SOALAN 1. Siapakah insan terpilih yang layak mendapat hidayah Allah?
Hidayah Allah SWT sentiasa mendampingi dan menghampiri orang-orang yang mentaati Allah dan RasulNYA dengan melaksanakan setiap suruhan perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Mereka itulah yang diberi nikmat dan rahmat yang berbentuk hidayah ma’unah Allah SWT sebagaimana dinyatakan Allah dalam surah an-Nisa ayat 69, maksudnya :
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNYA, maka (mereka akan ditempatkan di syurga) bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi dan siddiqin dan para syuhada dan orang-orang yang soleh dan itulah sebaik-baik pendamping”
Hidayah dan rahmat Allah amat dekat menghampiri individu-individu yang suka melakukan kebaikan.
SOALAN 2. Siapakah yang jauh dari hidayah Allah?
Hidayah Allah tidak akan dicapai oleh orang-orang yang memilih kekufuran dari keimanan. Hidayah petunjuk Allah tidak akan dikecapi oleh orang-orang yang zalim. Hidayah Allah juga tidak akan menjenguk orang-orang fasik. Justeru mereka sendiri memilih kekufuran, kerana jiwa mereka lebih cenderung kepda kezaliman, lantaran kerana nafsu mereka sendiri suka kepada akhlak peribadi orang-orang fasik iaitu orang-orang yang amat sukar untuk melaksanakan titah perintah Allah SWT.
SOALAN 3. Apakah terdapat amalan untuk terus kekal dalam hidayah Allah?
Ya, sudah pasti ada. Allah SWT berfirman :
“Sesiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepada petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam” (Al-An’am : 125)
Kita memohon kepada Allah SWT agar kita tergolong daripada kalangan orang yang mahu dikekalkan hidayah. Ada beberapa amalan untuk memperoleh hidayah ;
- Melazimkan membaca Al-Quran dan menghayati isi kandungannya
- Kekal berterusan dalam melakukan ibadah wajib
- Melazimkan ibadah sunat seperti solat sunat dan puasa sunat
- Melazimkan berzikir kepada Allah SWT
- Melazimkan berdoa memohon hidayah daripada Allah SWT
Dengan melaksanakan amalan-amalan ini, insyaAllah kita kekal dalam hidayah, diberkati kehidupan dan tenang menghadapi kesukaran. Beramallah, kerana setiap amal yang dilakukan pasti ada ganjaran di sisi Allah SWT. Seharusnya kita bersyukur diberikan hidayah daripada Allah.
Hidayah adalah milik Allah dan akan diberikan kepada mereka yang Allah SWT kehendaki sahaja. Walaupun Rasulullah SAW mengharapkan Allah SWT kurniakan hidayah kepda bapa saudaranya Abu Talib, Allah perjelaskan di dalam ayatNYA :
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepda sesiapa yang dikehendakiNYA (menurut peraturanNYA); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam) ” (Al-Qasas : 5)
SUMBER : MAJALAH Q & A Bil. 1/2012 ISU #01 , Halaman 52 & 84
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Hidayah Allah)
No comments:
Post a Comment