Allah SWT menjadikan manusia dengan tujuan. Tetapi, masih ramai di antara manusia ini hidup di bumi Allah SWT tanpa mengenali tujuan mereka. Tidak kurang juga ada yang tersalah sangka suatu perkara itu tujuan hidupnya mereka.
"Kenapa saya lahir ke dunia dan untuk apa saya hidup?". Persoalan ini ada dalam diri semua insan di muka bumi ini. Ada yang mencari, ada juga yang terawang-awang langsung tidak mencari jawapannya. Tetapi ramai di antara mereka ini merasakan di dalam hati kecil mereka, mereka hidup dengan tujuan yang tersirat.
Ada antara manusia yang memilih Jesus sebagai tujuan mereka hidup, maka mereka memilih agama Kristian. Ada yang beranggapan Siddharta Gautama Buddha itu tuhan, maka mereka memilih agama Buddha. Tetapi kita umat Islam, meyakini bahawa Allah SWT lah tujuan hidup ini, maka kita menganuti agama Islam.
Islam itu lebih besar dari sekadar agama. Agama itu pula bukan sekadar percaya. Islam itu cara hidup yang memandu umat manusia ini untuk bersaksi dengan Syahadatul Haq (Kalimah Yang Benar) bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah SWT, dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruhnya. Islam itu cara hidup yang memandu manusia kembali kepada fitrahnya untuk bertuhan. Islam itu cara hidup yang mengajar manusia untuk taat kepada Tuhannya.
Ada manusia yang mengambil jalan yang jauh dengan berimankan Tuhan selain Allah SWT, tetapi akhirnya mereka mengenali Islam dan memeluk agama Islam. Maka apa yang mereka imani, sangat kuat berbanding manusia-manusia yang lahirnya Islam, yang gah mengatakan mereka Muslim. Sebab mereka bersusah payah mencari tujuan hidup mereka dan akhirnya mereka tenang mengimani Allah SWT itu Tuhan mereka. Kita mungkin tidak merasa ketenangan seperti itu.
Sebab itu kita tidak pelik mengapa di negara kita ini, mereka yang menganuti agama Islam bukan daripada lahirnya, sangat kehadapan dalam menyebarkan dua kalimah yang mulia ini. Kerana apa?. Kerana mereka tahu inilah sebenar-benar keimanan, tiada keimanan kepada Tuhan selain Allah SWT. Kita yang sudah lama beragama Islam ini, lenggang kangkung sahaja. Beranggapan nanti di Akhirat kelak, mereka juga akan memasuki Syurga, walaupun selepas mereka merasai celupan Neraka beribu-ribu tahun lamanya.
Tanggungjawab ini, kebanyakan daripada kita mengabaikannya. Mengucap sahaja pandai, tidak pernah diteliti maksud dan syarahan di sebaliknya. Syahadatul Haq (baca: Pengakuan Yang Benar) ini bukan hanya mengimani kewujudan Allah, para MalaikatNya, KitabNya, RasulNya, dan Hari Akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini tidak cukup setakat mengerjakan Solat, menunaikan Zakat,Puasa dan Haji. Ia tanggungjawab yang lebih besar daripada itu semua.
Tanggungjawab ini hanya terlaksana sekiranya orang-orang beriman menyampaikan Kalimah Haq ini ke seluruh pelosok muka bumi dalam pelbagai bentuk antaranya amal soleh, akhlak yang terpuji, dan pemerintahan yang adil. Maka, kamu wahai orang beriman sekalian, bermulalah kamu menyampaikannya, dengan memahami terlebih dahulu, apa sebenarnya tanggungjawab yang tersirat di sebalik Kalimah Syahadah ini.
SUMBER : http://azmihisam.blogspot.com/2012/02/tujuan-hidup-1.html
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Tujuan Hidup)
No comments:
Post a Comment