Soalan 1 : Saya tidak bermain judi cuma membeli ramalan 4 nombor ekor. Ada orang kata itu haram juga, betul ke?
Pertama hendaklah difahami apakah itu judi. Secara mudah judi adalah pertaruhan. Jika menang, dia akan mendapat hadiah. Jika kalah, dia akan hilang wangnya.
Begitu jugalah dalam 4 nombor ekor. Ia juga termasuk dalam jenis judi. Berapa ramai yang kaya kerana bermain judi? Orang ramai akan membeli nombor tertentu. Mungkin ramai yang akan membeli. Yang menang hanya beberapa orang sahaja. Hadiah pula diambil daripada duit hasil jualan tiket nombor ekor.
Judi adalah haram dalam Islam. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya arak, judi,(berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah daripada amalan syaitan maka jauhilah amalan tersebut ”
Soalan 2 : pertubuhan-pertubuhan tertentu malah ada badan-badan Kerajaan yang buat loteri kebajikan untuk tujuan mengumpul dana amal dan kebajikan. Loteri yang demikian salah ke?
Nama tidak penting. Apakah makna loteri? Loteri adalah sistem di mana tiket dijual mengandungi nombor tertentu. Akhirnya tiket mengandungi nombor tertentu dipilih mungkin secara rawak dan sebagainya. Pembeli nombor berkenaan adalah pemenang dan hadiah diberikan kepadanya. Manakala pembeli yang lain tidak dapat apa-apa. Begitulah loteri secara ringkas. Walaupun niatnya baik iaitu untuk kebajikan, tetapi kaedahnya adalah salah. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Jadi loteri kebajikan juga adalah merupakan judi.
Soalan 3 : Kawan-kawan serumah saya suka sangat bertaruh. Sikit-sikit ada lawan bertaruh. Tengok lawan bola di TV bertaruh, tengok live lumba F1 bertaruh, main dam bertaruh, lawan gusti lengan dan banyak lagi lah. Adakah itu kira judi juga?
Sebenarnya untuk melakukan aktiviti perlawanan seperti lumba lari, bola sepak, futsal, gusti lengan, lumba kuda dan sebagainya adalah harus. Nabi SAW sendiri pernah beradu kekuatan dengan Rukanah lalu Nabi SAW menewaskannya sebagaimana dalam riwayat Abu Daud. Cuma kadang-kadang ada sedikit pertaruhan. Kalau ada pertaruhan, biasanya di situ ada judi. Contohnya jika seseorang yang berlumba mengeluarkan pertaruhan. Kalau ada 10 orang, maka setiap mereka terpaksa membayar wang pertaruhan. Yang menang akan mendapat wang yang dikumpul, manakala yang kalah hilang wangnya maka ia adalah judi.
Soalan 4 : Di sekolah bahkan di kampung ada sejenis permainan yang namanya “main kutu”. Adakah ini dikira judi juga?
Main kutu adalah kaedah sosial masyarakat bagi mengumpul duit. Katakan ada sepuluh orang dan setiap seorang mengeluarkan RM100. Setiap bulan diadakan cabutan undi. Kalau nasibnya baik, dia akan mendapat RM1000 pada bulan tersebut. Adakah ia juga judi?
Main kutu tidaklah termasuk dalam judi. Semua orang akan mendapat hasilnya tidak lama kemudian. Di situ semuanya untung, bukan rugi. Cuma masa belum tiba lagi.
Sumber :
Dipetik dari Buku SOAL JAWAB remeh-temeh tentang ISU SEMASA tapi anda malu bertanya …
Oleh : Siti Nor Bahyah Mahamood & Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd,
Halaman 175-177
No comments:
Post a Comment