Bulan Zulhijjah adalah kemuncak bulan haji. Zulhijjah sendiri membawa erti "bulan haji". Sejak dari zaman sebelum Rasulullah SAW lagi umat manusia telah mengerjakan haji di bulan Zulhijjah.
Peristiwa Bulan Zulhijjah
Sejarah telah merakam berbagai peristiwa yang berlaku di bulan Zulhijjah. Umat Islam telah melalui berbagai pengalaman suka, duka, senang, susah, menang, kalah, untung dan rugi di bulan ini. Berikut adalah di antara peristiwa penting yang pernah tercatat di bulan Zulhijjah;
- Penyembelihan Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS yang mendapat gelaran Rasul Ulul A'zmi sekali lagi membuktikan kepatuhannya terhadap perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail AS. Ismail AS juga dengan penuh ketaatan bersedia untuk disembelih oleh ayahnya tanpa ada bantahan. Lambang kepatuhan dua beranak ini telah diabadikan menjadi syiar Islam (sembelihan). Umat Islam sama ada yang berada di Makkah ataupun di mana-mana disunatkan untuk berkorban menyembelih sama ada unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
- Baiatul Aqabah. Pada tahun ketiga belas selepas pelantikan Baginda SAW menjadi nabi, berlakulah peristiwa Baiatul Aqabah (perjanjian setia Aqabah), ianya disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj. Mereka telah berjanji akan terus setia mempertahan, menolong dan menyebarkan ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk Yatsrib (Madinah). Sebenarnya Baiatul Aqabah adalah pembuka kunci kepada penghijrahan nabi SAW ke Madinah. Nabi sudah menyediakan pendokong-pendokongnya terlebih dahulu di Madinah sebelum berhijrah. Maha suci Allah yang telah mengatur dan menolong kekasihnya (Rasulullah SAW).
- Hajjatul Wida' (Haji Selamat Tinggal) Rasulullah SAW hanya sempat mengerjakan haji sebanyak sekali sahaja seumur hidupnya. Pada tahun ke sepuluh Hijrah, Nabi saw mengerjakan 'ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wida'. Pada peristiwa Hajjatul Wida' itu, baginda SAW menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbatul Wida') yang mana amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah inti pati peraturan dan atur cara kehidupan di dalam Islam.
- Umar RA meninggal dunia,Uthman RA dilantik. Umar adalah khalifah ke dua selepas Abu Bakar RA. Beliau adalah sahabat rapat Rasulullah SAW dan terkenal dengan sifat tegas dan cerdik sehingga digelar dengan Umar Al-Faruk (pembeza). Pada tahun 23 Hijrah, Amir Al Mukminin Umar bin Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu'luah Al Majusi. Dengan itu urusan kepimpinan negara bertukar kepada Saidina Uthman RA. Perlantikan Uthman bin 'Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis mesyuarat Syura yang telah ditubuhkan oleh Umar bin Al Khattab sebelum kematiannya.
- Ali RA menjadi khalifah yang keempat. Setelah berlaku kontraversi tentang pembunuhan Uthman RA, urusan kepimpinan kerajaan diterajui pula oleh Saidina Ali RA. Perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah. Dan akhirnya Ali juga di bunuh oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.
Amalan Di Bulan Zulhijjah
Bulan Zulhijjah adalah bulan haji, maka ibadat haji adalah menjadi keutamaan dikerjakan di bulan ini. Bagi yang mengerjakan haji, kita doakan mereka pergi dan kembali dalam keadaan selamat. Moga ibadah haji mereka akan diterima Allah SWT.
Bagi yang masih belum berkesempatan dan belum berkemampuan, bersabarlah dan sentiasalah memasang cita-cita untuk ke Makkah di tahun akan datang, InsyaAllah. Pada 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau disebut juga dengan Hari Raya Korban dalam bahasa Arabnya Aidiladha. Kita disunatkan bersolat sunat 'Id di pagi harinya dan disunatkan menyembelih binatang ternak yang berkaki empat (unta, lembu atau kambing).
Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah dikenali dengan Hari Tasyrik yang mana korban masih disunatkan lagi dilakukan. Disunatkan juga kita bertakbir setiap masa khasnya selepas solat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah tersebut dan diharamkan kita berpuasa padanya.
No comments:
Post a Comment