Pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj begitu luas sekali meliputi sudut-sudut akidah dan syariat pada umumnya. Bahkan beberapa detik sebelum Israk bermula terdapat suatu pengajaran penting iaitu proses tazkirah atau pun pembersihan diri rohani.
Israk bermaksud perjalanan waktu malam yang amat menakjubkan, bermula dari Masjid Al-Haram Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin. Manakala Mikraj pula, perjalanan dari Masjid Al-Aqsa naik ke petala langit sehingga ke peringkat yang tiada dalam pengetahuan makhluk.
Nas al-Quran tentang Israk ialah [firman Allah dalam Surah Al-Isra' Ayat 1] bermaksud :
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui".
Tentang Mikraj pula, [firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Najm ayat 13-18] bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi. Di sisi "Sidratulmuntaha" yang di sisinya terletak Syurga "Jannatulma'wa" ;. (Nabi Muhammad melihat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa "Sidratulmuntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya! Ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya". Menurut hadis-hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, kisah Israk dan Mikraj bermula dengan proses pembelahan dada Rasulullah s.a.w. Demikian juga hadis riwayat Ahmad melalui sanad Anas bin Malik, berkata, Ubai bin Kaab, telah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: "Atap rumah ku dibuka sewaktu aku di Mekah. Turun Jibril membelah dada ku. Kemudian Jibril membasuh dada ku dengan air zam-zam. Jibril kemudian membawa satu bekas yang diperbuat dari emas, di dalamnya berisi hikmah dan iman. Maka Jibril memenuhkan dada ku dengan hikmah dan iman. Kemudian Jibril menutup semula dada ku". Dari hadis ini antara lain dapat dikatakan, bahawa untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. hendaklah kita mulakan dengan membersihkan diri rohani. Iaitu pembersihan hati kerana hati adalah tempat makrifah. Hati adalah sepotong daging. Jika ia baik, maka baiklah anggota badan. Hati juga tempat musyahadah. Hanya kebenaran sahaja yang bertakhta di hati. Umat Islam diingatkan tentang kebersihan hati. Peristiwa pembelahan dada Rasulullah s.w.t. dalam kisah Israk dan Mikraj adalah simbol taubat kepada kita. Ianya juga sebagai petunjuk yang jelas untuk kita sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t. ketika mula melakukan sebarang pekerjaan yang berfaedah. Membersihkan diri rohani termasuk menyucikan diri dari segala kekotoran. Allah s.w.t. telah menjelaskan bahawa orang membersihkan diri rohani dan menyebut nama Allah di dalam hati, dan mendirikan solat tetap akan mendapat keuntungan. Dia beruntung di dunia, iaitu hidup berhubung rapat dengan Allah. Dia hidup dengan hati yang mengecapi kemanisan berzikir. Dia juga beruntung di akhirat, iaitu terselamat dari api Neraka yang amat pedih dan mendapat nikmat syurga serta keredhaan Allah. [Firman Allah dalam Surah Al-A’la ayat 14-17] bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya, serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu mengutamakan kehidupan dunia; Pada hal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal". SUMBER : Yayasan Islam Terengganu (Klik Untuk Muat Turun Artikel - Pengajaran Israk dan Mikraj)
No comments:
Post a Comment