010

Tiga (3) Cara Menunaikan Haji - Artikel 45/2010 - Tarikh : 12 November 2010 / 5 Zulhijjah 1431 H

Menunaikan Haji ialah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia merupakan rukun yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang mampu melakukannya sekali dalam seumur hidup. Manakala bagi yang tidak mampu melakukannya ia harus ditangguhkan sehingga mereka mencapai kemampuan. Firman Allah bermaksud : “Satu kewajipan manusia terhadap Allah ialah menunaikan Haji bagi orang yang mampu melakukan perjalanan ke Baitullah.”
(Surah Ali ‘Imran Ayat 97)

Sebuah hadis diriwayat oleh Bukhari dan Muslim bahawa Nabi Muhamad SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menunaikan haji dan dia tidak melakukan persetubuhan dan tidak fasiq maka dia kembali suci dari dosa-dosanya seperti ketika dilahirkan ibunya.”

Syarat Wajib Haji : (1) Islam, (2) Baligh, (3) Berakal, (4) Merdeka, (5) Mampu

Ada 3 cara menunaikan ibadat haji, iaitu seperti berikut :

  1. Haji Ifrad - Mengerjakan Haji dan Umrah secara berasingan, iaitu umrah tidak dikerjakan dalam bulan-bulan haji sewaktu seseorang itu menunaikan haji.
  2. Haji Tamattu' - Mengerjakan umrah terlebih dahulu dalam bulan-bulan haji, kemudian disempurnakan haji dalam tahun itu juga. Cara ini dikehendaki seseorang itu berniat ihram umrah dahulu, serta ditunaikan segala rukun dan wajibnya; dan menjelang hari wuquf di Arafah dia hendaklah berihram haji pula. Cara ini dikenakan dam (mengikut syarat-syaratnya).
  3. Haji Qiran - Mengerjakan ibadat haji dan umrah dalam bulan-bulan haji secara serentak, ataupun berniat mengerjakan umrah sahaja tetapi sebelum tawaf dia berniat mengerjakan
    haji berserta umrahnya. Cara ini juga diwajibkan membayar dam mengikut syarat - syaratnya.

Sumber :
Dipetik dari Buku Keistimewaan Makkah; Panduan Haji & Umrah
Oleh : Raja Mariam Binti Raja Mohd. Iskandar; Shamsudin Othman,
Penerbit : Wholesale-Mart Business Point Sdn Bhd,
Halaman 5 – 7

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Tiga Cara Menunaikan Haji)

Friday, November 5, 2010

Melaksanakan Perintah Allah - Artikel 44/2010 - Tarikh : 4 November 2010 / 27 Zulkaedah1431 H

Nabi SAW sedang dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah berjaya dalam peperangan Khaibar. Peperangan di antara kaum Muslimin dan kaum Yahudi iaitu kaum Muslimin beroleh kemenangan. Ketika sampai di suatu tempat, perjalanan itu dihentikan dan mereka mendirikan khemah untuk bermalam kerana Madinah masih jauh lagi.

Setelah larut malam dan Nabi ingin tidur, baginda pun berpesan.

“Siapa yang sanggup menunggu fajar menyinsing, barangkali kita akan tertidur nyenyak?”

“Saya, ya Rasulullah, saya sanggup menunggu,” jawab Bilal dengan penuh kesetiaan.

Mendengar jawapan Bilal itu, Nabi pun masuk tidur dan begitu juga ahli-ahli rombongan. Mereka tidur nyenyak sekali kerana penat berjalan di siang hari tadi. Maka Bilal pun berjaga-jaga menunggu pagi. Tetapi beliau tidak duduk diam menunggu fajar dan bagi mengelakkan tertidur beliau mengerjakan solat. Setelah berkali-kali solat, beliau pun duduk bersandar pada matanya. Tanpa disedari beliau akhirnya tertidur juga.

Fajar pagi sudah lama menyinsing, tetapi tidak seorang pun yang menyedarinya, dan tidak lama kemudian terbitlah matahari diufuk Timur menandakan hari telah siang. Sinar matahari itu membangunkan mereka.

Nabi SAW yang mula-mula bangun dan merasa terkejut kerana hari telah siang.

“Bagaimana ini, ya Bilal?”

Tanpa banyak bicara lagi, baginda pun menyeret untanya dan terus mengambil wuduk, dan dikuti oleh yang lain dalam rombongan itu. Mereka segera mengerjakan solat Subuh dan selesai solat Nabi pun berkata memberi ingatan kepada sekalian kaum Muslimin.

“Bila kamu terlupa mengerjakan solat, maka lakukanlah apabila kamu telah ingat kembali. Ini menurut Firman Allah : lakukanlah solat kerana mengingati Aku”

Nabi SAW dan angkatan perang kemudian meneruskan perjalanan pulang mereka ke Madinah.

Begitulah cara Nabi menghormati sahabat baginda dan menjunjungi perintah Allah. Walaupun Bilal berjanji dengan sepenuh hati, tetapi tanpa disedari atau tidak disengajakan beliau telah tertidur. Nabi tidak pun meletakkan kesalahan kepada Bilal kerana Bilal sendiri berjanji tidak akan tidur dan baginda mendengar jawapan Bilal dengan sopan dan penuh hormat. Jikalau Bilal tidak tertidur, mereka semua akan solat Subuh sebelum terbit matahari, tetapi kerana beliau tertidur, agama Islam membolehkan solat sewaktu berjaga kembali biarpun matahari sudah terbit. Sesungguhnya perintah Allah itu ada ketentuannya dan ia adalah rahmat bagi kita juga.

Sumber :
Dipetik dari Buku Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah SAW
Oleh : Nawawi Dusuki,
Penerbit : Wholesale-Mart Business Point Sdn Bhd,
Halaman 145 – 146

(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Melaksanakan Perintah Allah)

Friday, October 22, 2010

Nasihat Luqman - Artikel 42/2010 - Tarikh : 22 Oktober 2010 / 14 Zulkaedah 1431 H

1. Bersyukurlah kepada Allah kerana bersyukur itu adalah untuk diri mu sendiri dan jikatiada sesiapa yang bersyukur, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji

2. Janganlah kamu mempersekutukan Allah kerana mempersekutukan Allah itu adalahsesuatu kesalahan dan dosa besar

3. Berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa kerana kesusahan mereka menjaga kamu& penderitaan ibu mu mengandungkan mu dan menyusukan mu selama 2 tahun

4. Janganlah kamu mengikuti perintah kedua-dua ibu bapa jika perintah itu memaksakamu mempersekutukan Allah tetapi bergaul lah dengan mereka dengan cara baik

5. Buatlah kebaikan kerana kebaikan itu walaupun sebesar biji sawi atau tersembunyi didalam batu, di langit atau di bumi, akan diperhitungkan oleh Allah kerana Allah MahaMengetahui

