Pada dini hari itu, Ali bin Abi Talib bergegas bangun mengerjakan solat Subuh berjemaah dengan Rasulullah S.A.W. Langit masih gelap, suasana masih dingin, dan jalan masih diselubungi kabus pagi yang turun bersama embun. Ali melangkahkan kakinya menuju masjid. Dari jauh, sayup kedengaran suara Bilal memanggil-manggil dengan azannya yang berkumandang merdu ke segenap penjuru Kota Madinah.
Namun, sebelum Ali melangkah menuju ke masjid, di hadapannya terdapat lelaki tua beragama Yahudi yang berjalan sungguh perlahan. Mungkin kerana usianya terlalu tua, dia berhati-hati ketika menyusun langkah.
Sebenarnya Ali tergesa-gesa. Dia tidak mahu tertinggal melakukan solat tahiyatul masjid dan qabliyah Subuh sebelum mendirikan solat Subuh berjemaah bersama Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang lain.
Ali faham yang Rasulullah S.A.W mengajar supaya semua umat Islam menghormati orang tua, tidak kira siapa dan apa pun agama mereka. Maka, Ali terpaksa berjalan di belakang lelaki tua itu. Tetapi apakan daya,lelaki tua itu berjalan sungguh perlahan, dan kerana itu Ali juga terpaksa melangkah dengan perlahan. Lelaki tua itu lemah dan Ali tidak sampai hati mahu mendahuluinya. Dia bimbang sekiranya lelaki tua Yahudi itu jatuh ataupun mengalami kemalangan.
Selepas lama berjalan, langit mula cerah apabila mereka menghampiri masjid. Lelaki tua itu meneruskan perjalanannya, melewati masjid. Semasa memasuki masjid, Ali menyangka yang solat Subuh berjemaah sudah selesai. Tetapi Ali terkejut, sekali gus gembira, apabila melihat Rasulullah S.A.W dan para sahabat sedang rukuk pada rakaat kedua. Ini bermakna Ali masih berkesempatan mendirikan solat Subuh berjemaah. Sekiranya dia dapat mengerjakan rukuk bersama, itu bermakna dia masih mendapat satu rakaat solat berjemaah.
Selepas Rasulullah S.A.W menyudahkan solatnya dengan salam, Umar bin Al-Khattab memberanikan diri bertanya, “Rasulullah S.A.W, kenapa hari ini solat Subuhmu tidak seperti biasa?”
Rasulullah S.A.W bertanya, “Kenapa? Apa yang berbeza?”
“Saya rasa berbeza. Selalunya kamu tidak dalam rakaat kedua sepanjang pagi ini.”
“Saya juga tidak tahu. Pada rukuk dalam rakaat kedua, Malaikat Jibrail tiba-tiba turun lalu menekan belakang saya sehingga saya tidak dapat bangun. Itu berlangsung lama, seperti yang kamu ketahui.”
“Mengapa Jibrail buat begitu?”
“Saya juga belum tahu. Jibrail belum menceritakannya kepada saya.”
Dengan perkenan Allah, beberapa waktu kemudian Malaikat Jibrail turun dan berkata, “Muhammad, aku diperintahkan Allah supaya Ali sempat mendirikan solat berjemaah dengan kamu. Allah menyenangi tindakannya kerana dia menjalani ajaran agamanya. Ali menghormati seorang lelaki tua Yahudi dan disebabkan oleh rasa hormatnya itu, dia terpaksa berjalan perlahan kerana lelaki tua itu juga berjalan perlahan. Sekiranya di belakang kamu tidak aku tekan, pasti Ali tidak sempat mengerjakan solat Subuh berjemaah dengan kamu.”
Mendengar penjelasan Jibrail itu, Rasulullah S.A.W terus mengerti. Baginda menyenangi tindakan Ali kerana apa yang dilakukannya itu menunjukkan betapa tingginya penghormatan umat Islam pada orang lain. Satu perkara lagi, Ali tidak sengaja melambatkan ataupun meninggalkan amalan solat berjemaahnya.
Subhanallah..Banyak sekali cara Allah memuliakan seseorang. Yakinlah, kita selalu berada dalam bimbingannya, apabila kita memelihara niat mahu istiqamah pada jalannya. Tahniah kerana berjaya memelihara amalan mulia ini, solat Subuh berjemaah di masjid.
Seorang pemimpin Yahudi pernah mengatakan yang mereka tidak takut dengan orang Islam melainkan dengan satu perkara, iaitu apabila jumlah jemaah solat Subuh sama dengan jumlah jemaah solat Jumaat.
SUMBER : http://alaqatulmahabbah.blogspot.com/2010/12/sebuah-kisahali-lewat-mendirikan-solat.html (Klik Untuk Muat Turun Artikel - Kisah Ali Lewat Menunaukan Solat Subuh Berjamaah)
No comments:
Post a Comment