Menunaikan Haji ialah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia merupakan rukun yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang mampu melakukannya sekali dalam seumur hidup. Manakala bagi yang tidak mampu melakukannya ia harus ditangguhkan sehingga mereka mencapai kemampuan. Firman Allah bermaksud : “Satu kewajipan manusia terhadap Allah ialah menunaikan Haji bagi orang yang mampu melakukan perjalanan ke Baitullah.”
(Surah Ali ‘Imran Ayat 97)
Sebuah hadis diriwayat oleh Bukhari dan Muslim bahawa Nabi Muhamad SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menunaikan haji dan dia tidak melakukan persetubuhan dan tidak fasiq maka dia kembali suci dari dosa-dosanya seperti ketika dilahirkan ibunya.”
Syarat Wajib Haji : (1) Islam, (2) Baligh, (3) Berakal, (4) Merdeka, (5) Mampu
Ada 3 cara menunaikan ibadat haji, iaitu seperti berikut :
- Haji Ifrad - Mengerjakan Haji dan Umrah secara berasingan, iaitu umrah tidak dikerjakan dalam bulan-bulan haji sewaktu seseorang itu menunaikan haji.
- Haji Tamattu' - Mengerjakan umrah terlebih dahulu dalam bulan-bulan haji, kemudian disempurnakan haji dalam tahun itu juga. Cara ini dikehendaki seseorang itu berniat ihram umrah dahulu, serta ditunaikan segala rukun dan wajibnya; dan menjelang hari wuquf di Arafah dia hendaklah berihram haji pula. Cara ini dikenakan dam (mengikut syarat-syaratnya).
- Haji Qiran - Mengerjakan ibadat haji dan umrah dalam bulan-bulan haji secara serentak, ataupun berniat mengerjakan umrah sahaja tetapi sebelum tawaf dia berniat mengerjakan
haji berserta umrahnya. Cara ini juga diwajibkan membayar dam mengikut syarat - syaratnya.
Sumber :
Dipetik dari Buku Keistimewaan Makkah; Panduan Haji & Umrah
Oleh : Raja Mariam Binti Raja Mohd. Iskandar; Shamsudin Othman,
Penerbit : Wholesale-Mart Business Point Sdn Bhd,
Halaman 5 – 7
No comments:
Post a Comment