6. Dirikanlah Sembahyang & suruhlah berbuat baik serta cegahlah berbuat buruk danteguhkan hati dalam apa jua yang menimpa kamu

7. Janganlah kamu bersikap sombong dan janganlah berjalan di muka bumi denganangkuh kerana Allah tidak menyukai sikap sombong dan angkuh8. Bersederhanalah dalam berjalan dan lembutkanlah suara mu kerana contoh suara yangburuk itu ialah seperti suara keldai


Friday, October 8, 2010

Wahai Suami Isteri - Artikel 40/2010 - Tarikh : 8 Oktober 2010 / 29 Syawal 1431 H

SUAMI

  1. Taati dan cintailah Allah & Rasulullah SAW
  2. Ketahuilah bahawa kamu mendirikan rumah tangga hanyalah untuk mendapatkan keredaan Allah bukan untuk melepaskan nafsu semata-mata
  3. Nasihatilah isteri mu dengan cara yang baik
  4. Layanilah isteri mu dengan cara yang baik kerana sebaik-baik di antara kamu adalah orang yang paling lembut terhadap isterinya
  5. Hiasilah diri mu untuk isteri mu sebagaimana kamu suka ia menghiasi dirinya untuk mu
  6. Jagalah perasaannya dan janganlah memuji wanita lain di hadapannya dan janganlah mengejinya di hadapan orang lain
  7. Bertimbang rasalah kamu dan jangan menurut sesuatu yang di luar kemampuan isteri mu
  8. Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya, seandainya kamu terpaksa elakkan dari pukulan yang menyakitkan
  9. Janganlah kamu terlalu menurut kemahuan isteri mu kerana ini akan merosakkan akhlaknya dan menjatuhkan kewibawaannya
  10. Bersabarlah atas sebarang kelemahan isteri mu kerana mungkin kamu membenci sesuatu yang Allah menjadikan kebaikan yang banyak kepadanya

ISTERI

  1. Taati dan cintailah Allah & Rasulullah SAW
  2. Utamakanlah hak suami mu lebih daripada hak-hak yang lain melainkan hak-hak Allah & Rasulullah
  3. Berpuas hatilah dengan apa jua rezeki yang telah diperolehi oleh suami mu dan saudara maranya
  4. Sentiasalah bersikap malu dan taat kepada suami mu serta berilah perhatian ketika ia bercakap di samping menghormatinya
  5. Hiasilah diri mu untuk suami mu
  6. Hendaklah kamu menjaga perasaan dan maruah suami mu
  7. Tumpukanlah perhatian kepada kewajipan dan urusan di dalam rumah tangga mu
  8. Muliakanlah ahli keluarga suami mu dan saudara maranya
  9. Janganlah merasa bangga terhadap suami mu tentang harta, kecantikan dan keturunan mu
  10. Janganlah keluar daripada rumah melainkan dengan izin suami mu

Friday, October 1, 2010

Pergaulan - Artikel 39/2010 - Tarikh : 1 Oktober 2010 / 22 Syawal 1431 H

Soalan 1 : Saya mempunyai teman istimewa (boy friend) yang sopan santun dan baik budi pekertinya. Kami selalu juga berjumpa tetapi tidak melakukan apa-apa hanya sekadar berbual dan makan-makan. Adakah ia dibenarkan dalam Islam?

Nampaknya budaya berdua-duaan antara lelaki dan wanita semakin menjadi adat pula. Akhirnya walaupun ia dianggap tidak baik satu masa dahulu, kini ia hanya menjadi lipatan sejarah. Di mana-mana dapat disaksikan lelaki dan wanita berdua-duaan. Di taman bunga, di tepi tasik, di shopping complex, di atas motosikal, di dalam kereta bahkan ada yang berdua dalam rumah.

Anggapan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa jenayah dan kesalahan tetapi hanya sekadar berbual atau berbincang rasanya tidak diterima dalam Islam. Perlu diingat bahawa Islam bukan antisosial atau melarang hubungan lelaki dan wanita, tetapi ada batasannya.
Berdua-duaan antara lelaki dan wanita termasuk dalam konsep khalwat. Berdua-duaan di dalam kereta atau dalam rumah dikira khalwat. Kalau berdua begini, syaitanlah yang ketiganya. Perbuatan ini boleh membawa kepada zina. Semoga dijauhkan.

Larangan berdua-duaan antara lelaki dan wanita ini sebenarnya sabit dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud : “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka janganlah dia bersunyian dengan seorang wanita tanpa bersamanya mahram bagi wanita itu. Sesungguhnya syaitan adalah yang ketiga antara mereka” (Riwayat Ahmad).

Syaitan kerjanya tak ada kerja lain melainkan menyuruh melakukan maksiat dan kejahatan. Tambahan pula hanya tinggal berdua memudahkan lagi syaitan menjalankan kerja-kerja mempercayai umatnya tetapi sebagai langkah pencegahan sahaja.Kalau nak dibuat study group pun, paling kurang seorang lelaki dan dua wanita. Dengan ini akan bebaslah daripada konsep berdua-duaan.

Soalan 2 : Ada juga ibu bapa zaman serba canggih ini merestui anaknya berdua-duaan dengan lelaki tertentu. Bukan apa katanya agar anak gadisnya lebih selamat. Ke mana pun anak gadisnya pergi, ia ditemani lelaki ini. Bahkan mereka berdua sahaja?

Ehm... kalau ibu bapa sudah merestuinya, susahlah untuk ditegur. Bukan apa selagi mana ia bercanggah dengan Islam, selagi itulah ia dianggap salah. Memang niat dan tujuannya baik iaitu agar keselamatan anak gadisnya selamat tetapi jangan lupa bahawa pepatah Melayu ada menyebut “Harapkan pagar, pagar makan padi”.Walaupun niat dan tujuannya baik, biarlah juga cara dan kaedahnya mengikut Islam. Sekadar niat sahaja belum lagi mengharuskan benda yang haram. Ehm... mungkin ditemani juga oleh adiknya atau kawan perempuan yang lain. Biar bertiga tapi jangan berdua selagi belum ada ikatan perkahwinan yang sah.

Soalan 3 : Saya ada beberapa orang teman lelaki tetapi setakat kenalan biasa. Tidak pernah berdua-duaan atau “dating” Cuma sekadar berbual-bual di telefon dan menghantar SMS. Macam mana dengan pergaulan demikian?

Islam menyuruh umatnya bergaul dengan baik. Kalau setakat bercakap di telefon, menghantar SMS, menulis surat dan e-mel dengan tujuan yang baik, apa salahnya. Tujuan mestilah baik seperti ingin bertanya khabar, mengetahui satu-satu perkara dan sebagainya. Cara juga mestilah baik. Seeloknya janganlah keterlaluan hingga membawa kepada pembaziran. Cara percakapan yang bersopan dan beradab diamalkan.Namun, senario ini nampaknya berbeza. Ada yang berbual di telefon berjam lamanya. Ada yang berbual dalam nada yang tidak bersopan. Ada yang membincangkan persoalan yang mungkin tidak sesuai dibincangkan. Yang penting, nawaitu dan cara biarlah selari dengan Islam.

