Bimbinglah kami mengikut jalan yang lurus. Peganglah tangan dan pimpinlah kami mengikut lorong yang lurus dan jangan lepaskan tangan kami walaupun sekelip mata. Janganlah Engkau biarkan kami memandu diri kami sendiri walaupun hanya buat waktu yang sebentar. Peganglah tengkuk kami dan doronglah kami untuk mengikut jalan yang selamat di dunia dan jalan yang menyelamatkan kami di akhirat kelak. Dirikanlah pagar yang kukuh di kiri kanan jalan yang Engkau mahu kami ikut supaya kami tidak dapat menyimpang ke mana-mana dalam perjalanan kami di dunia menuju ke akhirat. Berilah kefahaman kepada kami terhadap petunjuk-petunjuk jalan yang Engkau letakkan sepanjang perjalanan kami menuju ke akhirat dan berilah kami kekuatan untuk mengikutnya.
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus :
1. Tunjukkanlah kami untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam segala aktiviti hidup yang kami lalui.
2. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mendekatkan diri kepada Engkau.
3. Tunjukkanlah kami jalan lurus dalam menunaikan ibadat-ibadat fardhu agar ia menepati cara yang telah ditunjukkan oleh Rasul Engkau kepada kami.
4. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mengamalkan amalan-amalan sunat yang telah diajarkan oleh Rasulullah kepada kami.
5. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam kami membersihkan diri daripada dosa-dosa yang kami telah lakukan.
6. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mengamalkan zikir-zikir yang telah disunnahkan oleh Rasul Engkau kepada kami.
7. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus ketika menuturkan perkataan sama ada dalam suka atau benci.
8. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam menjalani kehidupan berkeluarga agar ia menjadi ibadat yang Engkau berikan ganjaran syurga.
9. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh dan mendoakan kami apabila kami telah mati kelak.
10. Tunjukkanlah kami jalan lurus dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam keluarga kami.
11. Tunjukkanlah kami jalan lurus dalam menjalani kehidupan berjiran dan bersosial di kalangan ahli masyarakat.
12. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam menyayangi dan membenci seseorang dalam kehidupan bermasyarakat.
13. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam memilih sistem pemerintahan dan pemimpin di kalangan kami.
14. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dalam usaha mengembangkan agama Islam di kalangan orang Islam dan bukan orang Islam.
15. Tunjukkanlah jalan yang lurus dalam kami menjalani kehidupan di dunia ke arah kami mendapat redha dan syurga Mu di akhirat kelak.
Tanpa petunjuk dan bimbingan daripada Engkau, kehidupan kami tidak akan terjamin selamat berada di atas jalan yang lurus iaitu jalan yang telah Engkau pertontonkan modelnya kepada kami. Jalan itu adalah jalan mereka yang sudah pasti Engkau telah dan akan berikan nikmat dunia, syurga dan redha Mu kepada mereka.
SUMBER : Dipetik dari Buku MARI Memahami dan Menghayati BACAAN SOLAT
Oleh : Hasnan Kasan, Penerbit : Sinar Tenggara Sdn Bhd, Halaman 56-58
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Surah Al-Fatihah : Ayat 6)
No comments:
Post a Comment