BIADAB
Mulutnya lancang, katanya tidak bertapis, pandangannya liar dan perlakuannya hancur! Itulah selayaknya dinisbahkan kepada pemilik sikap biadab.
Tanpa adab, tiada tertib. Seolah-olah diri dikuasai syaitan, sikap biadab akan mudah membelenggu. Kawalan hati dan perlakuan itu perlu diiringkan dengan rasional akal agar tiada perkara luar adab yang berlaku.
Apabila terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada diri, bersabar dan bertahanlah, bimbang kalau-kalau akan berlaku perlakuan luar adab. Rasulullah SAW menasihatkan, maksudnya : “Ajarilah, permudahkanlah dan jangan menyusahkan. Apabila salah seorang daripada kalian marah, hendaklah dia diam.” (Riwayat Ahmad)
“Biadab betul kata-katanya!” Hati siapa yang tidak membara apabila ada yang memberi respons sebegitu. Natijahnya, timbul rasa marah lalu terjadinya percakaran dan pertelagahan antara mereka.
Batasi diri dengan meninggalkan larangan Allah dan lazimi diri dengan mempraktikkan segala suruhan Allah serta ajaran Rasulullah, kelak biadab yang buruk itu mampu ditukar menjadi adab yang baik.
BERADAB
Bersyukurlah kita kerana mendapat didikan Islam. Kesantunan ajaran Islam mengajarkan adab dalam setiap aspek kehidupan seperti adab pergaulan, adab makan, adab berpakaian, adab bertutur dan sebagainya.
Tidak rugi beradab sopan kerana bukan sahaja dapat menenangkan diri sendiri, bahkan orang lain turut sama berlapang dada dengan adab yang ditunjukkan. Lebih daripada itu, Allah menyukai orang yang beradab sopan.
Contoh terbaik yang boleh dicontohi ialah Rasulullah SAW. Segala ajaran dan adab Islam telah Baginda praktikkan. Allah SWT memuji Baginda dalam firmanNYA yang bermaksud : “Dan sesungguhnya, engkau benar-benar mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam 68 : 4)
“Beradab sungguh dia, saya senang dengannya.” Pasti timbul rasa ketenangan dan keceriaan kepada seseorang apabila dipuji sebegini. Hati yang senang akan membalasnya dengan senyuman. Bahagia.
Aplikasi diri dengan ajaran yang dianjurkan dalam Islam dan hiasi diri dengan adab sopan, moga-moga sahsiah yang terbentuk dalam diri ialah akhlak mulia yang diredhai Allah.
SUMBER : Majalah SOLUSI Isu No. 42 Tahun 2012
Halaman 9
Terbitan : Telaga Biru Sdn Bhd
(Klik Untuk Muat Turun Artikel - Biadab - Beradab)
No comments:
Post a Comment