Soalan 4 : Saya ada study group yang terdiri daripada 2 lelaki dan 3 wanita. Hubungan kami amat rapat sebab sekampung dan sering bergurau-senda sampai bertepuk tampar, gosok belakang dan sebagainya. Boleh kut sebab bergurau sahaja?

Tak boleh kut walaupun bergurau. Eloklah dihindari amalan begitu. Sekadar berbual dengan classmate, schoolmate atau rakan sepejabat, no problem.Ehm... tapi kalau sampai bab bertepuk tampar dan gosok belakang, ini sudah dikira melanggar batas agama. Semoga diampuni.

Soalan 5 : Saya menyimpan banyak koleksi gambar-gambar kenangan ketika sekolah, kursus, seminar dan sebagainya. Ada gambar secara beramai-ramai dan ada juga yang berdua. Bagaimana kedudukannya itu menurut pandangan Islam?

Kalau bergambar beramai-ramai seperti selepas seminar, ia memang tidak menjadi masalah. Walau bagaimanapun, jika bergambar berdua, mungkin akan timbul fitnah kemudian hari. Apa tanggapan orang melihat gambar tersebut. First impression, sudah tentu ada apa-apa hubungan. Oleh itu, eloklah dielakkan bergambar berdua antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Sumber :
SOAL JAWAB remeh-temel tentang ISU SEMASA tapi anda malu bertanya ..
Oleh : Siti Nor Bahyah Mahamood & Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Penerbit : Telaga Biru,
Halaman 105 – 108


Friday, September 24, 2010

Maklumat Asas Berkaitan Solat - Artikel 38/2010 - Tarikh : 24 September 2010 / 15 Syawal 1431 H

A. Tempat-tempat yang tidak Digalakkan Solat
  1. Tempat Pembuangan najis atau tempat najis
  2. Tempat Penyembelihan binatang, bagi mengelakkan najis binatang
  3. Kawasan perkuburan, bagi mengelakkan najis dan menghadap kubur
  4. Di tengah-tengah jalan raya kerana hati akan sentiasa sibukkan orang dan kenderaan yang lalu lalang
  5. Bilik air, kerana ia tempat perlindungan syaitan
  6. Tempat perteduhan binatang, kerana baunya yang kuat akan mengganggu solat
  7. Di atas Kaabah
B. Syarat-syarat Sah Solat
Secara ringkasnya, berikut ialah syarat sah solat :
  1. Beragama Islam
  2. Baligh
  3. Suci daripada hadas
  4. Suci seluruh anggota badan, pakaian dan tempat
  5. Menutup aurat. Aurat bagi wanita, seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya. Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut
  6. Telah masuk waktu solat yang telah ditentukan
  7. Menghadap ke arah kiblat
C. Rukun-rukun Solat
Rukun Solat menurut mazhab Syafie :
  1. Niat
  2. Takbiratulihram
  3. Berdiri tegak bagi yang berkuasa ketika solat fardu dan bagi yang tidak berkuasa disebabkan sakit dan sebagainya boleh melakukannya secara duduk, berbaring, terlentang atau dengan isyarat
  4. Membaca surah Al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat
  5. Rukuk dengan tamakninah
  6. Iktidal dengan tamakninah
  7. Sujud dua kali dengan tamakninah
  8. Duduk antara dua sujud dengan tamakninah
  9. Duduk tasyahud akhir dengan tamakninah
  10. Membaca tasyahud akhir
  11. Membaca selawat ke atas Nabi pada tasyahud akhir
  12. Membaca salam yang pertama
  13. Tertib, ertinya mengikut urutan dalam mengerjakan rukun-rukun tersebut
D. Perkara yang Membatalkan Solat
Menurut mazhab Syafie dan lain-lainnya, perkara yang membatalkan solat adalah seperti di bawah :
  1. Jika salah satu syarat rukunnya tidak dikerjakan atau sengaja ditinggalkan
  2. Berlaku hadas kecil dan hadas besar
  3. Terkena najis secara langsung yang tidak dapat dimaafkan pada badan, pakaian atau tempat solat
  4. Berkata-kata dengan percakapan luar solat, dengan 2 perkataan yang boleh difahami
  5. Terbuka auratnya dengan sengaja sehingga kelihatan ¼ daripada anggota wuduknya. Walau bagaimanapun, sekiranya dengan pantas is menutupnya kembali, maka tidak membatalkan solat menurut mazhab Syafie dan mazhab Hanbali
  6. Makan minum, walaupun hanya sedikit kerana ia bertentangan dengan sifat solat. Solat juga batal jika makan dengan banyak, walaupun dalam keadaan terlupa. Demikian menurut mazhab Syafie dan mazhab Hanbali
  7. Mengubah niat ketika sedang bersolat, misalnya niat memutuskan solat
  8. Bergerak besar berturut-turut sebanyak tiga kali seperti melangkah atau berjalan. Demikian menurut mazhab Syafie. Maksud “berturut-turut” ialah apabila dikira setiap satu pergerakan terpisah dengan yang lain. Bagaimanapun, pergerakan sedikit tidak membatalkan solat berdalilkan kepada tindakan Nabi s.a.w yang pernah membuka pintu untuk Aisyah semasa Baginda sedang solat.
    Baginda pernah juga mendukung cucunya bernama Umamah, yang mana semasa solat, Nabi s.a.w. meletakkannya di tepi ketika sedang sujud dan apabila ingin bangkit berdiri, Nabi s.a.w kembali mendukungnya (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
  9. Membelakangi kiblat. Menukarkan arah dada dari kiblat tanpa uzur yang kuat, menurut Hanafi dan Syafie. Maliki mempunyai pandangan lain.
  10. Menambah rukun yang berupa perbuatan seperti rukuk dan sujud
  11. Tertawa terbahak-bahak. Senyum tidak membatalkan solat
  12. Mendahului imamnya
  13. Murtad (terkeluar daripada agama Islam)

Sumber :
Dipetik dari Buku FORMULA SOLAT SEMPURNA ,
Oleh : Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman,
Penerbit : Telaga Biru,
Halaman : 9-14


Friday, September 17, 2010

Istiqamah Syawal - Artikel 37/2010 - Tarikh : 17 September 2010 / 8 Syawal 1431 H

Ramadhan telah pun berlalu, diganti dengan kedatangan Syawal yang disambut meriah oleh Muslimin umumnya. Telah tamat sudah madrasah imaniyah, madrasah taubah dan madrasah jiddiyah yang Allah bekali untuk umat Islam rebut dalam rangka untuk mendapat rahmah, keampunan dan kejauhan dari neraka. Sejauh mana telah kita berusaha merebut peluang yang Allah berikan itu, yakni selama sebulan, dengan pelbagai ‘offer’ atau ganjaran yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun walau di bulan apa pun. Tepuk dada, tanya iman.

