Sayidina Umar Al-Khattab r.a. berkata, “Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya.” Ia bermaksud, proses pengajaran ilmu dan didikan terhadap manusia harus berlaku sesuai dengan perubahan zaman. Memang sifat zaman akan terus berubah. Zaman jahiliah dan zaman Rasulullah tidak sama. Pasti terdapat perbezaan antara kedua-dua zaman tersebut. Begitulah juga zaman-zaman yang terus berlalu kemudiannya.
Bagi memahami perbezaan tingkah laku antara generasi-generasi zaman ini, golongan fikir semasa menggunakan istilah Generasi X, Y dan Z. Terdapat perbezaan amat ketara di antara jarak masa di kalangan generasi tersebut. Berikut adalah pengenalan sepintas lalu bagi generasi itu :
Generasi yang lahir pada tahun 1945 dan sebelumnya; berumur 65 tahun ke atas. Generasi ini dianggap ‘otai’ dan mempunyai banyak pengalaman kerana telah lama hidup. Kematangan menjadikan mereka mudah menerima dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Generasi yang lahir antara 1946-1964; berumur 47 hingga 64 tahun. Kelompok generasi yang idealis. Di Barat, generasi ini hidup berdikari dan tidak lagi terlalu bergantung pada keluarga. Mereka mementingkan kerjaya atau pekerjaan. Mereka adalah generasi dalam dunia penyiaran (broadcasting). TV, radio dan akhbar banyak mempengaruhi keputusan mereka.
GENERASI X – lahir antara 1965-1976; berumur 34 hingga 46 tahun. Secara umum, gaya hidup mereka dikenali sebagai generasi rekreasi, bersukan, bebas, kasual dan lebih matang dari sudut emosi serta mempunyai gaya hidup seimbang. Mereka menganggap internet sebagai media yang tidak memerlukan kepakaran (nonspecialist media). Sesiapa sahaja boleh menggunakan internet dan melahirkan pandangan mereka.
GENERASI Y – lahir antara 1977-1997; berumur 13 hingga 33 tahun. Mereka juga disebut sebagai generasi millenium. Mereka terdedah kepada pelbagai elemen yang menyeronokkan seperti muzik, permainan video, aktiviti sosial, teknologi DVD, MP3, iPod dan sebagainya. Generasi yang hidup senang, mereka lahir ketika komputer peribadi mula digunakan. Ketika mereka membesar, telefon bimbit telah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup manusia. Generasi ini dibanjiri elemen hiburan seperti muzik dan video dalam gejet-gajet mudah alih mereka.
GENERASI Z – lahir antara 1998 hingga kini; berumur sehingga 12 tahun. Mereka dimanjakan dengan hidup selesa, dihidangkan makanan lazat, suasana pelajaran yang selesa, disaluti pakaian mahal dan memiliki gajet canggih. Mereka boleh mendapat maklumat dengan hanya meng‘google’, menonton video di You Tube dan bermain permainan secara ‘online’ pada bila-bila masa.
Menjadi persoalan dan cabaran bagi kita memikirkan kaedah yang terbaik bagi mendidik setiap generasi agar hidup berpaksikan kebenaran dan agama sebagai asas kehidupan. Bagaimana menyebarkan ilmu mengikut situasi dan kondisi generasi hari ini yang begitu kompleks?
Bagaimanakah ledakan teknologi maklumat ini dapat dimanfaatkan bagi memperkasa iman dan memperkukuhkan amalan? Apa yang dirangka pada hari ini mungkin menjadi asas agar generasi akan datang dapat menambah baik sehingga sesuai pula dengan situasi dan kondisi zaman itu. Generasi terdahulu telah mempersiapkan yang terbaik buat kita pada hari ini, maka menjadi tanggungjawab kita melangsungkannya demi generasi kini dan akan datang!
SUMBER : MAJALAH Q & A Bil. 3/2012 ISU #03 , Halaman 15-16
Oleh : Ustaz Zul Ramli M. Razali
Oleh : Ustaz Zul Ramli M. Razali
No comments:
Post a Comment