Suatu hari, seorang kafir jahiliah berkata kepada sahabat Salman Al-Farisi; “Sungguh Nabi kalian telah mengajarkan kalian tentang segala hal termasuklah adab ketika membuang air”. Ketika itu, sahabat Salman menjawab, “Betul. Sungguh kami dilarang membuang air besar atau kecil dalam keadaan kami menghadap kiblat, (kami juga dilarang) membersihkannya dengan tangan kanan atau membersihkannya dengan kotoran haiwan, atau tulang”. (Riwayat Muslim). Begitulah kekaguman seorang kafir kepada akhlak Islam yang diajarkan oleh Rasulullah.
Islam merupakan agama yang sempurna, sehinggakan bersuci juga ada adab dan aturannya. Begitulah pentingnya ‘urusan bersuci’ ini dalam syariat Islam, malah Rasulullah SAW sendiri kerap mengingatkan umatnya agar sentiasa berhati-hati dalam urusan ini. Mengabaikan adab ini akan mengakibatkan azab di kemudian hari.
Dalam sebuah hadis meriwayatkan, Rasulullah pernah melalui dua buah kubur yang ketika itu sedang mengalami seksaan. Jelas baginda, kedua-dua mereka diseksa kerana kerap menyakiti jiran tetangga dan tidak sempurna bersuci (Taharah) selepas membuang air kecil.
Bersuci ala kadar akan menyebabkan kotoran yang bersifat najis masih tertinggal pada tubuh atau pakaian. Sekiranya ingin bersolat, najis yang masih melekat pada tubuh atau pakaiannya itu akan menyebabkan solatnya ditolak. Dan inilah antara punca seseorang itu diseksa di dalam kubur.
Sayangnya ramai di antara kita, terutamanya kaum lelaki yang mengabaikan peringatan ini, membuang air kecil di merata tempat, tanpa melakukan taharah yang sesuai dengan syariat. Sikap seperti ini jelas sekali dikutuk oleh Rasulullah SAW “Takutlah (jauhilah) dua perbuatan terkutuk!” Para sahabat bertanya, “Apakah kedua perbuatan itu wahai Rasulullah?” Jawab Baginda, “Orang yang membuang air besar di kawasan yang menjadi laluan orang ramai atau di tempat mereka berteduh (seperti di bawah pokok).” (Riwayat Muslim).
Berikut beberapa adab yang diajar oleh Rasulullah tentang tatacara membuang air besar dan kecil :
1. Jangan menampakkan aurat kepada orang lain ketika buang air, usahakan mencari tempat yang tertutup. (Riwayat Muslim)
2. Jangan buang di lubang binatang, di jalan yang menjadi laluan awam, di tempat berteduh, di sumber air, di kawasan mandian, di bawah pokok yang sedang berbuah, atau di sungai yang mengalir ke arah orang yang sedang mandi atau mencuci. (Riwayat Muslim, Tirmidzi)
Abu Hurairah menceritakan, Rasulullah bersabda, “Janganlah kamu kencing di air tenang, di mana kamu mandi pula di situ.” (Riwayat Muslim)
3. Memulakan masuk ke dalam tandas dengan mendahulukan kaki kiri, dan keluar kaki kanan. (Riwayat Tirmidzi)
4. Sebelum masuk, disunnahkan membaca doa ini yang bermaksud :
“Wahai Tuhanku, aku berlindung pada Mu dari kejahatan syaitan jantan dan betina”
5. Selepas keluar, disunnahkan membaca doa :
“Aku memohon keampunan Mu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan penyakit dari ku dan telah menyembuhkan aku”. (Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah)
6. Jangan berlama-lamaan di dalam tandas kerana ia boleh mendatangkan mudarat. Apabila sudah selesai hajatnya, keluarlah dengan cepat. (Riwayat Nasa’i, Ibnu Majah)
7. Tidak boleh menjawab salam ketika berada di dalam tandas. Cara menjawabnya cukup dengan isyarat suara (Riwayat Muslim, Tirmidzi, Nasa’i)
8. Jangan membaca dan membawa lafaz Allah dan Muhammad atau ayat-ayat Al-Qur’an ke tandas. (Riwayat Nasa’i)
Sekiranya terpaksa membuang air di tempat terbuka, jangan menghadap ke arah kiblat dan jangan pula membelakanginya. Seboleh-bolehnya carilah tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang. Baginda bersabda : “Apabila seseorang itu ingin membuang air (besar atau kecil) janganlah menghadap atau membelakangi kiblat ... ”
9. Gunakan tangan kiri untuk membersihkan kemaluan dan dubur.
Jangan menyentuhnya dengan tangan kanan. (Riwayat Muslim)
10. Bersucilah sekerap mungkin, paling minimum tiga kali. Barang-barang yang dibolehkan untuk bersuci adalah air, batu, tanah liat yang keras atau kertas. (Riwayat Bukhari Ibnu Majah).
11. Memakai alas kaki seperti selipar dan kasut ketika masuk tandas.
12. Memakai penutup kepala seperti tudung, semutar dan sebagainya ketika qada hajat.
13. Berdehem-dehem supaya najis habis keluar.
SUMBER : Aspirasi Editor, Majalah I, Mei 2011, Halaman 58
No comments:
Post a Comment