Namun hakikatnya, apa yang penting ialah, bagaimana sikap kita terhadap Ramadhan yang telah meninggalkan kita. Apakah konsekuensi Ramadhan itu kepada diri kita sendiri. Seharusnya seorang mukmin itu menggunakan sebaik-baiknya Ramadhan itu untuk membekali diri dengan energi yang dapat memberi momentum kepada jiwa untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya. Antara energi yang paling seharusnya diperoleh oleh seorang mukmin adalah energi mujahadah.

Saudara ku sekalian,

Allah berfirman di dalam Al-Quran mengenai hal ini : “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, Maka sungguh. SYURGAlah tempat tinggalnya” (An-Naziaat: 40-41). Ternyata dalam rangka kita ingin menuju syurga Allah, Allah telah meletakkan dua syarat yang perlu kita praktikkan di dalam diri kita. Syarat yang pertama adalah takut kepada Allah, manakala yang kedua ialah menahan keinginan hawa nafsu kita.

Takut kepada Allah, merasakan kebersamaan Allah di mana jua kita berada, dalam kondisi apa pun adalah satu asas yang akan membawa kita kepada mujahadah. Allah berfirman di dalam Al-Quran : “Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ´arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hadid:4)

Apabila kita merasakan bahawa Allah bersama kita, kita akan sentiasa berhati-hati dalam beramal. Ditakuti amal-amal yang kita lakukan tidak diterima oleh Allah. Dan yang terpenting ialah, kita takut untuk melakukan maksiat kepada Nya. Allah menyatakan tentang orang yang takut kepada Allah di dalam surah Al Bayyinah : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.” (Al-Bayyinah:7-8) Di dalam ayat ini dinyatakan bahawa orang yang takut kepada Allah adalah orang yang beriman dan beramal soleh. Malah Allah mengangkat darjat mereka sebagai sebaik-baik makhluk. Maka rugilah kalau kita tidak merebut atau mencapai darjat yang Allah kurniakan ini.

Seterusnya, dalam rangka untuk menggapai pahala terbaik yakni syurga, kita perlu menahan diri dari keinginan hawa nafsu. Dalam hadith ke 41 Imam Nawawi menyatakan : “Tidak sempurna Iman seseorang dari kalian sehingga hawa nafsunya tunduk mengikuti apa yang telah aku bawa.” (hadith shahih) Tapi ternyata jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu. Begitulah yang tersebut di dalam surah Yusuf bahawa nafsu itu selalu mengarah kepada kejahatan, kecuali yang mendapat rahmat Allah.

“Dan aku tidak membebaskan diri ku (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf:53) Maka jika pada bulan Ramadhan kita mampu menahan hawa nafsu walau dari perkara yang halal, nescaya pasti juga kita akan mampu menahan nafsu dari perkara yang haram. Tibanya Syawal tidak bermakna kita terlepas dari belenggu menahan hawa nafsu, bahkan sebenarnya ianya merupakan cabaran untuk kita terus bermujahadah dalam meneruskan amal yang telah kita lakukan di sepanjang Ramadhan. Walaupun tidak 100% amalnya, tapi kurangnya tidaklah hingga melebihi 50% dari yang dilakukan sepanjang Ramadhan.

Moga dengan usaha kita ini, Allah memberi ganjaran syurga dan yang paling penting, keredaan Nya. “Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan mu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah:105)


Wednesday, September 8, 2010

Adab Mengakhiri Ramadhan & Menyambut Aidilfitri - Artikel 36/2010 - Tarikh : 8 September 2010 / 29 Ramadhan 1431 H

Berikut adalah adab mengakhiri Ramadan dan menyambut Aidilfitri:

  1. Allah menyuruh kita agar mengiktiraf akan kebesaran Nya dengan mengucap 'Takbir' pada malam Aidilfitri dengan gema yang mampu menggemparkan para syaitan
  2. Allah menyuruh kita mensyukuri segala nikmat Nya dengan bertahmid dan berzikir
  3. Allah menyuruh kita supaya memohon keampunan dengan beristighfar
  4. Allah memerintahkan kita supaya mengeluarkan 'Sadaqatul Fitri' (membayar zakat fitrah)
  5. Keluar beramai-ramai untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan
  6. Bertemu, beramah mesra dan bermaaf-maafan sesama Muslimin
  7. Menziarahi kubur dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya
  8. Kunjung mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturahim

Rujukan: IKRAM Malaysia




Friday, September 3, 2010

Isteri Solehah - Artikel 35/2010 - Tarikh : 3 September 2010 / 24 Ramadhan 1431 H

Siapa isteri solehah? Yang jadi penyejuk mata, penghibur hati dan teman yang setia. Tak semua perempuan mampu jadi isteri solehah seperti mana tak semua lelaki adalah lelaki soleh. Bagaimanapun, seperti ketentuan, wanita solehah memanglah untuk lelaki soleh.

Sifat-sifat isteri Solehah:
  1. Membatasi pandangan hanya kepada suami. Dia puas dengannya dan tidak memandang selainnya, tidak membanding-bandingkannya dengan orang lain serta tidak mengharapkan perhatian daripada orang lain selain daripada suaminya.
  2. Membataskan aktiviti-aktiviti hariannya di rumah menghadkan masa di luar rumah kecuali jika ada syarak menghalalkan dia berbuat demikian.
  3. Bersegera meminta maaf meskipun dirinya dizalimi sabda Rasulullah SAW; 'Mahukah engkau aku beritahu mengenai isteri-isteri yang menjadi ahli syurga? Merekalah yang penuh kasih, subur dan suka meminta maaf. Iaitu isteri yang jika dizalimi dia berkata 'Inilah tanganku ada ditanganmu. Aku tidak akan tidur sehingga engkau redha kepadaku.' (H.R An-Nasa'ie)
  4. Memenuhi hak-hak suami dengan baik, mengasuh dan mendidik anak-anak dengan baik serta memenuhi hak kedua-duanya dengan baik.
  5. Berusahalah supaya sentiasa tampil menarik setiap masa. Penampilannya cantik, aromanya wangi, tutur katanya lembut dan memikat dan baik tingkah lakunya.
  6. Berusaha untuk tidak memperlihatkan hal-hal yang tidak disukai suaminya. Isteri yang pintar tidak akan memperlihatkan darah haid atau nifas, tidak muntah, tidak membuang air kecil atau besar dihadpan suaminya, dengan alasan tidak perlu malu-malu dihadapan suaminya lagi. Boleh jadi semua perbuatan sebegitu tidak disukai oleh suaminya.
  7. Menghindari perkara-perkara yang boleh merosakkan penampilannya sebagai seorang wanita yang cantik kerana wanita diciptakan untuk berhias cantik.
  8. Memberikan penghormatan kepada suami dengan sesuatu yang membahagiakan dan menyenangkan hatinya.
  9. Pandai memasak serta pandai menjaga kebersihan diri, anak-anak dan rumahtangga.
  10. Cerdas dan cermat dalam bertindak, berbicara dan meminta.
  11. Sabar, berani dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab dalam rumahtangga.
  12. Menghantar suami ke depan pintu setiap kali suami berangkat ke tempat kerja, menyambutnya setiap kali dia pulang. Berterima kasih di atas pemberiannya dan selalu mendoakan kebaikan kepadanya.

Thursday, August 26, 2010

Esok Bila Ayah Pergi - Artikel 34/2010 - Tarikh : 26 Ogos 2010 / 16 Ramadhan 1431 H

Anak-anak ayah
Dengar betul-betul pesan ayah
Lepas ni tak boleh cakap dah
Apabila kelu mulut dan lidah

Sekiranya esok ayah pergi
Jangan le anak ayah tangisi
Tapi kalau sedih di sanubari
Itu tanda anak ayah tetap di hati

Nabi dulu pun sedih juga
Bila anak lelaki dia pergi tiga-tiga
Tapi jangan nangis lama sangat
Banyak benda anak ayah kena buat

Sedih lama sangat ayah tak mahu
Sebab tempat ayah pergi tu semua dah tahu
Ayah nak jumpa Dia
Ayah menyahut seruan Nya

Mula-mula sekali
Pasal solat sudahlah pasti
Kena buat setiap hari
Jangan abaikan walau sekali

Anak-anak ayah kena janji
Kena jaga diri sendiri
Ayah serahkan anak-anak pada Allah
Sebagai Penjaga, Pemelihara ayah berserah

Anak-anak ayah
Ummi tu kena le dijaga
Waktu susah waktu selesa
Selama ni dia dah berjagaMembesarkan kamu semua
Kata-kata Ummi jangan dilawan
Ayah tak de nak dibuat kawan
Lagi satu ayah nak pesan
Ummi nak kahwin sila izinkan

Bila ayah dah pergi
Ayah dah tak de sapa-sapa
Kalau anak-anak ayah sudi
Doa-doakan ayah kat sana

Kalau anak-anak ayah simpati
Kirim-kirimlah fatihah
kalau ayah dekat di hati
Rajin-rajinlah bersedekah

Bukannya apa
Ayah dah tak de apa
Amal pun tak seberapa
Dosa yang bertimpa-timpa

Doa-doakanlah ayah
Semoga Allah tak marah
Banyaknya dosa tak tahu nak cakap dah
Soal jawab diharap mudah

Anak-anak ayah dah tahu dah
Ayah nak anak-anak ayah
Jadi hafiz dan hafizah
Jangan hampakan harapan ayah

Nanti bila ayah dah pergi
Anak-anak ayah jangan kelahi
Harta dunia ni macam daki
Semua orang boleh cari
Yang ada tu pakat le kongsi
Amalan setiap malam jangan dilupai
Surah Al Mulk Sejadah selalu le baca
Solat malam diteruskan juga
Walau terpaksa bersengkang mata

Al Quran dan Sunnah jadi panduan
Ayah ingatkan sebagai bekalan
Tinggalan oleh Rasul junjungan
Buat umat sepanjang zaman

Kawan-kawan ayah tolong beritahukan
Orang bawahan orang atasan
Segala silap tolong maafkan
Maklum le ayah kan Cuma insan

Hutang ayah tolong selesaikan
Guna duit ayah dalam simpanan
Yang baki tu bahagi2kan
Untuk yg hidup jadi bekalan

Ingat le anak-anak ayah nak kata
Pesan ni mesti dikota
Hidup jangan bersengketa
barulah kita tidak derita

Sekian saja pesanan ini
Untuk yang hidup dari yang mati
Ayah ni jangan dilupai
Lawatlah ayah jenguk le sesekali

Di pusara ayah menanti
Amal sedikit temani diri
Wasiat ayah sila turuti
Supaya hidup bahagialah diri

p/s: Jangan lupa cium dahi ayah sebelum dikapankan yaa..

Friday, August 20, 2010

9 Siti Yang Patut Dicontohi - Artikel 33/2010 - Tarikh : 20 Ogos 2010 / 10 Ramadhan 1431 H

1. SITI KHADIJAH
Beliau merupakan isteri Rasulullah S.A.W yang melahirkan anak-anak Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kepada Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira'

2. SITI FATIMAH
Anak Rasulullah yang tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kepada suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kadang-kadang berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah berkata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu

3. SITI AISYAH
Beliau isteri Rasulullah yang paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dengan Rasulullah. Di mana Nabi S.A.W. minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yang sama

4. SITI HAJAR
Isteri Nabi Ibrahim yang patuh kepada suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air untuk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorang ibu mithali)

5. SITI MARIAM
Wanita suci yang memang pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yang tinggi sehingga rahimnya dipilih oleh Allah S.W.T untuk mengandungkan Nabi Isa

6. SITI ASIAH
Isteri Firaun yang tinggi imannya dan tidak gentar dengan ujian yang dihadapinya daripada Firaun Laknatullah

7. SITI AMINAH
Wanita mulia yang menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia

8. SITI MUTI’AH
Isteri yang patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat untuk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dengan cantik untuk tatapan suaminya sahaja

9. SITI ZUBAIDAH
Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan bagi kegunaan orang ramai hanya niat kerana Allah S.W.T

SUMBER :
9 Siti ini adalah petikan daripada kata-kata Ustazah Siti Norbahiah Mahmud dalam rancangan Halaqah TV9 (6 November 2006) bertajuk 'SITI IMPIAN'. Adakah kita tergolong antara Siti-Siti ini? Tepuk dada tanya iman. Sama-sama kita tingkatkan ilmu kita untuk menjadi insan yang lebih baik di Bumi Allah ini, insyaAllah.

Friday, August 13, 2010

Pahlawan Terkorban Sia-sia Di Perang Uhud - Artikel 32/2010 - Tarikh : 13 Ogos 2010 / 3 Ramadhan 1431 H

DIRIWAYATKAN bahawa satu ketika dulu pada zaman Rasulullah SAW, berlaku pertempuran sengit antara kaum muslimin dan musyrik yang lebih dikenali sebagai Perang Uhud. Dalam peperangan itu kedua-dua pihak berjuang dengan hebat. Turut disertai seorang pemuda dikenali sebagai Qotzman, iaitu pahlawan yang diakui memiliki kegagahan serta keberanian untuk menumpaskan musuh.

Kerana kehebatannya itu, namanya menjadi buah mulut kaum muslimin yang mengagumi sifat beraninya berikutan tanpa rasa ragu-ragu, terus melawan musuh walaupun mengalami banyak kecederaan. Namun sudah ketentuan Allah SWT, Qotzman cedera parah apabila ditikam pihak musuh hinggakan seluruh badan dipenuhi darah dan seterusnya meninggal dunia. Berita kematian Qotzman tersebar di kalangan sahabat yang sama-sama berjuang ketika itu.

Ia satu berita gembira bagi rakannya yang beranggapan pemuda itu syahid, sekali gus memperoleh syurga yang dijanjikan Allah terhadap muslimin yang syahid di jalanNya. Namun, dicatatkan kematiannya itu akhirnya hanya sia-sia dan lebih teruk lagi apabila namanya disebut sebagai ahli neraka sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “Sebenarnya dia (Qotzman) tergolong sebagai penduduk neraka.”

Penjelasan Rasulullah merungkai niat sebenar Qotzman, di mana sebelum menghembuskan nafas terakhir dia menyatakan hasratnya berperang bukan kerana agama, sebaliknya untuk menjaga kehormatan Madinah daripada pencerobohan kaum musyrik. Ia sebagaiman dinyatakan oleh Ibn Kathir yang mendengar pemuda itu memberitahu, dia berperang untuk membela kehormatan kaum mereka dan jika tidak kerana itu, dia tidak akan sesekali ikut berperang.

Berdasarkan kitab sirah, sebaik cedera ditikam, Qotzman meletakkan hulu pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang ke dalam dadanya. Dia melakukan perbuatan itu kerana tidak tahan menanggung kesakitan akibat luka dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuh tetapi membunuh diri. Melihat keadaannya yang parah, ramai menyangka dia akan masuk syurga. Namun dia menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka yakni jelas sama sekali membuktikan perbuatan membunuh diri, walaupun ketika mengalami kepayahan atau kesengsaraan, tetap berdosa besar.


SUMBER :Metro Ahad, 20 Jun 2010, Ruangan An-Nur (Pedoman), Halaman 25, Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Friday, August 6, 2010

Bila Al-Qur'an Mula Bersuara - Artikel 31/2010 - Tarikh : 6 Ogos 2010 / 25 Sya'aban 1431 H

Waktu engkau masih kanak-kanak.............
kau laksana kawan sejati ku
Dengan wudu', Aku kau sentuh dalam keadaan suci, Aku kau pegang
Aku, kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau mencium ku mesra

Sekarang engkau telah dewasa..............
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi pada ku...
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurut mu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuan mu
Atau, menurut mu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......
Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali, sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pengisi stor mu.

Kadang kala Aku dijadikan mas kahwin agar engkau dianggap bertakwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian, kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, aku engkau pendamkan.
Dulu...pagi-pagi...surah-surah yang ada pada ku engkau baca beberapa halaman.
Di waktu petang, Aku kau baca beramai-ramai bersama teman mu di surau.....

Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau abaikan dan engkau lupakan...

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku(Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati muzik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam kereta mu
Sepanjang perjalanan, radio mu selalu tertuju ke stesen radio kesukaan mu
Mengasyikkan.

Di meja kerja mu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di Komputer mu pun kau putar muzik favorite mu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayat ku.........
E-mail teman mu yang ada ayat-ayat ku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaan ku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupai ku


Bila malam tiba engkau tahan bersengkang mata berjam-jam di depan TV,
Menonton siaran televisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekadar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktu pun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingat ku, hanya awal Ramadhan engkau membaca ku kembali
Itu pun hanya beberapa lembar dari ku.
Dengan suara dan lafaz yang tidak semerdu dulu
Engkau pun kini terangkak-rangkak ketika membaca ku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhan Nya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada pada ku menolong mu
Itu janji Tuhan mu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktu mu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu...........
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhan mu

Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kubur mu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Quran",kitab suci mu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungi mu.

Peganglah Aku kembali.. .. bacalah aku kembali aku setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada pada ku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasul mu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, laci mu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerja mu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhan mu.
Sentuhilah Aku kembali...

Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampung mu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi..



Friday, July 30, 2010

Klik Connect Untuk CINTA - Artikel 30/2010 - Tarikh : 30 Julai 2010 / 18 Sya'aban 1431 H

Love chemistry. Mengapa love chemistry? Bukan love biology ataupun love physics ataupun love psychology? Saya biarkan persoalan ini kepada anda. Perkara utama yang hendak dibicarakan di sini adalah berkenaan cinta, khususnya cinta agung kepada Tuhan. Cintakan bunga, bunga akan layu. Cintakan manusia, manusia akan mati. Cintakan Tuhan, cinta kekal abadi.

Allah terlalu layak untuk dicintai kerana tiadalah kita tanpa Nya. Dia mengizinkan kita “menumpang” di bumi, planet yang dimiliki secara sah oleh Nya. Mengapa mahu dipersoalkan untuk tidak cinta kepada Nya? Sami Yusuf, penyanyi nasyid, dengan penuh yakin selepas mengimbau dan mensyukuri pelbagai nikmat Tuhan, beliau menyoal, “Siapakah yang layak dicintai?”. Kemudian dia menjawab sendiri, “Allah”. Perhatikan bait-bait lagu berikut :

He gave us life
He gave us light
He sent to guide us
Rasula Allah
Allah
Rahmanun Jabbarun Mannanun Tawwabun Karim
Allah
Ghafurun Raufun Saburun Shakurun Halim
[Some of the names of Allah]
Who is the Loved One? Allah
Who is al-Basir? AllahWho is al-Khabir?

Menurut Ghazali, antara tanda mencintai Allah adalah mengutamakan Allah berbanding nafsu syahwat yang sering cenderung kepada hiburan dan keseronokan, relaks dan santai. Menurut beliau lagi, syahwat itu dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
  1. Syahwat khinzir : Gelojoh, keji, membazir, hilang malu, riak, rakus, bermuka-muka, dengki, dendam, suka bala menimpa orang lain, kuat makan, kuat seks dan lain-lain
  2. Syahwat anjing ataupun serigala : Bermegah-megah, bercakap besar, sombong, terpesona dengan diri (ujub), mengejek, menghina, mahukan kejahatan, ingin kekejaman dan lain-lain.
Seterusnya, mencintai Allah termasuk juga mencintai manusia kerana Allah. Dalam hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad berkata, “Ada tiga perkara yang apabila seseorang itu memilikinya akan merasakan kemanisan iman iaitu mencintai Allah dan rasul Nya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah dan enggan menjadi kafir selepas diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana dia enggan dicampakkan ke dalam api neraka.”

Cinta dan iman tidak dapat dipisahkan, ibarat dunia siber dengan digital. Cinta perlu berlandaskan iman. Manakala, iman pula mampu mencetuskan cinta. Dalam konteks lain, cinta dapat meningkatkan iman sebagaimana nabi berkata dalam sebuah hadis, “Sesiapa yang ingin mendapatkan kelazatan iman, hendaklah ia mencintai individu hanya kerana Allah.”
Jauhilah cinta terlarang, cinta yang dimurkai Tuhan. Benarlah bait sebuah lirik lagu genre nasyid oleh UNIC :

Dan sering aku harapkan
Cinta berlandas keimanan
Dan kasih suci kita kan diberkati …

Berdakwah, memberikan bimbingan, memberi salam dan mendoakan keampunan semua orang Islam dengan ikhlas (sama ada dikenali ataupun tidak) pula adalah antara lambang cintakan umat Islam sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Bukan mudah mencintai manusia kerana Allah. Oleh itu, maharnya cukup mahal sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang direkodkan oleh Abu Daud :

Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah, ada manusia yang bukan para nabi dan bukan pula syuhada, tetapi para nabi dan syuhada cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat, kerana kedudukannya di sisi Allah.

Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, beritahu kepada kami siapakah mereka itu?’ Rasulullah menjawab, ‘Mereka adalah kumpulan manusia yang saling berkasih sayang kerana Allah bukan kerana hubungan keluarga dan bukan pula kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, sesungguhnya muka mereka bercahaya dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut apabila manusia berasa takut, tidak berdukacita apabila manusia lain berdukacita’.

Rasulullah pun membacakan ayat (bermaksud), ‘Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita’(Surah Yunus : ayat 62)


Sumber :
Online dengan Tuhan .. BERHUBUNG DENGAN TUHAN MELALUI TALIAN TANPA WAYAR
Oleh : Zulkifli Khair,
Penerbit : PTS Islamika,
Halaman : 88 – 91


Friday, July 23, 2010

Mahram - Artikel 29/2010 - Tarikh : 23 Julai 2010 / 11 Sya'aban 1431 H

Soalan 1 : Saya selalu diingatkan jangan bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahram. Ada pula yang kata bukan muhrim. Saya confuse apa maksud istilah-istilah mahram dan muhrim ni?

“Mahram” sebenarnya bukan “muhrim”. “Muhrim” adalah orang yang berihram haji. “Mahram” barulah betul. Cuma masyarakat Melayu sudah biasa menyebut perkataan muhrim. Mahram adalah orang yang haram dikahwini kerana sebab-sebab tertentu. Contohnya hubungan nasab atau hubungan darah. Begitu juga kerana sebab susuan dan persemendaan

Soalan 2 : Ada orang kata kalau nak tahu mahram kita kena tahu susur galur nasab kita. Boleh terangkan apa yang dimaksudkan hubungan nasab itu?

Termasuk dalam kategori ini ialah ibu, anak perempuan, adik-beradik perempuan, ibu saudara dan anak saudara. Apakah nenek bukan mahram? Tidak, bukan begitu. Nenek pun mahram juga. Cucu pun mahram juga. Cicit pun mahram juga. Maksudnya orang yang mempunyai hubungan nasab dengan kita. Ibu dan generasi sebelah atas ibu adalah mahram. Anak pula merangkumi generasi sebelah bawah seperti cucu dan cicit. Surah al-Nisa’ Ayat 23 bermaksud : “Diharamkan bagi kamu (berkahwin) dengan ibu kamu, anak perempuan kamu, adik dan kakak kamu, ibu saudara sama ada sebelah ayah dan ibu, anak saudara kepada adik, kakak atau abang kamu”. Bagi seorang wanita mahramnya adalah lelaki yang ada hubungan nasab dengannya. Contohnya seperti ayah, datuk, anak lelaki, cucu lelaki, bapa saudara yang biasa dipanggil pak long, pak ngah dan sebagainya, adik-beradik lelaki seperti abang dan adik, anak saudara lelaki.

Soalan 3 : Ibu kandung saya telah meninggal dunia. Baru-baru ini ayah saya kahwin baru, jadi isterinya adalah ibu tiri saya. Persoalan saya ialah ibu tiri dikira mahram jugakah?

Ibu tiri adalah isteri kepada ayah kandung. Apabila si ayah kandung sudah berkahwin dengan seorang wanita, automatically jadilah dia ibu tiri. Kalau sudah menjadi isteri ayah, mana boleh si anak lelaki berkahwin dengannya lagi. Walaupun selepas bercerai atau matinya si ayah, wanita itu masih tetap perlu dihormati sebagai ibu tiri. Jadinya janganlah ada mana-mana lelaki menaruh perasaan terhadap ibu tirinya. Haram kalau begitu. Bukankah Al-Qur’an ada menyebut (Surah al-Nisa’ Ayat 22) bermaksud : “Janganlah engkau berkahwin dengan mana-mana wanita yang sudah dinikahi oleh ayahmu melainkan apa yang lepas. Sesungguhnya ia (berkahwin dengan isteri kepada bapa) adalah keji dan buruk jalannya”. Ehmm...kenapa boleh ada kes anak jatuh hati kepada isteri bapanya sendiri. Biasalah kalau sudah nafsu. Lagipun isteri ayah yang baru biasanya muda bahkan mungkin ada yang sebaya dengan anak lelaki. Bagi wanita pula, suami kepada ibu juga termasuk dalam makna ayat ini.

Soalan 4 : Ramai orang kata anak tiri itu sudah dikira mahram, tetapi ada satu kes di kampung saya seorang lelaki hendak kahwin dengan anak tirinya. Apakah hukumnya jika seseorang berkahwin dengan anak tiri?

Anak tiri juga sebenarnya sudah dikira mahram. Oleh itu, jika seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang sudah mempunyai anak perempuan, anak perempuan itu adalah anak tirinya. Ehmm.. haram hukumnya kalau berkahwin dengan anak tiri. Walau bagaimanapun, ada satu syarat yang ditetapkan iaitu lelaki tersebut mestilah telah “bersama” atau melakukan hubungan kelamin dengan wanita tersebut. Apabila ini terjadi, barulah sah anak perempuan itu menjadi anak tirinya. Bukankah Allah berfirman (Surah al-Nisa’ Ayat 23) bermaksud : “Dan (diharamkan berkahwin) anak tiri yang berada dalam pemeliharaan kamu daripada wanita yang kamu kahwini dan bersama dengannya. Jika kamu belum bersama dengannya (dan telah bercerai) maka tidaklah berdosa atas kamu (untuk berkahwin)”. Mengikut konteks ayat ini, anak tiri yang diharamkan ialah anak tiri yang berada dalam pemeliharaan. Bagaimana kalau sudah besar, adakah tidak mengapa?. Zahirnya memang begitu. Bagaimanapun, mengikut kefahaman para ulama muktabar, ia hanyalah sebagai gambaran kebiasaan sahaja. Biasanya anak tiri memanglah dibela sejak kecil. Namun, jika seseorang berkahwin dengan wanita yang mempunyai anak perempuan yang sudah besar panjang, hukumnya tetap haram. Syarat yang diambil kira ialah syarat “bersama” sahaja.

Soalan 5 : Saya baru bekerja dan tinggal serumah dengan abang yang baru berkahwin. Bagaimana dengan kakak ipar, adakah mereka mahram juga?


Ramai juga remaja yang tinggal bersama abang kandung. Kebetulan abang kandung sudah berkahwin. Isterinya adalah kakak ipar kepada remaja tersebut. Ehmm.. rasanya tidak dijumpai pula ayat yang menunjukkan bahawa kakak ipar adalah mahram. Hadis pun rasanya tidak ada menyebutnya. Senario di mana kakak ipar dianggap macam kakak sendiri sewajarnya dielakkan. Aurat perlulah dijaga dan batas kesopanan perlulah wujud.

Soalan 6 : Adakah wajar seseorang duduk berdua dengan kakak iparnya tanpa kehadiran orang lain? Dan bagaimana jika seorang wanita duduk bersama dengan abang iparnya?

Ehm.. keadaan ini ada juga berlaku. Contohnya pasangan suami isteri menetap di KL. Kemudian datanglah si adik perempuan kepada isteri tersebut. Oleh sebab mereka berdua bekerja, ada masanya hanya suami sahaja dengan adik perempuan di rumah. Adakah ini wajar? Ini adalah perbuatan yang salah. Mana boleh kalau begitu. Hubungan si adik dengan suami hanya hubungan ipar sahaja. Mereka bukanlah mahram kekal. Keadaan berdua-duaan sudah merupakan satu kesalahan dalam Islam. Apatah lagi jika berlaku hubungan terlarang.

Soalan 7 : Adakah mertua dikira mahram?

Ya memang mertua dikira mahram. Walaupun hubungan suami isteri sudah putus kerana perceraian contohnya, mertua tetap dikira mertua. Mereka wajib dihormati. Walaupun selepas perceraian, mereka dianggap sebagai bekas mertua, tetapi diharamkan mana-mana lelaki untuk berkahwin dengan mertua/bekas mertua. Inilah yang dapat difahami dalam ayat Al-Qur’an Surah al-Nisa’ Ayat 23 bermaksud : “Dan (diharamkan) ibu kepada isteri kamu”

Sumber :
SOAL JAWAB remeh-temel tentang ISU SEMASA tapi anda malu bertanya ..
Oleh : Siti Nor Bahyah Mahamood & Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Penerbit : Telaga Biru,
Halaman 119 – 123


Friday, July 16, 2010

Hukum Bercelak Mata - Artikel 28/2010 - Tarikh : 16 Julai 2010 / 4 Sya'aban 1431 H

1. Sunat Bercelak Mata

Ibnu Majah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Hendaklah kamu memakai celak mata, kerana dapat menerangkan (menyihatkan) mata dan menyuburkan bulu mata” – (At Tibbun Nabawi)

Dalam hadis lain dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “Rasulullah SAW mempunyai bekas celak mata khas. Apabila mencelak matanya, Baginda SAW menyapu sebanyak tiga kali” – (Ibnu Majah – At Tibbun Nabawi)


2. Faedah Lain Bercelak Mata

Seperti mana yang disebut di dalam At Tibbuni Nabawi, bahawa perbuatan mencelak mata boleh mendatangkan beberapa faedah :

  • Menyihatkan mata

  • Menguat dan membersihkan (menerangkan) pandangan

  • Menghilangkan penyakit mata

  • Mencantikkan warna atau menyinar cahaya mata

Bercelak mata sunat bagi wanita, dengan syarat bercelak pada bulu mata dan kening sahaja tanpa berlebih-lebihan sehingga menyerupai solekan wanita jahiliah. Seperti mewarnakan kelopak mata dengan pelbagai warna, menambah alis mata palsu dan sebagainya, termasuk memerahkan pipi dan mengincukan bibir dengan warna merah berlebihan adalah dilarang, kerana semuanya adalah tabarruj jahiliah yang dilarang.

Namun, jika wanita bersolek untuk suaminya, walaupun menyerupai tabarruj jahiliah adalah digalakkan dan sunat pula (berpahala). Tapi jika untuk keluar rumah dan untuk diperlihatkan kepada umum sahaja adalah dilarang.

Sumber : Batas-Batas AURAT & Pergaulan Serta Hukum Persolekan Dalam Islam oleh Ustaz Jaafar Salleh, Halaman 143-144

Friday, July 9, 2010

Kelebihan Berzikir Kepada Allah- Artikel 27/2010 - Tarikh : 9 Julai 2010 / 27 Rejab 1431 H

Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26 - “Dan sebutlah nama Tuhan mu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepada Nya dan bertasbihlah kepada Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.

Surah 7: Al A’raf, Ayat 205 - “Dan sebutlah nama Tuhan mu dalam hati mu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.

Surah 3: Al Imran Ayat 191 - “Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.

Surah 20 Ta Ha Ayat 14 - “Sesungguhnya Aku lah Allah, tidak ada Tuhan selain Ku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.

Surah 33: Al Ahzab Ayat 21 - “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi mu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.

Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a : - “Rasulullah s.a.w bersabda: Allah SWT berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba Ku terhadap Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati Ku. Apabila dia mengingati Ku dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri Ku. Apabila dia mengingati Ku di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya :Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit.

Firman Allah :
Allah SWT bertanya para malaikat meskipun Allah mengetahui pergerakan mereka :“Dari mana kamu datang?”

Malaikat menjawab :“Kami datang dari tempat hamba-hamba Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu.”

Allah SWT berfirman :“Apakah yang mereka pohonkan.?”

Para Malaikat menjawab :“Mereka memohon Syurga dari-Mu.”

Allah berfirman :“Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?”

Para Malaikat menjawab:“Belum, wahai Tuhan.”

Allah berfirman :“Bagaimanakah agaknya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Syurga-Ku?”

Malaikat berkata lagi:“Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan.”

Allah berfirman :“Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa?”

Malaikat menjawab :“Dari Neraka-Mu, wahai tuhan.”

Allah berfirman:“Apakah mereka pernah melihat Neraka-Ku?”

Malaikat menjawab :“Belum.”

Allah berfirman :“Bagaimanakah agaknya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Neraka-Ku.”

Malaikat terus berkata :“Mereka juga memohon keampunan-Mu.”

Allah berfirman:“Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan.”

Malaikat berkata lagi :“Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu.”

Allah berfirman :“Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.”



Doa Dhuha & Maksudnya

Qasidah Ya Hanana

" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Jom Hayati : "Doa Rabitah"

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini tlah berpadu
Berhimpun dalam naungan cintaMu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam
Ya Robbi bimbinglah kami…

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu

Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Lapangkanlah dada kami
Dengan karunia iman
Dan indahnya tawakkal padaMu
Hidupkan dengan ma’rifatMu
Matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Kuatkanlah ikatannya
Tegakkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahyaMu
Yang tiada pernah padam

Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…
Ya Robbi bimbinglah kami…